osteotomi pembedahan tambah ketinggian2

Ramai individu khasnya di kalangan para lelaki mempunyai satu keinginan terpendam, untuk jadi lebih tinggi tubuhnya.

Kadar 6 kaki pula seringkali diletakkan sebagai 'tinggi ideal' yang perlu dicapai sebagai ketinggian, bukan saja untuk menambah tahap keyakinan diri malahan untuk mengelakkan diejek orang lain.

Apa yang anda sanggup lakukan untuk tinggi? Ada antara kita semasa kecil sanggup ikut petua bergayut lama-lama pada palang besi kononnya akan bertambah ketinggian kita.

Bagi seorang lelaki di Amerika Syarikat bernama Alfonso Flores, dia sanggup dibedah asalkan dirinya mampu bergelar '6 footer.'

Pasang impian nak tinggi sejak kecil

osteotomi alfonso flores pembedahan ketinggian 746

Sejak kecil, Alfonso yang berasal dari Dallas, Texas meminati sukan bola keranjang dan memasang impian mahu memiliki ketinggian setanding idola-idolanya, setiap kali melihat mereka beraksi di gelanggang.

Alfonso membesar sehingga memiliki ketinggian 5 kaki 11 inci, yang beliau sendiri akui sebenarnya sudah memadai namun impiannya untuk menjadi 'lelaki 6 kaki' tak pernah padam.

Dia menyatakan hasrat ingin menambah ketinggian menerusi pembedahan walaupun cuba dinasihatkan agar melupakan keinginan tersebut oleh rakan-rakan dan saudara maranya. Bagi mereka pembedahan tersebut adalah sesuatu yang tidak perlu dilakukan.

Tetapi Alfonso nekad meneruskan keinginannya, menyatakan persetujuan untuk dibedah bagi memanjangkan bahagian kakinya.

Bagaimana ketinggian seseorang ditambah melalui pembedahan?

art tx plate tibia

Pembedahan bagi menambah ketinggian digelarkan sebagai 'pembedahan bagi memanjangkan kaki' atau 'limb lengthening surgery', yang menjadi kaedah utama pakar bedah dalam menambah ketinggian seseorang.

Dimulakan di Russia lebih 7 dekad dahulu, teknik pembedahan ini pada awalnya digunakan bagi membetulkan kecacatan pada bahagian kaki seseorang apabila kedua-dua kalinya tidak mempunyai panjang yang sama.

Bermula pada era 1980-an, teknik pembedahan ini mula diperkembangkan untuk membantu seseorang menambah ketinggian. Kemampuan tubuh badan kita untuk membentuk semula tulang serta semua tisu yang perlu menjadi kunci utama bagaimana pembedahan ini mampu dijalankan.

Apa yang biasanya akan dilakukan oleh pakar bedah adalah memotong tulang sama ada di bahagian betis atau peha untuk direnggangkan dalam proses yang dinamakan osteotomi.

Tulang yang telah selamat dipotong itu pula akan disokong dengan sejenis paku yang dinamakan Internal Lengthening Nail (ILN), sebelum proses pemulihan automatik tubuh badan bermula.

Tulang baru dengan kekuatan sama

osteotomi pembedahan tambah ketinggian 79

Seorang yang telah menjalani osteotomi akan dipantau pembentukan tulangnya setiap hari, untuk beberapa bulan agar doktor dapat memeriksa jarak dan pertambahan tisu baru dengan sasaran 1 milimeter sehari sehinggalah proses penyambungan tulang tersebut selesai.

Dalam proses inilah ILN yang telah ditanam dalam tulang boleh diputarkan menentukan tahap kelegaan ruang yang diperlukan dalam pembentukan tisu baru.

Lebih tinggi ketinggian yang diharap diperolehi, lebih lama proses pemantauan diperlukan, dalam memastikan tidak ada kecacatan terbentuk pada bahagian tulang yang baru.

Oleh sebab itulah had maksima ketinggian yang boleh ditambah bagi seseorang melalui proses ini dihadkan kepada 6 inci sahaja, dalam memastikan kekuatan tulang baru yang terbentuk sama seperti tulang asalnya.

Bagi mereka yang telah menjalani pembedahan ini, kekuatan tulang mereka sama ada di bahagian betis atau peha yang disambungkan semula adalah sama seperti tulang asal - asalkan proses penyembuhan dan pemantauan tulang itu dilakukan dengan betul.

Selepas semua fasa pembedahan dan pembedahan siap, pesakit akan dibenarkan berdiri semula di atas kaki sendiri tanpa tongkat sebelum mula menjalani aktiviti fisioterapi bagi memperkuatkan tubuh.

Berapa harga yang perlu dibayar?

pembedahan tambah ketinggian

Berikutan beberapa fasa yang perlu dilalui, Alfonso mengambil masa lebih 7 bulan untuk pulih sebelum dapat berdiri kembali seperti biasa.

Dia memilih ketinggian 6 kaki 1 inci atas saranan doktor, disebabkan jumlah pertambahan yang lebih besar akan memberi kesan kepada kemampuan seseorang dari segi pergerakan tangkasnya, seperti pergerakan semasa sukan atau bersenam.

Alfonso memilih untuk memanjangkan kedua-dua tulang femur atau tulang peha, dilaporkan memakan belanja sekitar RM300,500 untuk pembedahan dan rawatan lanjut.

Selepas semuanya selesai sekitar setahun ke dua tahun selepas pembedahan, pesakit seperti Alfonso akan menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan ILN yang telah dipasang, memerlukan dana tambahan RM80,000.

Di negara kita, wujud beberapa pusat perubatan yang menawarkan perkhidmatan serupa namun majoritinya melibatkan kes-kes pembedahan bagi membetulkan kecacatan dengan beberapa nama turut menawarkan perkhidmatan kosmetik.

Walaupun pihak perubatan cuba meyakinkan orang ramai bahawa prosedur yang dilakukan selamat, sukarela menawarkan diri masuk ke bilik bedah pada penulis merupakan satu perkara yang tidak akan penulis lakukan.

Apa pandangan anda? Adakah anda sanggup dibedah untuk menjadi lebih tinggi daripada ketinggian sekarang, jika kosnya mampu anda tanggung? Atau anda merasakan manusia harus bersyukur dengan apa saja yang telah dia ada, tidak menyalahgunakan kemampuan kita sudah mula bijak mengubah ciptaan Maha Pencipta?

Rujukan

NDTV

Limb Lengthening – An Overview



Hakcipta iluminasi.com (2017)