Oleh pada 09 Jul 2018 kategori

Hari ini masuk hari kedua operasi menyelamat dijalankan terhadap 12 kanak-kanak dan seorang jurulatih pasukan bola sepak yang terperangkap di dalam sebuah gua di Thailand, selepas berlindung daripada hujan lebat di dalamnya. Kes ini mendapat liputan meluas termasuklah oleh media antarabangsa, dan turut menarik perhatian beberapa individu berpengaruh dunia yang sedia membantu, antaranya adalah jutawan teknologi Elon Musk. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak ditemui, kesemua mangsa masih belum dapat dikeluarkan memandangkan pasukan penyelamat mengalami kesukaran kerana laluan gua yang sempit serta dipenuhi air. Penantian ahli keluarga mungkin sedikit terubat setelah menerima surat yang ditulis sendiri oleh mangsa, dibawa keluar oleh pasukan penyelam gua. 

surat kanak kanak terperangkap dalam gua di thailand buat keluarga 989

Surat yang ditulis tangan itu, diberikan kepada keluarga dalam tempoh selepas mereka ditemui dan sebelum bermulanya operasi mengeluarkan mangsa daripada gua. Surat-surat tersebut menunjukkan keberanian kanak-kanak tersebut dalam menghadapi dugaan yang paling getir dalam hidup mereka.

Surat-surat tersebut dibawa keluar pada malam Jumaat oleh pasukan penyelam yang berenang keluar masuk selama 11 jam daripada ruang gua di mana kesemua mangsa terperangkap. 

Surat Menyurat Antara Para Ibu Bapa dengan Jurulatih 'Ake'

surat mangsa gua thailand

Dalam surat bersama yang mewakili para ibu bapa kepada jurulatih Ekapol 'Ake" Chanthawong:

Kepada Jurulatih Ake, setiap ibu bapa memohon agar Ake menjaga kesemua mereka. Ake, jangan salahkan diri awak. Kami mahu awak berasa lega. Kami ibu bapa semua tidak marah awak langsung. Dan semua orang faham dan menyokong awak. Terima kasih kerana menjaga semua budak-budak. Ake masuk ke dalam bersama mereka, jadi awak mesti keluar, membawa mereka keluar dengan selamat. 

Respon Jurulatih Ake kepada ibu bapa:

Kepada ibu bapa semua, buat masa ini semua budak-budak dalam keadaan baik, kru penyelamat menjaga dengan baik. Saya berjanji untuk menjaga kesemua budak dengan sebaik mungkin. Saya ingin berterima kasih atas segala sokongan dan ingin memohon maaf kepada semua ibu bapa.

Surat Jurulatih Ake kepada ibu saudara dan neneknya:

Kepada makcik dan nenek, saya dalam keadaan baik, jadi jangan risau pasal saya. Jaga diri kamu. Makcik, beritahu nenek untuk buatkan makanan kegemaran saya. Bila saya keluar, saya nak makan. Sayang semua.

Surat Menyurat Antara 'Night' Dengan Ibu Bapanya

surat oleh night kepada keluarga

Kepada Night, ibu dan ayah sedang menunggu untuk buat parti hari lahir. Cepat bagi diri awak sihat. Ibu tahu awak boleh. Jangan fikir banyak. Ayah, ibu, Kakak Nam, datuk, nenek dan semua saudara mara menyokong awak selalu. Ayah dan ibu sayang awak. - Dad Boon, Mom O.

Respons Night:

Night sayang ayah, ibu dan kakak. Jangan risau tentang saya. Night sayang semua. 

Surat Menyurat Antara Adul Dengan Ibu Bapanya

Surat daripada ibu bapa Adul:

Kepada Adul, ayah dan ibu ingin melihat muka awak. Ayah dan ibu doakan awak dan kawan-kawan supaya kami dapat melihat kamu nanti. Selepas keluar daripada gua nanti, awak mesti berterima kasih dengan semua pegawai. Kami mahu awak letakkan kepercayaan kepada Tuhan. Jangan risau. Ayah dan ibu akan tunggu sehingga kamu keluar.

Balas Adul:

Buat masa ini, jangan risau pasal kami. Saya rindukan semua, saya ingin keluar secepat mungkin. 

Lain-Lain Surat Antara Mangsa dan Keluarga

Surat oleh 'Dom':

Saya dalam keadaan baik, udara sedikit sejuk namun jangan risau. Dan jangan lupa untuk buat parti hari lahir untuk saya. 

Dalam surat yang lain:

Jangan risau tentang saya, ayah dan ibu. Saya hanya jauh untuk tempoh dua minggu sahaja. Saya akan tolong ibu nanti, menjual barangan apabila ada masa. Saya akan keluar dari sini. 

Lagi lain-lain surat:

surat mangsa terperangkap gua di thailand

Jangan risau, saya rindu semua, datuk, pakcik, ibu, ayah, dan adik beradik. Saya sayang semua. Saya gembira di dalam sini, para penyelamat Navy SEALS menjaga kami dengan baik. Sayang semua.

Surat oleh ibu kepada Nattawut Takamsai:

surat daripada ibu mangsa gua thailand

Kami tidak marah langsung dengan kamu semua. Tolong jaga diri. Jangan lupa untuk memakai selimut sekiranya sejuk di dalam sana. Kami risau. Kamu akan keluar nanti.

Pendek surat tulisan Phiphat Photi buat keluarga, namun penuh dengan harapan:

Sekiranya saya keluar, boleh tak bawakkan sedikit daging panggang dan sayur?

Kata salah seorang ibu mangsa, Supaluk Sompiengjai:

Saya berasa amat gembira melihat suratnya, tulisan tangannya. Saya hampir menangis. Tidak kisah berapa lama saya perlu menunggu, asalkan dia selamat.

Dalam surat lain:

surat kepada abang yod mangsa gua thailand

Ayah dan ibu, jangan risau. Saya okay. Tolong beritahu Abang Yod siap-siap untuk bawa saya ke kedai ayam goreng. Sayang semua!!

Surat a.k.a nota pendek yang ditulis di atas cerbisan kertas itu adalah komunikasi awal antara ibu bapa yang cemas dengan anak-anak mereka sejak mereka dilaporkan hilang pada 23 Jun lalu. 

Sehingga semalam, sebanyak 4 orang mangsa telah dilaporkan berjaya diselamatkan, namun tidak diketahui siapa yang telah diselamatkan. Operasi akan diteruskan hari ini bagi menyelamatkan baki mangsa yang masih terperangkap. 

Siapakah Mangsa-Mangsa Yang Terperangkap?

mangsa mangsa terperangkap di dalam gua thailand

  1. Chanin Vibulrungruang, 11 tahun.
  2. Duganpet Promtep, 13 tahun.
  3. Somepong Jaiwong, 13 tahun.
  4. Panumas Sangdee, 13 tahun.
  5. Mongkol Booneiam, 13 tahun.
  6. Adul Sam-on, 14 tahun.
  7. Ekarat Wongsukchan, 14 tahun.
  8. Nattawut Takamrong, 14 tahun.
  9. Pipat Pho, 15 tahun.
  10. Prajak Sutham, 15 tahun.
  11. Pornchai Kamluang, 16 tahun.
  12. Peerapat Sompiangjai, 16 tahun.
  13. Ekapol Chantawong, 25 tahun.

thai family receive letter from kids stuck in cave

Semoga semua mangsa yang terperangkap dapat dikeluarkan dengan selamat untuk pulang ke pangkuan keluarga. 

Sumber:

  1. stuff.co.nz
  2. abcnews.go.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)