Oleh pada 04 Jul 2018 kategori

Minggu lalu Thailand dikejutkan dengan kehilangan beberapa orang kanak-kanak bersama jurulatih mereka, yang dipercayai terperangkap di dalam gua. Kes ini mendapat liputan meluas sejak beberapa hari lalu apabila mereka berjaya ditemui masih hidup, melalui video yang viral di media sosial menunjukkan penemuan kesemua mangsa oleh penyelam daripada United Kingdom. Teruskan membaca untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku tentang kes ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Garis Masa Penemuan 12 Kanak-Kanak dan Jurulatih Yang Hilang

basikal mangsa terperangkap di dalam gua 7

23 Jun: Seramai 12 orang ahli pasukan bola sepak yang terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia antara 11 hingga 16 tahun, bersama seorang jurulatih mereka yang berusia 25 tahun dilaporkan hilang dipercayai tersesat dan terperangkap di dalam Gua Tham Luang di Thailand.

25 Jun: Operasi mencari dan menyelamat mula dijalankan selepas 2 hari mereka dilaporkan hilang. Mereka dipercayai terperangkap di dalam gua, kerana hujan lebat membanjiri pintu masuk gua.

26 Jun: Air hujan yang menutupi pintu masuk gua disalir keluar menggunakan pam bagi memberi ruang pernafasan antara permukaan air dan siling gua kepada penyelam.

air dipam keluar dari gua

27 Jun: Hujan lebat yang turun menyukarkan perjalanan operasi menyelamat yang dilihat sedikit terbantut.

28 Jun: 3 orang penyelam profesional daripada United Kingdom, iaitu Richard William Stanton, Robert Charles Harper dan John Volanthen menyertai misi pencarian walaupun hujan lebat terus turun tanpa henti.

29 Jun: Ahli keluarga mangsa berkumpul di luar pintu gua dengan harapan tinggi agar kesemua mangsa dapat diselamatkan. Beberapa upacara keagamaan turut dilakukan. Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha turut melawat ahli keluarga mangsa di luar gua terbabit.

keluarga mangsa hilang di gua

30 Jun: Pihak berkuasa Thailand menghantar pakej berbentuk makanan, ubatan, obor dan air minuman ke dalam gua.

1 Julai: Penyelam Navy SEAL Thailand mengumumkan bahawa mereka percaya kesemua mangsa mempunyai peluang untuk terus hidup.

2 Julai: Kesemua mangsa yang terdiri daripada 12 orang kanak-kanak dan seorang jurulatih ditemui masih hidup, walaupun mereka dalam keadaan lemah.

mangsa terperangkap dalam gua ditemui

Maklumat Tentang Gua Tham Luang di Thailand

Grafik ini menunjukkan laluan yang diambil oleh para penyelamat untuk mencari kesemua mangsa yang hilang, dan masalah yang dihadapi oleh mereka untuk membawa keluar mereka daripada gua tersebut.

grafik gua tham luang mangsa hilang di thailand

1. Gua Tham Luang, di mana kesemua mangsa terperangkap adalah antara gua terpanjang di Thailand dengan jarak 6 batu (bersamaan 9.7 kilometer), dan terletak di kawasan pergunungan Doi Nang Non. Basikal dan pakaian bola sepak telah ditemui selepas seorang daripada ibu mangsa melaporkan kehilangan anaknya pada 23 Jun. Pasukan bola sepak Akademi Moo Pa itu telah berbasikal bersama jurulatih mereka selepas sesi latihan. Papan tanda amaran telah diletakkan di pintu masuk gua bagi mengingatkan pengunjung tentang bahaya memasuki gua tersebut ketika musim hujan.

2. Tapak operasi menyelamat terletak kira-kira 700 meter daripada pintu masuk gua. Operasi tersebut dipimpin oleh tentera laut SEAL Thailand. Usaha awal mereka sedikit terbantut kerana kenaikkan paras air hujan, yang dipercayai terus memaksa mangsa-mangsa untuk bergerak ke dalam laluan gua yang semakin sempit.

operasi menyelamat mangsa terperangkap dalam gua

3. Para penyelamat berjaya sampai ke Monk's Junction, yang terletak kira-kira 1,500 meter dari pintu masuk gua, pada Ahad 1 Julai. Perubahan keadaan cuaca dan pengepaman air keluar yang berterusan berjaya mengurangkan paras air dan meningkatkan penglihatan, membolehkan penyelam untuk memasang tali pimpinan (guide ropes) sepanjang ruangan laluan yang diambil.

4. Sebuah kawasan mercu tanda pada kedudukan yang lebih tinggi yang dikenali sebagai Pattaya Beach adalah lokasi di mana para penyelamat berharap untuk menemui mangsa. Namun apabila sampai di sana, penyelamat mendapati kawasan tersebut turut ditenggelami air.

5. Kesemua 13 orang mangsa akhirnya berjaya ditemui 200 meter daripada Pattaya Beach, berlindung pada permukaan tanah yang berada pada kedudukan sedikit tinggi, sambil dikelilingi limpahan air hujan. Lokasi mereka ditemui terletak kira-kira 2,000 meter daripada pintu masuk gua. Mereka ditemui oleh 2 orang pakar selam daripada United Kingdom.

6. Kesemua mangsa telah diberikan makanan dan minuman bersih oleh ahli perubatan dan para penyelamat yang lain, yang menyelam ke lokasi berkenaan untuk kali yang berikutnya. Buat masa ini, mereka masih terperangkap di dalam gua, dan tidak dapat dikeluarkan kerana limpahan air hujan masih memenuhi laluan gua.

Proses Menyelamat Memakan Masa Yang Lama

proses menyelamat mungkin akan memakan masa yang lama

Walaupun sudah berjaya ditemui, proses menyelamatkan mangsa bukanlah suatu yang mudah. Paras air yang masih tinggi di dalam gua, serta hujan yang berterusan menyukarkan lagi keadaan. Terdapat 3 langkah yang boleh diambil bagi menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap.

1. Tunggu Sehingga Air di Dalam Gua Surut

Menunggu air di dalam gua untuk surut mungkin sedikit berisiko tinggi kerana musim hujan di Thailand buat masa ini baru sahaja bermula. Walaupun air sedang dipam keluar, hujan dijangka akan berterusan dan lebih lebat, dan mungkin akan memakan masa berbulan untuk surut. Menurut laporan, bekalan makanan selama 4 bulan telah dibawa masuk ke gua berkenaan untuk mangsa-mangsa.

2. Buat Laluan Baharu

Menebuk gua dari atas untuk sampai ke lokasi mangsa terperangkap dilihat tidak praktikal. Pihak berkuasa masih mencari beberapa pintu masuk lain ke gua berkenaan, namun gagal buat masa ini. Menurut British Cave Rescue Council, proses menebuk gua dilihat sebagai berisiko tinggi kerana kesemua mangsa terperangkap di dalam ruangan yang sangat kecil.

3. Ajar Mangsa Untuk Menyelam

Langkah ini adalah sangat ekstrim, kerana menyelam di dalam gua bukanlah sesuatu yang mudah, walaupun untuk mereka yang mempunyai pengalaman menyelam, kerana ruangan yang sempit. Selain daripada itu, air limpahan juga lebih pekat dengan campuran lumpur menghalang penglihatan sama sekali, ditambah pula dengan arus air yang deras, adalah mustahil untuk menyelamatkan mangsa melalui cara ini. Malah, kesemua mangsa dilaporkan tidak pandai berenang, dan apatah lagi untuk menyelam sambil memakai peralatan selam.

Kesimpulan dari peristiwa ini

pasukan penyelamat thailand kes hilang di gua

Buat masa ini, para penyelamat masih memikirkan cara terbaik untuk membawa keluar kesemua mangsa dengan selamat, dengan mengambil kira segala risiko yang ada. Penulis mendoakan agar kesemua 12 orang kanak-kanak dan seorang jurulatih yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera, dan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

Daripada kes yang berlaku ini, kita harus mengambil iktibar untuk mematuhi amaran yang diberikan kepada kita.

Maklumat tambahan

operasi menyelamat

operasi selamat thailand

navy seals thailand

pam air keluar dari gua

Sumber:

theguardian.com [1, 2]




Hakcipta iluminasi.com (2017)