Oleh pada 13 Jul 2018 kategori

Berita tentang 12 orang pemain bola sepak kanak-kanak dan jurulatih mereka yang berjaya diselamatkan daripada gua yang dipenuhi air di utara Thailand, oleh lebih daripada sedozen penyelam antarabangsa bersama dengan Thai Navy SEAL telah menarik perhatian dunia sejak mereka ditemui 10 hari lalu. 

Latar Belakang Kejadian Kanak-Kanak Terperangkap dalam Gua di Thailand

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun misi untuk membawa mereka keluar daripada gua tersebut pada awalnya dilihat agak mustahil, para penyelamat akhirnya berjaya dalam misi tersebut. Caranya, mangsa dipakaikan dengan topeng selam, dan mereka diletakkan di atas pengusung bagi membawa mereka keluar daripada gua dengan selamat. 

Melalui laman rasmi Thai Navy SEAL, mereka mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak pasti sama ada kejayaan mereka itu adalah disebabkan keajaiban, sains atau apa. Kesemua mangsa kini dalam proses pemulihan di Hospital Chiang Rai Prachanukroh, di mana sebahagian daripada mereka sedang dirawat kerana jangkitan paru-paru. 

Misi awal pencarian mangsa selepas mereka dilaporkan hilang pada 23 Jun hampir-hampir dibatalkan kerana keadaan gua yang dibanjiri air adalah sangat bahaya. Namun, kesemua 12 kanak-kanak dan jurulatih mereka akhirnya berjaya ditemui pada 2 Julai kira-kira 4 kilometer daripada pintu masuk gua, oleh 2 orang penyelam British. 

thai navy seal gua thailand

Pasukan yang terlibat dalam mencari mangsa terdiri daripada Thai Navy SEAL, dan beberapa orang penyelam antarabangsa, termasuklah seorang lelaki daripada Belgium yang bernama Ben Reymenants, 45 tahun. Beliau memiliki syarikat mengajar menyelam di Phuket, Thailand. 

Ben memainkan peranan penting dalam memastikan misi tersebut berjaya, dan beliau terlibat secara terus dengan seluruh pasukan. Laman sesawang Vox telah menemui bual beliau bagi mendapatkan maklumat terperinci tentang misi tersebut, daripada menjejaki kedudukan mangsa, sehinggalah ke proses mengeluarkan kesemua mangsa secara selamat. 

Temu Bual Bersama Ben Reymenants, Penyelam Yang Terlibat Mencari dan Menyelamat Kanak-Kanak Terperangkap di Gua Tham Luang, Thailand

ben reymenants penyelam selamatkan mangsa gua thailand

Radhika Viswanathan (Wartawan):

Bilakah anda dipanggil untuk membantu mencari kanak-kanak yang hilang, dan bolehkah anda ceritakan tentang hari-hari awal misi pencarian?

Ben Reymenants (Penyelam):

Kami melihat berita tentang kanak-kanak yang hilang, dan kemudian saya terdengar bahawa pasukan penyelamat gua British telah sampai ke lokasi pencarian, jadi saya pun berfikir, "Okay, mereka ini berpengalaman, tidak perlu risau."

Pasukan penyelam British dibantu oleh Royal Thai Navy SEAL, yang kurang pengalaman tentang gua. Jadi rakan saya yang berurusan dengan mereka ini berkata, "Hey, mereka ini memerlukan sokongan. Boleh tak awak datang dan nasihatkan mereka bagaimana untuk bergerak melalui gua dan memberikan panduan?"

Sudah pasti, saya tidak berfikir dua kali. 12 orang kanak-kanak dengan nyawa mereka menjadi taruhan. Apabila saya tiba di lokasi, penyelam gua British baru sahaja keluar daripada gua dan mereka berkata, "Ini kerja gila!"

Wartawan:

Mengapa?

Penyelam:

gua thailand dipenuhi air

Apabila saya sampai, pintu masuk gua kelihatan seperti Sungai Colorado, namun penuh dengan lumpur dan penglihatan dalam air adalah sangat terhad.

Arus air pula sangat deras, dan pada awalnya kami berjaya maju mungkin dalam 100 meter dalam keadaan penglihatan yang terhad, melawan arus. Kemudiannya terdapat bahagian gua yang kami perlu panjat, sambil mengheret tangki-tangki oksigen. 

Saya berpatah balik selepas gagal dalam selaman pertama, dan ketika dalam perjalanan keluar daripada gua, saya bertemu dengan pasukan penyelam British yang dalam perjalanan masuk untuk mencari. Kami berbincang, dan membuat keputusan:

"Kita perlu batalkan misi ini, ianya sangat mustahil. Ramai akan mati, dan kita pula langsung tidak tahu sama ada kanak-kanak ini masih hidup atau tidak."

Kami memberitahu komander Navy SEAL tentang keputusan itu. Dan beliau menjawab:

kanak kanak thailand terperangkap di gua 171

"Ya, tetapi kanak-kanak ini adalah daripada Thailand. Saya tidak boleh bersemuka dengan orang awam dan memberitahu mereka misi ini akan dibatalkan. Saya akan hantar pasukan Navy SEAL dan kami akan terus mencuba."

Sudah tentu, Navy SEAL yang berusia 19 tahun (masih mentah)... Saya ini seolah-olah bapa mereka. Jadi saya pun berkata:

"Okay, paling kurang pun saya perlu bantu mereka mencuba."

Kemudian masuk hari ke-3, penglihatan dalam air semakin baik, dan arus air juga semakin lemah. Pasukan Navy SEAL pulang dengan hampa, mereka telah berenang dalam bulatan dan gagal menemui laluan. Penyelam gua British pula sudah berputus asa dan ingin pulang. 

Saya berjaya mara sekitar 200 meter lagi. Dan mereka berkata, "Marilah kita bekerja dalam kumpulan, membentuk garisan untuk panduan buat pasukan." Ketika satu pasukan tidur, pasukan yang lain sambung, bertukar-tukar, sepanjang masa, tanpa henti. Kami mula mara dengan pantas kerana hujan sudah berhenti, dan penglihatan juga semakin baik, arus semakin kurang, dan kami sememangnya sangat laju merentasi gua. 

Ini melibatkan selaman selama 6 hingga 8 jam. Sangat, sangat memenatkan.

Wartawan:

Jadi bagaimana sebenarnya pasukan penyelam mencari mangsa-mangsa?

Penyelam:

operasi menyelamat mangsa di gua thailand

Bahagian paling susah adalah mencari T-Junction, iaitu laluan kecil dalam gua dengan belok yang tajam, yang merupakan terowong kecil yang akhirnya membawa kepada penemuan kesemua mangsa. Kami tersekat beberapa kali, dan hampir hilang sabar. 

Tidak lama kemudian pasukan kami menemui T-Junction tersebut, dan terus mara untuk 400 meter seterusnya, mengikuti arah yang betul. Kami berhenti kira-kira kurang daripada 500 meter daripada lokasi mereka ditemui, kerana kami tidak menemui jalan. Jadi kami terpaksa berpatah balik. Sangat mengecewakan. 

Apabila kami keluar, penyelam British pula sedang masuk, dan kami memberitahu mereka, "Anda mungkin boleh menemui mangsa, kami rasa mereka berada dalam 400 hingga 800 meter daripada sini." Mereka pun masuk selepas kami keluar, dan 3 jam kemudian, mereka timbul di ruangan di mana kesemua mangsa berada. Anda sudah pasti melihat rakaman tersebut.

Saya seperti tidak percaya. Terutamanya kerana kesemua 13 orang mereka masih hidup, tiada seorang pun yang cedera dan tahap mental mereka pun baik. Dalam keadaan gembira ditemui, mereka sempat lagi bertanyakan hari apakah pada waktu itu. Menakjubkan.

Wartawan:

Bagaimana proses membuat keputusan dilakukan untuk misi menyelamat?

Penyelam:

penyelam mengusung mangsa gua thailand

Sangat jelas bahawa seluruh dunia... mempunyai cara penyelesaian. Awak tentu tidak percaya mesej yang saya terima. Saya terpaksa menolak panggilan telefon, namun mereka terus menelefon dan berkata, "Kami daripada pejabat Elon Musk," dan saya jawab, "Okay, adakah selepas ini Barack Obama pula akan menelefon saya?"

Mereka menjawab, "Tidak, buka email awak, ini memang kami," and ianya adalah daripada (seseorang)@spaceX dan saya berkata, "Oh, maafkan saya." Mereka memberitahu bahawa mereka mempunyai penyelesaian.

Banyak cara telah dilakukan untuk menyelamat, percubaan menebuk gua, menggunakan sonar di hutan bagi mencari laluan masuk alternatif, membuat kapsul untuk membawa mereka keluar. 

Salah satu cadangan daripada pasukan penyelamat adalah untuk mengajar mereka cara untuk menyelam. Namun menyelam sudah cukup sukar buat penyelam berpengalaman. Risikonya adalah sekiranya mereka panik, dan membuka topeng selam, mereka akan lemas. Gua ini dalam, tiada peluang untuk hidup.

Mereka juga sangat kurus dan lemah, tidak mungkin mereka dapat menyelam. Kami membuat keputusan untuk meletakkan mereka di atas pengusung, dengan topeng selam penuh, bersama tangki oksigen untuk mereka. 

Suhu gua agak sejuk, dan walaupun mereka memakai sut basah, metabolisma mereka sangat rendah dan dalam keadaan separa sedar ketika dibawa keluar. Mereka dengan segera terpaksa dikuarantinkan dan diberikan bantuan kesihatan.

(PS: Terdapat beberapa laporan mengatakan bahawa mangsa-mangsa telah diberikan ubat penenang).

Kesihatan mereka berada pada tahap yang baik. Apa yang saya dengar, jurulatih itu mengamalkan sesi meditasi bersama kanak-kanak ketika mereka berada di dalam gua supaya mereka bertenang. 

Wartawan:

Bagaimana penyelam bergerak bersama pengusung melalui bahagian paling sempit di dalam gua tersebut?

Penyelam:

keadaan gua tham luang thailand yang sempit

Ruangan paling kecil sebenarnya adalah seluas 2 kaki (bersama 61 sentimeter), dengan ketinggian yang sama. Kanak-kanak ini agak kurus dan diikat pada pengusung. Kami terpaksa menarik dan mengheret pengusung melalui ruangan tersebut. Atas sebab inilah kami membuat keputusan untuk mengikat mereka dan menutup muka dengan topeng penuh, sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya mereka panik. Ianya bukan mudah.

Saya berada di luar gua ketika operasi menyelamat dijalankan, kerana tangan saya tercedera. Terdapat sebanyak 24 orang penyelam yang terlibat, dan pengusung bersama mangsa yang berada di atasnya ditarik keluar seorang demi seorang oleh para penyelam. Mangsa diserahkan dari satu kumpulan penyelam, kepada kumpulan yang lain pada lokasi bersambungan. Setiap mangsa mengambil masa 2 jam untuk dikeluarkan.

Wartawan:

Bagaimana akhirnya masa yang diambil lebih singkat berbanding ketika awal permulaan operasi mencari?

Penyelam:

misi menyelamat mangsa gua thailand

Sehingga kini, kami sudah tahu tentang gua ini. Pada awalnya, kami terpaksa mencari di samping melawan arus air. Tapi sekarang, strategi berubah. Pada ketika satu pasukan selam sudah penat mengusung mangsa sejauh 100 meter, mereka menyerahkan mangsa kepada pasukan yang lain. Lebih efisyen, sebab itulah. 

Selain itu, di Kem 3, pasukan pendaki batu telah memasang penyangkut pada bumbung gua bersama dengan kabel zip yang membolehkan pengusung (dan mangsa) disangkutkan padanya. Pada awalnya penyangkut ini dipasang untuk memudahkan proses mengangkut 500 tangki oksigen ke dalam gua. Dengan penyangkut tersebut, pengusung dapat dikeluarkan dengan lebih pantas. Tambahan kanak-kanak pula sangat ringan. Namun, dalam sehari hanya 4 orang sahaja dapat dikeluarkan.

Wartawan:

Sudah berapa lama pengalaman anda menyelam di gua? Apa yang menarik minat anda untuk melakukannya?

Penyelam:

ben reymenants penyelam gua tham luang thailand

Secara tidak rasmi, pengalaman menyelam saya adalah sekitar 20 tahun, dan saya menjadi tenaga pengajar aktiviti ini sejak 10 tahun lalu. Tidak sampai 10 peratus gua yang ditenggelami air di bumi telah diterokai manusia. Ianya adalah sempadan terakhir buat manusia kerana tiada mesin atau haiwan dapat memasukinya. Hanya manusia yang terlatih sahaja dapat melepasinya, itu yang menjadikan ia istimewa. 

Wartawan:

Berapa kerapkah misi menyelamat di gua seperti ini dijalankan, dan bagaimana anda bandingkan kes ini dengan kes-kes lain?

Penyelam:

papan tanda dilarang masuk gua thailand

Misi menyelamat di gua jarang berlaku kerana kebanyakan negara mempunyai polisi yang menghalang penyelam gua yang tidak bertauliah daripada memasuki ke dalam gua untuk aktiviti tersebut. 

Gua ini (Tham Luang) pula hanya dikunjungi ketika musim kering, kering sepenuhnya, dan orang ramai boleh berjalan di atasnya. Ianya adalah sebuah gua yang sangat dalam, sekitar 9 kilometer panjang.

Apabila ditenggelami air, tiada siapa pun yang menyelam di sana. Tiada sebarang panduan. Selalunya, gua yang mempunyai aktiviti selam akan mempunyai panduan lengkap dan anak panah yang menunjukkan jalan keluar, dan diletakkan tanda keselamatan, namun gua ini tiada apa-apa. Jadi terpaksa mencari laluan sendiri dengan menggunakan peta asas. 

Wartawan:

Saya dengar 2 buah filem akan dibuat berdasarkan kes ini. 

Penyelam:

Terdapat terlalu banyak permintaan untuk itu. Discovery Channel, National Geographic. 

Penulis: Alhamdulillah, semoga kesemua mangsa kembali pulih dan segera pulang ke pangkuan keluarga. Mak ayah pasti sudah lama menunggu.

Sumber:

  1. vox.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)