letupan kilang chernobyl

Sudah lebih 30 tahun tragedi letupan kilang nuklear di Chernobyl berlaku. Malah, peristiwa ini juga banyak diperkatakan sejak kebelakangan ini apabila siaran televisyen HBO menayangkan drama bersiri Chernobyl yang diinspirasikan daripada kisah sebenar yang telah terjadi pada tahun 1986 itu.

Sebelum ini, pihak Iluminasi pernah berkongsi mengenai Valery Legasov, saintis terawal yang mengkaji punca-punca terjadinya tragedi besar ini. Beliau antara individu yang mengetahui segalanya yang berlaku di Chernobyl dan melihatnya dengan kedua biji matanya sendiri.

Masyarakat antarabangsa menganggapnya sebagai hero kerana berani mendedahkan kebenaran sebenar tentang tragedi ini di satu kes pendengaran di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di Vienna. Selain Valery Legasov, terdapat 3 orang pemuda yang boleh dianggap sebagai hero dalam tragedi ini bagi mengelakkan matapetaka lebih besar terjadi.

Suicide Squad

suicide squad

Sesetengah masyarakat menggelar mereka sebagai "suicide squad". Bukanlah bermakna mereka membunuh diri, sebaliknya mereka telah mengambil tindakan drastik yang sangat berisiko tinggi untuk menyelamatkan jutaan nyawa manusia daripada terkorban dalam tragedi ini.

Salah seorang daripada pemuda ini adalah Alexei Ananenko sementara 2 orang lagi pemuda dikenali sebagai Boris Baranov dan Valeri Bezpalov. Ketiga pemuda ini dikatakan merupakan pekerja kilang tersebut dan bukanlah unit atau agensi keselamatan khas. Tanpa tindakan pantas daripada 3 individu ini, letupan lebih besar mungkin akan berlaku dan menyebarkan radioaktif ke sebahagian besar kawasan di Eropah.

chernobyl 86

Kesilapan manusia dan masalah dalam reka bentuk reaktor nuklear dikatakan sebagai penyebab utama ini. Selepas letupan pertama pada reaktor Unit 4, semua api berjaya dipadamkan oleh anggota bomba dan pelbagai agensi lain dalam tempoh 6 jam. Namun, itu tidak bermakna kilang tersebut sudah berada dalam keadaan selamat.

Beberapa hari kemudian, pasukan penyiasat menemui sesuatu yang menakutkan. Mereka dapati bahagian teras reaktor yang sudah meletup itu masih panas dan mencairkan bahagian bawah atau tapak reaktor tersebut.

Di bawah reaktor tersebut, terdapat sebuah tangki yang berfungsi sebagai sistem penyejukan bagi kilang tersebut. Sekiranya bahan radioaktif daripada reaktor Unit 4 tersebut sampai ke kolam tersebut, satu tindakbalas kimia akan menghasilkan letupan yang jauh lebih dahsyat daripada letupan pertama.

Usaha berani mati

bomba padam api 124

Menyedari saat yang genting ini, pilihan utama yang dimiliki adalah mengosongkan tangki tersebut sepenuhnya. Pasukan bomba yang bertugas walau bagaimanapun gagal untuk menyedut keluar 43 juta gallon air menggunakan hos khas.

Ketika inilah, Alexei Ananenko, Boris Baranov dan Valeri Bezpalov tampil ingin membantu mengosongkan tangki tersebut. Mereka bercadang untuk turun ke bawah tangki tersebut dan membuka injap dibawahnya bagi membolehkan cecair dalam tangki tersebut keluar.

Misi ini dianggap sangat merbahaya memandangkan kesemua mereka tidak pasti bagaimanakah rupanya keadaan di bawah sana. Malah, bila-bila masa sahaja letupan kedua mungkin akan berlaku dan mengorbankan nyawa mereka kesemua.

tragedi chernobyl 246

Misi ini berjaya. Dengan menggunakan hanya lampu suluh, mereka berjaya menemui injap bagi membuka saluran tangki tersebut. Setelah berjaya membukanya, mereka dapat mendengar bunyi deruan air keluar. Ini bermakna, tangki tersebut mungkin akan dapat dikosongkan tidak lama selepas itu.

Andrew Leatherbarrow, penulis buku Chernobyl 01:23:40 (2016) mendedahkan, tanpa tindakan berani daripada ketiga-tiga individu ini, malapetaka yang lebih besar mungkin akan terjadi kerana letupan susulan yang berlaku juga akan menyebabkan letupan pada 3 reaktor yang lain.

Beliau turut menulis dalam buku tersebut bahawa ketiga-tiga pemuda ini memasuki bahagian bawah reaktor tersebut hanya dengan memakai pakaian renang dan terpaksa berjalan di dalam air yang mengandungi radioaktif pada paras lutut dan mengharungi begitu banyak paip dan injap di bawah reaktor tersebut.

Nasib ahli Suicide Squad

drama chernobyl

Sedutan dari drama Chernobyl

Selepas peristiwa ini, ramai pihak yang membuat spekulasi ketiga mereka meninggal dunia akibat keracunan radioaktif tidak lama selepas itu.

Namun, itu semua hanyalah khabar angin kerana ketiga mereka selamat dan hidup lama selepas kejadian itu. Boris Baranov meninggal dunia pada tahun 2005 tetapi Valeri Bespalov masih hidup dan tinggal di Ukraine, sama dengan Alexei Ananenko.

Kredit:

  1. Business Insider
  2. IFL Science
  3. The Sun


Hakcipta iluminasi.com (2017)