Oleh pada 21 Jul 2018 kategori

Pada 15 April 1912, dianggarkan seramai 2,224 berada di atas kapal RMS Titanic ketika mana ia tenggelam ke dalam lautan berais Atlantik Utara, dan hanya kira-kira 700 penumpang sahaja yang terselamat.

Namun kini, selepas lebih daripada 100 tahun kemudian, kisah mengenai 6 orang daripada 700 nyawa yang terselamat dan mengapa kisah mereka dilupakan, baru sahaja diketahui dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Semuanya disebabkan oleh sebuah dokumentari yang diberi nama "The Six", yang dijangka dikeluarkan pada akhir 2018, yang mana dunia akan mengetahui kisah 6 orang Cina yang terselamat dari Titanic dan tidak pernah mendapat perhatian sewajarnya.

dokumentari the six mengisahkan 6 orang cina yang terselamat dari tragedi titanic

Lee Bing, Fang Lang, Chang Chip, Ah Lam, Chung Foo, Ling Hee, Lee Ling dan Len Lam merupakan penumpang kelas ketiga yang semuanya tersenarai dalam satu tiket ketika mereka menempah untuk menaiki kapal Titanic.

Mereka telah bekerja dalam kapal kargo di antara China dan Eropah, dan seperti kebanyakan penumpang kelas ketiga yang lain, mereka mungkin bertekad untuk memulakan kehidupan baru di Amerika Syarikat.

Dipercayai bahawa Lee Ling dan Len Lam telah terkorban tenggelam bersama-sama Titanic, namun 6 yang lain terselamat.

Beberapa di antara mereka terselamat dengan berjaya menaiki bot penyelamat terakhir dan yang lain dengan berpaut kepada serpihan kapal di laut.

tiket kelas ketiga yang menyenaraikan semua penumpang cina ke dalam titanic

Dan disebabkan mereka orang Cina, segalanya sukar bagi mereka. Butiran terperinci tentang kisah bagaimana mereka terselamat adalah terhad.

Namun menurut satu sumber, pegawai yang menguruskan bot penyelamat yang mana direnangi oleh salah seorang daripada mereka, ragu-ragu untuk membenarkannya menaiki bot tersebut.

Pegawai tersebut memberitahu bahawa ada orang lain yang lebih berharga untuk diselamatkan berbanding individu tersebut.

Namun, mereka yang berada di atas bos tersebut telah memujuk pegawai itu untuk membenarkannya menaiki bot.

Mangsa yang dilupakan

bot penyelamat terakhir yang berlepas dari titanic

Walaupun media yang tergilakan kisah Titanic dan bersemangat menceritakan kisah mereka yang terselamat dan yang terbunuh akibat tragedi itu, namun ia hanyalah dikhaskan untuk penumpang British dan Amerika Syarikat sahaja.

Malah, dalam satu-satunya laporan media mengenai 6 orang Cina yang terselamat ini, telah direndah-rendahkan dan dituduh telah menyembunyikan diri di dalam bot penyelamat tersebut di mana mereka "dijumpai, terjerumus di bawah kerusi".

Tiada bukti untuk mengiyakan bahawa mereka melakukan tindakan tersebut.

Salah seorang daripada daripada mereka yang terselamat (bukan daripada 6 orang Cina tersebut) memberitahu bahawa salah seorang daripada lelaki Cina itu bekerja keras dalam mengayuh bot mereka.

dua bot penyelamat yang dipenuhi mangsa yang terselamat menghala ke kapal penyelamat

Apabila keenam-enam orang Cina ini sampai ke Amerika Syarikat selepas kejadian, mereka tidak diberikan sambutan yang hangat seperti mana diterima oleh orang lain.

Malah, menurut Steven Scwankert, ketua ahli sejarah bagi dokumentari The Six ini mengatakan bahawa:

"6 orang Cina tersebut terselamat daripada insiden itu dan 24 jam kemudian mereka dipadam daripada kisah itu,".

Mengapa perkara ini berlaku?

Tindakan perkauman terhadap orang-orang Cina mempunyai sejarah yang panjang di Amerika Syarikat, namun ia merupakan isu yang hangat untuk berdekad-dekad yang menyelubungi tragedi Titanic.

Dengan ramai warga Amerika Syarikat bimbangkan akan peningkatan migran China dan bagaimana ia akan memberikan kesan kepada politik dan ekonomi mereka, kerajaan telah meletakkan beberapa kuota terhadap kemasukan migran China.

golongan sino american

Akta Pengecualian Cina 1882 menggantung kemasukan migran Cina ke Amerika Syarikat selama 10 tahun dan ia diperbaharui pada tahun 1892.

Akhirnya, ada tahun 1902, kemasukan migran Cina telah diharamkan secara terang-terangan, menjadikannya sebagai langkah pertama terhadap sesebuah etnik atau bangsa dalam sejarah Amerika Syarikat.

Sehinggalah pada tahun 1943, apabila China berperang bersama-sama kuasa Allied ketika Perang Dunia Kedua, membuatkan warga China menjadi layak untuk mendapat kewarganegaraan Amerika.

Selepas terselamat daripada antara salah satu bencana laut terdahsyat dalam sejarah moden, enam warga China ini telah dipaksa untuk keluar daripada Amerika Syarikat.

Dan hampir seratus tahun selepas itu, ia tidak diketahui apa yang berlaku kepada mereka, sehinggalah krew-krew dokumentari The Six melakukan pencarian.

Ia bukanlah tugas yang mudah, bukan sahaja kerana 100 tahun telah berlalu, tetapi kerana seperti mana yang dijelaskan oleh direktor Arthur Jones:

"Sejarah keluarga Cina adalah tersangat sukar dicari, terutamanya dokumen dalam bahasa Inggeris seperti rekod perkapalan, di mana nama-nama disalin secara tidak konsisten,".

Namun disebabkan kerja keras para penyelidik, ahli sejarah dan kempen media sosial besar-besaran, mereka berjaya menjejaki setiap langkah 6 orang yang terselamat ini selepas mereka seolah-olah hilang daripada sejarah.

Jejak itu kebanyakannya membawa ke China yang mana telah diramalkan sebelum itu. Walau bagaimanapun, dalam satu kes, salah seorang daripada mereka kembali ke Amerika Syarikat, negara yang pernah menutup pintunya terhadap mereka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)