30 tahun sebelum tragedi reaktor nuklear di Chernobyl meletup yang dianggap sebagai di salah satu kemalangan nuklear yang paling dahsyat dalam sejarah, terdapat satu lagi kemalangan besar di satu lagi loji kuasa nuklear Soviet Union. Malangnya, ia jarang diperkatakan memandangkan tragedi ini telah disembunyikan oleh para pegawai Soviet selama lebih dari tiga dekad.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kemalangan ini berlaku di Mayak, salah satu kemudahan loji nuklear terbesar di Rusia yang terletak berhampiran bandar Kyshtym di daerah Helyabinsk di kawasan pergunungan Ural.

Fasiliti loji nuklear ini telah dibina sejurus selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua yang berfungsi sebagai lokasi untuk program nuklear Soviet Union baru baru pesat membangun. Tujuan utamanya adalah untuk menghasilkan plutonium untuk pembuatan senjata nuklear.

Kelahiran program senjata nuklear Soviet Union

tanda larangan kyshtym 297

Program nuklear Soviet bermula dengan perlahan. Pemimpin tertinggi Soviet pada ketika itu tidak mempunyai banyak pengetahuan terhadap tenaga nuklear. Para saintis Soviet sendiri berpendapat bahawa senjata atom tidak boleh dilaksanakan dan selain hanya membawa kebaikan daripada segi akademik, mereka berpendapat penyelidikan nuklear tidak mempunyai aplikasi praktikal.

Disebabkan inilah, kebanyakan kajian yang dilakukan mengenai tenaga ini tidak dirahsiakan dan diterbitkan di bawah domain awam dalam jurnal akademik yang membolehkan sesiapa sahaja mengaksesnya termasuklah orang awam dan pihak musuh.

Seorang ahli Fizik Russia, Georgy Flyorov sedar bahawa terdapat kekurangan kajian lengkap mengenai subjek ini daripada Jerman, British dan Amerika Syarikat seolah-olah mereka cuba menyembunyikan sesuatu mengenainya. Oleh itu, beliau telah mencadangkan pemerintah tertinggi Soviet Union untuk memulakan program nuklear mereka sendiri.

Malangnya, cadangannya ini telah ditolak mentah-mentah. Bukan itu sahaja, pihak Soviet juga telah  menghantar saintisnya ini untuk bekerja di industri metalurgi dan perlombongan sebagai hukuman terhadap cadangannya yang dianggap mengarut dan sia-sia.

Namun, segalanya berubah apabila para pemimpin Soviet menyaksikan sendiri kekuatan senjata nuklear yang ditunjukkan dalam serangan bom atom di Hiroshima dan Nagaski. Sejak daripada itu, mereka sedar betapa seriusnya mereka perlu mempunyai program pembangunan senjata nuklear dalam masa terdekat.

Pembinaan fasiliti loji nuklear yang terburu-buru

radioaktif

Setalah menyedari kekuatan senjata nuklear yang dibangunkan oleh pihak musuh, pihak Soviet sedar banyak yang perlu mereka kejar untuk menyayingi kekuatan senjata nuklear musuh. Maka, lahirlah idea pembinaan fasilit loji senjata nuklear di Mayak.

Lavrentiy Beria, Marshal Soviet Union, Ketua Polis Rahsia dan Ketua Program Nuklear Soviet telah  memaksa lebih dari 40.000 tawanan Gulag dan tawanan perang untuk membina loji itu dan bandar tertutup Ozersk yang terletak di kawasan pinggiran yang akan menjadi tempat tinggal pekerja dan keluarga mereka yang bekerja di loji nuklear itu kelak.

Mayak dirancang untuk menjadi reaktor nuklear terbesar Soviet Union. Kilang ini meliputi lebih dari 90 kilometer persegi, dan dikelilingi oleh zon pengecualian 250 kilometer persegi. Ia cukup besar untuk menjadi sebuah bandar, tetapi Mayak dan Ozersk tidak dapat ditemui di peta awam Soviet. Kewujudan dan lokasinya disimpan rahsia.

Sejak daripada awal, Mayak adalah loji nuklear yang berbahaya. Keselamatan pekerja diabaikan atau pembuangan bahan buangan juga tidak dilakukan mengikut prosedur keselamatan yang sebenar. Sisa radioaktif yang dihasilkan daripada bahan bakar nuklear yang digunakan pada mulanya disimpan di bawah tanah.

Namun apabila tapak pembuangan sisa itu kehabisan ruang, sisa bahan radioaktif  telah dibuang pula ke Sungai Techa yang mengalir perlahan. Sungai ini pula merupakan sumber air utama yang digunakan oleh lebih daripada seratus ribu orang yang tinggal di kawasan hiliran sungai tersebut.

Selain itu, reaktor di fasiliti ini juga disejukkan menggunakan air dari Tasik Kyzyltash dalam sistem penyejukan kitaran terbuka di mana air yang tercemar akan dibuang terus ke dalam tasik. Dalam masa beberapa tahun, kawasan desa dan semua air di sekitar Mayak menjadi sangat tercemar.

Tragedi Kyshtym

tragedi kyshtym

Protokol keselamatan yang tidak dipraktikkaNn telah mengakibatkan beberapa kemalangan maut. Salah satu kemalangan direkodkan pertama berlaku pada tahun 1953, tetapi tidak diketahui sehingga seorang pekerja mengalami penyakit radiasi yang teruk yang memerlukan kedua-dua belah kakinya dipotong.

Walau bagaimanapun, tragedi terbesar yang berlaku di loji nuklear ini adalah kejadian letupan pada 29 September 1957 yang dikenali sebagai "Tragedi Kyshtym". Ianya bermula apabila sistem penyejukan di salah satu tangki penyimpanan sisa gagal berfungsi tetapi tidak dapat dikesan sehingga tangki meletup dengan kekuatan yang bersamaan dengan kira-kira 70 ton TNT.

Walaupun tidak ada kecederaan langsung dari letupan itu, tragedi itu menyebarkan kesan radioaktif ke langit sehingga ke ketinggian satu kilometer. Pada hari itu, penduduk di daerah Chelyabinsk telah melihat warna yang luar biasa di langit. Akhbar tempatan pula berspekulasi tentang cahaya kutub yang kelihatan jauh di selatan.

Kerana kerahsiaan di kawasan Mayak, penduduk kampung ini tidak diberitahu mengenai kemalangan itu. Dalam beberapa hari yang mendatang, awan yang tercemar dengan sisa radioaktif itu ditiup ke timur laut sejauh beratus-ratus batu yang telah menjejaskan kawasan seluas 15,000 hingga 20,000 kilometer persegi dan meletakkan risiko kepada 270,000 orang penduduk.

Pemindahan penduduk di kawasan terdekat hanya bermula seminggu kemudian. Orang awam tidak diberitahu apa yang berlaku, mereka hanya diminta untuk mengemas beg dan meninggalkan rumah mereka. Dalam tempoh dua tahun, hanya kira-kira 10,000 orang dipindahkan.

Pendedahan mengenai Tragedi Kyshtym

chernobyl rusia yang dirahsiakan selama 40 tahun

Ura-ura mengenai Tragedi Kyshtym mula dipaparkan di media-media Barat seawal 1958. Sebuah akhbar daripada Copenhagen mendakwa kejadian inilah yang telah menyebabkan pihak Soviet Union memberhentikan program senjata nuklearnya pada bulan Mac tahun tersebut.

Satu tahun kemudian iaitu pada 1959, sebuah akhbar Austria membuat pendedahan mengenai tragedi ini namun telah dinafikan oleh pihak Soviet Union. Hinggalah  pada tahun 1976, Zhores Medvedev, seorang ahli Biologi Soviet yang telah dibuang ke England telah menulis beberapa siri artikel mengenai tragedi ini yang dimuatkan dalam akhbar New Scientist.

Dakwaan beliau ini turut diperkuatkan oleh Lev Tumerman, seorang saintis Soviet yang telah menyaksikan sendiri tapak tragedi tersebut pada tahun 1960. Beliau kemudiannya telah berhijrah keluar dan menulis tentang apa yang sebenar-benarnya dilihat oleh kedua matanya sendiri.

Walaupun begitu, bagi para saintis tulisan-tulisan ini belum dapat membuktikan tragedi sebenarnya yang berlaku. Sehinggalah perpecahan Soviet Union, barulah kawasan ini dapat diakses untuk kajian. Jumlah sebenar mangsa yang terkorban tidak dapat dikenalpasti kerana banyak rahsia yang telah disembunyikan oleh pihak Soviet.

Namun, menurut Zhores Medvedev, tragedi ini dianggap lebih parah daripada kejadian letupan loji nuklear di Chernobyl memandangkanya ia telah menghasilkan sisa-sisa radioaktif Strontium-90 dalam kuantiti yang yang lebih besar daripada kejadian di Chernobyl. Sehingga ke hari ini, laporan penyakit kanser, kecacatan kelahiran dan pelbagai masalah kesihatan dilaporkan masih lagi tinggi di kawasan yang berdekatan dengan tragedi ini.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Stanford University
  3. Britannica Encyclopaedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)