Pada tahun 1986, sebuah letupan loji reaktor nuklear berlaku di Ukraine di stesen janakuasa Chernobyl, yang mengakibatkan tragedi nuklear terburuk yang berlaku di dunia setakat ini.

Tak sampai 3 kilometer daripada reaktor nuklear tersebut, terletak satu bandar kecil yang menempatkan 50 ribu penduduk, yang rata-ratanya pekerja di reaktor nuklear tersebut. Bandar bernama Pripyat itu terpaksa dikosongkan selepas letupan tersebut dan penghuninya berpindah tergesa-gesa meninggalkan segala harta dan barangan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sehingga sekarang bandar Pripyat masih lagi kosong tidak berpenghuni. Fasiliti telekomunikasi dimatikan dan bekalan air serta elektrik ditutup selepas penduduknya diberi masa selama 36 jam untuk mengosongkan bandar tersebut.

iluminasi pripyat bandar sunyi3

Nama Pripyat datang daripada sungai yang menjadi tulang belakang bandar tersebut. Pripyat dibangunkan bermula pada 1970 dan kemudiannya diisytiharkan sebagai bandar nuklear ke-9 oleh kerajaan Soviet Union.

Tragedi Chernobyl yang berlaku pada 26 April 1986 merupakan kisah klasik kecuaian manusia dalam menjaga keselamatan. Satu ujian ketahanan dijalankan di salah sebuah reaktor yang ada pusat reaktor Chernobyl. Ujian tetap dijalankan walaupunsistem keselamatan tidak diaktifkan dan terdapat beberapa lagi kecuaian melibatkan keselamatan yang tidak diambil kira.

Hasil daripada itu, ujian yang dijalankan menjalani fasa luar kawalan yang menyebabkan air di dalam bahagian penyejukan reaktor bertukar menjadi wap panas yang meletup. Apabila berlaku letupan pada badan reaktor, ini menyebabkan bahan graphite terdedah kepada udara yang menyebabkan kebakaran nuklear yang membakar selama hampir 9 hari.

Api yang marak membebaskan pelbagai zarah-zarah nuklear dan isotopes beradiasi yang merebak melalui angin. Isotope beracun ini masuk ke udara dan tersebar di atas tanah lalu menyebabkan penduduk bandar Pripyat diminta meninggalkan bandar mereka serta merta.

iluminasi pripyat bandar sunyi5

Ketika letupan 2 nyawa telah terkorban yang kemudiannya meningkat kepada 31, setelah beberapa orang lagi mengalami keracunan radiasi akibat pencemaran.

Tragedi Chernobyl diisytiharkan sebagai bencana paling dahsyat dalam sistem bencana nuklear yang mengkategorikan letupan tersebut pada skala 7.

iluminasi pripyat bandar sunyi7

Kini setelah lebih 30 tahun tragedi Chernobyl berlaku, kesan radiasi yang berkurangan menyebabkan beberapa tempat di Pripyat selamat untuk dikunjungi bagi menyaksikan sendiri rupa sebuah bandar yang ditinggalkan begitu saja. Kerajaan Ukraine pada 2011 mula membenarkan aktiviti pelancongan bagi mereka yang berminat hendak melihat dengan mata sendiri Pripyat.

Ada juga bekas penduduk yang sudah kembali menjenguk rumah mereka yang ditinggalkan untuk meneruskan semula kehidupan walaupun berdepan risiko radiasi. Bagaimana mereka tinggal di sana, hanya mereka yang tahu.

Tahap radiasi di Pripyat berubah-ubah mengikut waktu yang tidak memungkinkan seseorang tinggal lama di situ. Kesan radiasi yang masih belum hilang di semua bangunan, pokok dan fasiliti menyukarkan lagi pembangunan semula Pripyat.

iluminasi pripyat bandar sunyi6

Pripyat hanya boleh dibangunkan selepas seluruh bandarnya dirobohkan untuk dibina semula dan itu besar kemungkinan, sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh kerajaan Ukraine.

Bandar Pripyat kini diambil alih oleh alam semulajadi. Binatang liar banyak yang berkeliaran dan hutan mula menebal menutupi kebanyakan kawasan yang telah dibangunkan dahulu. Pokok sudah banyak tumbuh mengatasi bumbung, menjadi penghias kepada semua hak milik penduduk yang masih lagi terletak di tempat yang sama, semenjak tahun 1986.




Hakcipta iluminasi.com (2017)