Solothurn adalah sebuah bandar yang indah, terletak di barat laut Switzerland. Apa yang lebih menarik mengenai bandar ini ialah hubungan istimewanya dengan angka 11.

Apa yang berlaku di tempat ini seperti segala-galanya direka agar mempunyai kaitan dengan "nombor ajaib" ini. Di Solothrun terdapat 11 buah gereja, 11 buah gereja kecil, 11 air pancut bersejarah, 11 muzium dan 11 buah menara. Bukan itu sahaja, malah sebuah jam aneh yang dipasang di pusat bandar Solothurn hanya mempunyai angka 1 hingga 11 sahaja.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun hampir semua penduduk dan pelawat di bandar Solothurn tahu tentang obsesi bandar ini dengan nombor 11 tetapi asal-usul kepada kejadian itu masih lagi diselubungi misteri.

jam di solothurn

Sebahagian orang mengatakan perkara itu diilhamkan oleh sebuah kisah legenda rakyat. Ia mengenai sekumpulan pari-pari ajaib yang turun dari pergunungan Weissenstein yang terletak berhampiran dengan bandar itu.

Makhluk-makhluk itu datang untuk memberi semangat kepada penduduk tempatan kerana mereka selalu bekerja keras tetapi tidak menjadi kaya atau makmur.

Penduduk yang berasa syukur kemudian mula menggunakan nombor 11 atau "elf" dalam bahasa Jerman sebagai penghormatan kepada bantuan makhluk ajaib itu.

elf

Akan tetapi, ada juga yang percaya bahawa nombor 11 mempunyai maksud yang tersirat dalam kitab Bible yang berkaitan dengan kudus dan ramalan. Apa yang pasti ialah, obsesi penduduk dan bandar Solothurn dengan nombor ini dapat dikesan sejak beberapa abad yang lalu lagi.

Kali pertama sejarah berkaitan nombor 11 dengan Solothurn bermula sejak 1252 lagi apabila kesatuan pertama bandar itu mengundi untuk menubuhkan majlis bandar dengan memilih 11 orang ahli.

Kemudian pada tahun 1481, Solothurn menjadi bahagian wilayah ke-11 Konfederasi Swiss. Satu abad kemudiannya ia dibahagikan pula kepada 11 tanah naungan. Hakikat bahawa terdapat 11 pertubuhan berbeza di bandar ini, disebutkan dalam rekod sejarah bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

katedral st ursus

Katedral St. Ursus

Salah satu lagi contoh hebat obsesi Solothurn dengan nombor 11 ialah gereja Katedral St. Ursus yang terdapat di sini. Direka oleh arkitek Itali, Gaetano Matteo Pisoni, pembinaan gereja itu mengambil masa selama 11 tahun.

Gereja itu mempunyai tiga set laluan di mana setiap set mempunyai 11 baris, 11 pintu, 11 loceng dan 11 altar. Salah satu altar di situ diperbuat daripada 11 jenis marmar yang berbeza.

Apa yang lebih menarik ialah, semua altar di situ boleh dilihat secara serentak sekiranya anda berdiri di satu tempat khas iaitu batu hitam ke-11 yang terdapat dalam gereja ini.

taksub nombor 11

Kasawan untuk pelawat gereja berlutut disusun dalam 11 baris, begitu juga dengan kerusi panjang tempat untuk duduk. Malah, organ besar dalam gereja juga mempunyai 11 paip.

Bahagian tengah bangunan yang bercirikan Romanesque adalah berukuran 3 X 11 meter tinggi, manakala menara di luar gereja itu pula berukuran 6 X 11 meter tinggi. Katedral St. Ursus ini banyak mempunyai persamaan dengan nombor 11.

Seorang penduduk tempatan, Stalin Therese memberitahu BBC baru-baru ini bahawa Pisoni yang diarahkan oleh pihak berkuasa setempat untuk mengaitkan nombor 11 dengan gereja yang dibinanya begitu taksub dengan idea itu. 

solothurn 11

Penduduk tempatan Solothurn juga telah menggabungkan daya tarikan dengan nombor 11 ini ke dalam kehidupan seharian mereka. Sebagai contoh, mereka menyambut perayaan khas yang hanya diadakan pada hari ulang tahun kanak-kanak yang ke-11.

Begitu juga dengan perniagaan dan produk tempatan. Di bandar ini terdapat "Oufi-Bier" (Bir 11), "11-i Schokolade" (11 Coklat) dan juga "Oufiyoga" (Yoga 11 jam). Mereka juga dikenali kerana menjual wiski yang diperam selama 11 tahun.

Hubungan misterti antara penduduk dan bandar Solothurn dengan nombor 11 telah menjadi salah satu daya tarikan utama bagi pelancong datang ke bandar itu. Sekiranya anda berkunjung ke sana, anda boleh melanggan pemandu pelancong khas untuk menceritakan tentang sejarah dan keunikan nombor 11 di sini.

Rujukan :

1. BBC

2. Broad Jurnal

3. Yup That Exists




Hakcipta iluminasi.com (2017)