Sekitar tahun 1997, dunia dikejutkan dengan sebuah skandal dengan penipuan berbilion dolar Amerika. Kegiatan kes ini tidak jauh dari negara kita, iaitu di kepulauan Borneo, di mana terletaknya negeri Sabah dan Sarawak. Lebih tepatnya, kegiatannya berlaku di Kalimantan, Indonesia. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang skandal Bre-X.
BESARKAN TEKS A- A+
Permulaan Bre-X dan Operasi Perlombongan Emas
Michael de Guzman, seorang ahli geologi Filipina bergelut dalam kerjayanya kerana usaha dan hasil kerjanya tidak dipeduli oleh majikannya. Dia mahukan sebuah pengiktirafan bahawa beliau boleh membuat kerja dan pakar dalam bidangnya. Jadi, dia membuat suatu perancangan untuk menjadi kaya agar tidak lagi dipandang remeh.
Langkah pertama yang dilakukannya adalah meyakinkan dunia bahawa dia telah berjaya menemui emas di kepulauan Borneo. Dia memerlukan seseorang yang mempunyai kredibiliti untuk menyampaikan 'penemuannya' itu. Dia menyampaikan berita tersebut kepada seorang lagi ahli geologi, iaitu John Felderhof, yang berasa amat teruja tentang penemuan itu. Guzman meyakinkan Felderhof bahawa mereka memerlukan pelaburan luar untuk meneruskan projek tersebut.
Guzman meminta Felderhof untuk mencari pelabur yang berani untuk mengambil risiko dan tidak akan bertanya banyak soalan. Felderhof memperkenalkan Guzman dengan seorang ahli perniagaan dari Kanada iaitu David Walsh. Mereka bertiga bertemu untuk makan malam di sebuah restoran di Indonesia bagi membincangkan projek melombong emas, di mana Walsh serta merta bersetuju untuk melabur sebanyak $USD80,000.
Penipuan Guzman di Bawah Naungan Syarikat Bre-X Bermula
Dengan sumber kewangan yang kukuh, Guzman perlu menubuhkan sebuah pasukan dan memulakan pengambilan sampel teras daripada galian tanah. Selepas berjaya mengambil sampel teras yang telah dihancurkan, Guzman memastikan dia mempunyai 'masa bersama' dengan sampel berkenaan sebelum ianya dihantar untuk dianalisa.
Guzman mengikis emas daripada cincin perkahwinannya dan mencampur serpihan emas tersebut ke dalam sampel yang telah diambil. Guzman menggunakan kadar (ratio) sekitar 3 oz untuk setiap tan batuan sampel, cukup sedikit agar tidak menarik terlalu banyak perhatian luar. Analisa makmal berjaya dan Bre-X diberi kelulusan untuk meneruskan projek mereka.
Selepas pengumuman analisa dibuat, saham Bre-X mencanak, dan stok sen 'meletup' di Alberta Stock Exchange. Walaubagaimanapun, Guzman tidak mampu mengikis cincin perkahwinannya untuk selama-lamanya. Jadi, dia mula membayar penduduk tempatan untuk emas milik mereka, yang mereka perolehi melalui proses mendulang emas. Dalam tempoh 2 tahun setengah, Guzman telah membeli sejumlah emas dengan nilai sekitar $USD61,000.
Keraguan Tentang Penemuan Emas Oleh Guzman
Terdapat beberapa pelabur yang ragu-ragu dengan hasil penemuan Guzman, dan mereka menghantar auditor bebas bagi mendapatkan analisa yang lebih tepat dan adil. Emas hasil proses dulangan mempunyai sisi yang membulat, dan auditor yang dihantar menyedari akan hal ini. Namun, Guzman menerangkan bahawa ianya ada kaitan dengan sesuatu yang dipanggil sebagai teori 'volcanic pool'. Auditor tersebut yakin dengan penjelasan Guzman, dan saham Bre-X sekali lagi melonjak naik.
Guzman, Felderhoff dan Walsh kemudiannya menjual sebahagian kecil saham mereka pada harga $USD1 juta. Penemuan hasil kekayaan ini akhirnya menarik perhatian Presiden Indonesia ketika itu, iaitu Suharto yang turut mahu berkongsi bersama kekayaan berkenaan. Kerajaan Indonesia serta merta menarik balik permit projek perlombongan emas Bre-X.
Campur Tangan Kerajaan Indonesia ke Atas Aktiviti Perlombongan Bre-X
Campur tangan kerajaan Indonesia adalah permulaan bagi pengakhiran penipuan Bre-X. Menyedari apa yang bakal berlaku, Guzman telah dituduh dengan sengaja membakar pejabatnya, bagi menghapuskan segala bahan bukti penipuan. Kerajaan Indonesia akhirnya menarik balik 55 peratus penguasaan Bre-X terhadap kawasan lombong tersebut, dan diberikan kepada Freeport McMoran. Saham Bre-X turun mendadak sebanyak berbilion dolar.
Bagi mengimbangi kejatuhan saham Bre-X, Guzman menambah jumlah emas di dalam sampel teras, dan berjaya menaikkan kembali saham syarikatnya itu. Pemegang saham turut gembira dengan pencapaian ini. Selepas beberapa ketika melakukan penggalian, pelombong-pelombong Freeport McMoran gagal menemui sebarang serpihan emas di dalam sampel mereka. Mereka berasa sangat ragu-ragu dan meminta penjelasan daripada Guzman.
Terbongkarnya Operasi Guzman di Bawah Bre-X
Mendengar berita berkenaan, Guzman menaiki sebuah helipkopter untuk ke tapak penggalian, dan satu-satunya individu bersamanya di dalam helipkopter berkenaan adalah juruterbang. Menurut beberapa laporan, pada ketika juruterbang berpaling ke suatu arah, dan menoleh semula ke arah tempat duduk Guzman, Guzman telah hilang daripada pandangan. Ramai membuat kesimpulan bahawa Guzman melompat keluar daripada helipkopter berkenaan.
Beberapa hari kemudian, tentera Indonesia menemui mayat Guzman, dan dikatakan sebahagian besar mayatnya telah mereput, dan selebihnya telah dimakan oleh binatang. Keluarga Guzman juga tidak dibenarkan untuk melihat mayatnya. Tanpa sebarang jawapan dan emas, stok saham jatuh menjadi kosong.
Walsh menafikan bahawa dia terlibat dengan penipuan itu. Dia kemudiannya berpindah ke Bahamas dan mati diserang sakit jantung 2 tahun kemudian. Felderhof adalah satu-satunya individu yang didakwa, namun didapati tidak bersalah serta dibebaskan, dan kini tinggal di Cayman Islands.
Ramai berpendapat bahawa Guzman masih hidup. Seorang pakar mengeluarkan kenyataan bahawa Indonesia adalah negara yang paling mudah untuk menghilangkan diri dan kos untuk membeli mayat juga murah. Berkemungkinan besar Guzman telah membeli mayat dan ianya dibuang ke kawasan dia dikatakan hilang bagi mengaburi mata pihak berkuasa tentang keberadaannya yang sebenar.
Skandal seperti ini boleh merosakkan hidup ramai orang. Moga-moga Malaysia dijauhkan daripada bencana manusia seperti ini. Amin.
Rujukan & Bacaan Tambahan: