bola sepak 825

Tahu atau tidak, sesetengah daripada perkara yang kita ambil mudah pada hari ini pernah diharamkan satu ketika dahulu. Ia diharamkan walaupun tidak memberikan kemudaratan.

Selalunya, mereka yang bertanggungjawab ke atas undang-undang ini mempunyai motif selain daripada tujuan yang dinyatakan dalam larangan.

Perkara-perkara yang dilarang melibatkan sukan kepada minuman sehinggalah kepada perayaan. iluminasi.com kongsikan 10 perkara biasa pada hari ini yang pernah diharamkan satu ketika dahulu.

10. Bola sepak

bola sepak pernah diharamkan di england

Bola sepak mempunyai sejarah yang agak bergelora di England dan Scotland, di mana ia telah diharamkan beberapa kali.

Raja Edward II dari England mengeluarkan larangan pertama pada 13 April 1314, melarang sukan ini di London. Beliau memutuskan bahawa bola sepak menyebabkan bunyi bising dan boleh menyebabkan akibat yang tidak diingini.

Larangan kedua diikuti pada 1331, ketika Raja Edward III melarang bola sepak ke tahap yang lebih serius. Beliau melarang semua sukan pada tahun 1363 dan sebaliknya memerintahkan semua orang untuk belajar memanah. 

Raja Richard II, Raja Henry IV dan Raja Henry V juga melarang bola sepak semasa pemerintahan mereka.

Walaupun sebahagian besar larangan dikeluarkan atas kebimbangan bahawa orang menghabiskan lebih banyak masa bermain bola sepak daripada berlatih memanah, raja-raja tidak begitu prihatin dengan kecekapan memanah.

Bola sepak adalah permainan orang awam, tanpa penglibatan kaum bangsawan. Oleh itu, adalah menjadi kebiasaan jika golonga bangsawan berasa cemburu. 

9. Krismas

krismas pernah diharamkan

Pada tahun 1659, orang Puritans (Pembantah Inggeris pada abad ke-16 dan ke-17 yang berusaha untuk "membersihkan" Gereja England dari amalan "Katolik") telah melakukan yang mengejutkan dan mustahil, dengan mengharamkan Krismas.

Orang Puritan mempunyai tafsiran ketat terhadap agama Kristian dan percaya bahawa semua bentuk perayaan, termasuk Krismas, adalah satu dosa.

Perayaan Krismas pertama kali diharamkan di England pada tahun 1644 selepas orang Puritan menjadi majoriti dalam parlimen Inggeris. Orang Puritan di New England mengetahui tentang larangan ini lalu melakukan perkara yang sama.

Larangan itu tidak terhad kepada Krismas sahaja. Pokok pokok, hiasan, dan hidangan seperti pai ayam juga diharamkan. Untuk memastikan tiada siapa yang merayakan Krismas secara rahsia, mereka menuntut agar semua perniagaan tetap dibuka pada hari Krismas.

Pegawai-pegawai diarahkan untuk berjalan di sekitar bandar sehari sebelum Krismas, mengingatkan semua orang bahawa tidak ada Krismas pada keesokan harinya.

Krismas kekal diharamkan di England sehingga 1660 dan di New England sehingga 1681.

7. Catur

catur pernah diharamkan

Dalam tempoh yang berlainan dalam sejarah, catur telah diharamkan di Parsi, Mesir, Jepun, dan Perancis. Ia diharamkan di Afghanistan moden dan kini diharamkan di Arab Saudi.

Catur dilarang di Parsi pada tahun 644 AD, setelah kota itu ditawan oleh tentera Islam, Saidina Umar bin al-Khattab. Saidina Umar mengharamkan catur atas kebimbangan bahawa ia boleh menyebabkan perjudian berlaku.

Beberapa dekad selepas itu, Maharaja Jito mengharamkan catur di Jepun. Pada tahun 1005, ia telah diharamkan di Mesir, dan pada tahun 1061, Kardinal Damiani of Ostin melarang para pastor daripada bermain catur.

Catur diharamkan oleh gereja Ortodoks Timur pada tahun 1195 dan di Perancis pada tahun 1254. Raja Louis IX berkata catur "tidak berguna" dan "membosankan."

Taliban mengharamkan catur pada tahun 2001. Mereka mendakwa ia membuatkan orang terlepas solat dan boleh menggalakkan perjudian.

Ia diikuti oleh Arab Saudi pada tahun 2016, mengatakan permainan itu adalah satu pembaziran masa. Alasan asas yang disyaki adalah berkaitan dengan agama.

7. Bertih jagung

bertih jagung diharamkan satu ketika dahulu

Popcorn atau bertih jagung diharamkan dari pawagam semasa era filem senyap.

Pada ketika itu, filem adalah satu bentuk hiburan yang dinikmati oleh kelas atasan, yang tidak buta huruf dan dapat membaca sarikata dalam filem.

Pawagam telah dilengkapkan dengan perabot mewah untuk memenuhi sasaran penonton. Lantai ditutup dengan permaidani dan karpet mahal.

Pemilik teater tidak mahu kepingan bertih jagung merosakkan karpet mereka, jadi mereka mengharamkannya walaupun ia merupakan makanan jalanan yang lazim dijual pada masa itu.

Ini berubah semasa Great Depression, apabila filem-filem bunyi yang pertama muncul. Orang tidak lagi perlu dididik untuk menikmati filem kegemaran mereka.

Ini membuka peluang kepada kelas yang lebih rendah untuk memasuki panggung wayang. Mereka masuk dengan popcorn mereka yang murah, walaupun pada kemuncak Great Depression.

Penjual popcorn menyedari potensi pasaran yang besar dan memindahkan kedai mereka lebih dekat dengan pawagam.

Pemilik pawagam menyedari apa yang berlaku dan mula mengenakan bayaran kepada penjual yang ingin menjual popcorn di sekitar pawagam mereka.

Pemilik pawagam kemudian menyedari mereka akan mendapat lebih banyak keuntungan jika mereka menjual popcorn itu sendiri, jadi mereka membuka kedai popcorn sendiri di pawagam mereka, seperti mana yang wujud pada hari ini.  

6. Boling

boling pernah diharamkan satu ketika dahulu

Boling adalah salah satu lagi sukan yang diharamkan oleh raja-raja Inggeris terdahulu.

Raja Edward III, yang disebutkan kerana melarang bola sepak, telah mengharamkan boling pada tahun 1366 kerana ia mengganggu orang untuk berlatih memanah.

Raja Edward IV melarangnya lagi pada tahun 1477, bersama dengan beberapa sukan dan permainan lain, atas kebimbangan sukan-sukan ini menghalang orang daripada mempertingkatkan kecekapan menggunakan busur.

Raja Henry VIII juga mengharamkan boling, walaupun beliau seorang pemain boling.

Seperti pendahulunya, larangan itu diarahkan kepada pemanah, yang mana dilihatkan menghabiskan lebih banyak masa bermain boling dan terlibat dalam sukan daripada berlatih memanah.

Hakikat bahawa Henry gemarkan boling mungkin menjadi penghalang kepada larangan sepenuhnya.

5. Wanita memakai seluar panjang

wanita pakai seluar panjang diharamkan di paris

Pada tahun 1800, ketua polis Paris mengisytiharkan bahawa wanita perlu mendapatkan izin dari ibu pejabat polis sebelum memakai pakaian lelaki.

Pada tahun 1892, undang-undang telah diperbaharui untuk membolehkan wanita memakai seluar dengan syarat mereka memegang tali kuda pada setiap masa.

Undang-undang itu terus diperbaharui pada tahun 1909 dengan memasukkan syarat bahawa wanita tersebut perlu menunggang basikal.

Sekiranya mereka turun dari basikal, mereka perlu mengekalkan tangan mereka pada pemegang basikal. Pada tahun 1969, ketua polis semasa Paris diminta oleh majlis bandar untuk memansuhkan undang-undang ini.

Beliau enggan (walaupun ia tidak lagi dikuatkuasakan), dengan mengatakan bahawa undang-undang ini mungkin perlu dikuatkuasakan sekali lagi kerana sifat fesyen yang tidak dapat diramalkan.

Ironinya, pegawai polis wanita Paris kemudiannya memakai seluar panjang sebagai sebahagian daripada pakaian seragam mereka.

Satu lagi percubaan untuk memansuhkan undang-undang itu gagal pada tahun 2003, selepas menteri yang menjaga kesaksamaan jantina mengatakan tidak perlu mengubah peraturan itu kerana ia tidak lagi dikuatkuasakan.

Dan akhirnya, undang-undang ini dimansuhkan pada 31 Januari 2013.

4. Wanita miliki kad kredit 

diskriminasi kad kredit wanita

Wanita di Amerika Syarikat tidak dilarang secara terang-terangan untuk memiliki kad kredit. Walau bagaimanapun, mereka mengalami diskriminasi terbuka dan agak sukar untuk mendapatkan kad kredit.

Wanita berkahwin memerlukan suami mereka untuk menandatangani permohonan sebelum boleh mengeluarkan kad kredit.

Janda dan wanita sujang pula perlu mencari seorang lelaki untuk menandatangani perjanjian bersama. Seseorang wanita juga dikehendaki mendedahkan status perkahwinan dan bilangan anaknya sebelum dia boleh mengeluarkan kad kredit.

Pendapatannya juga dibahagikan kepada dua untuk mengira jumlah maksimum yang boleh dibelanjakannya melalui kadnya.

Diskriminasi ini berterusan sehingga tahun 1974, apabila Kongres meluluskan Akta Peluang Kredit Bersama, yang menjadikan tindakan diskriminasi terhadap pemohon kad kredit berdasarkan jantina, kaum, agama sebagai satu yang menyalahi undang-undang.

3. Kedai kopi

kedai kopi diharamkan

Pada tahun 1675, Raja Charles II dari England meluluskan undang-undang mengharamkan kedai-kedai kopi.

Untuk menghentikan beberapa usahawan kreatif dari "bekerja dari rumah," beliau juga mengharamkan semua orang untuk menjual kopi dari rumah mereka.

Malah, beliau menghalang semua orang daripada menjual kopi, teh, coklat, dan sherbet di mana-mana rumah atau kedai. Larangan itu tidak ada kaitan langsung dengan kopi itu sendiri.

Raja hanya bimbang bahawa orang boleh merancang pemberontakan di kedai kopi. Kedai-kedai kopi pada ketika ini adalah sama dengan bar pada hari ini.

London sahaja mempunyai sehingga 3,000 kedai kopi, di mana orang berkumpul untuk bergosip dan membincangkan isu-isu negara.

Raja Charles II mempunyai sejarah pahit apabila melibatkan kepercayaan terhadap orang dan selalu mengesyaki bahawa semua yang keluar mahu menyakitinya.

Beliau juga mendakwa bahawa kedai kopi membuatkan orang menjadi malas dan mengganggu keamanan masyarakat. Larangan itu tidak pernah dikuatkuasakan, kerana ia telah dimansuhkan dua hari sebelum ia dikuatkuasakan.

2. Pakaian renang

pakaian renang diharamkan

Pakaian renang telah menyebabkan panik moral pada awal abad ke-20. Sebelum tahun 1900-an, pakaian renang diperbuat daripada bulu dan menutup keseluruhan badan.

Malah, ia telah dibandingkan dengan pakaian harian biasa kerana tidak terlalu terdedah. Namun, segala-galanya berubah apabila pakaian mandi diubahsuai dengan tanpa lengan dan terlalu ketat.

Dalam usaha untuk mengekalkan kesopanan awam, pihak berkuasa bandar dan pantai mula meluluskan undang-undang dan peraturan untuk menetapkan panjang minimum untuk pakaian renang yang dibenarkan.

Lebih dahsyat, pakaian renang "one piece" langsung diharamkan. Beberapa wanita ditangkap kerana memakai pakaian renang pendek di beberapa pantai, termasuk di bandar-bandar terkenal seperti New York dan Chicago.

Pada tahun 1919, New York merekrut 20 sheriff wanita khas untuk mengawal pantai bagi memastikan wanita hanya memakai pakaian renang yang diluluskan.

Pada tahun 1921, Hawaii meminda undang-undangnya untuk membolehkan wanita memakai baju renang pendek dengan syarat mereka menutupnya dengan kain yang lebih panjang.

Sesetengah wanita menutup diri dengan tuala dan baju hujan untuk berada dalam batas undang-undang ini.

Perkara mula berubah pada tahun 1930-an, apabila kerajaan mula bertolak ansur wanita yang berpakaian renang yang lebih pendek. 

1. Bikini

bikini diharamkan

Bikini adalah satu lagi mangsa perang terhadap perbuatan tak senonoh awam. Ia menyebabkan panik moral sebaik sahaja ia dilancarkan pada tahun 1946.

Pada satu ketika, pembuatnya, Louis Reard, telah menjadi hilang semangat disebabkan jualan yang teruk dan hampir berputus asa.

Bikini itu diharamkan di Perancis, Sepanyol, Itali, Portugal, Australia dan di beberapa bahagian Amerika Syarikat. Untuk seketika, ia tidak boleh ditunjukkan dalam filem-filem Hollywood.

Pada tahun 1953, Pedro Zaragoza, Datuk Bandar Benidorm, membenarkan orang memakai bikini di pantai di kawasan bandar, walaupun pakaian itu diharamkan di seluruh Sepanyol.

Pelancong British membawa bikini mereka ke bandar dan Datuk Bandar tahu dia terpaksa membenarkan mereka memakai bikini mereka jika dia mahukan Benidorm menjadi destinasi pelancongan.

Beberapa wanita berhadapan dengan masalah dengan anggota Pengawal Sivil di pantai kerana undang-undang yang bercanggah ini. Walau bagaimanapun, Zaragoza bertekad untuk membiarkan bikini dibenarkan untuk dipakai.

Dia menaiki skuternya dalam perjalanan lapan jam untuk melawat General Francisco Franco, diktator tentera Sepanyol, di Madrid.

Seluarnya dipenuhi dengan minyak motor ketika dia sampai untuk bertemu jeneral. General Franco bersetuju dan bikini secara perlahan-lahan memasuki Sepanyol. 


tags :, , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)