Secara semulajadinya, emas berwarna emas. Emas yang paling tulen adalah emas bergred 24 karat. Walau bagaimanapun, untuk penghasilan barangan kemas bagi wanita, emas 24 karat tidak digunakan kerana ianya terlalu lembut.

Penggunaan emas 24 karat bagi penghasilan barangan kemas akan menyebabkannya mudah bengkok dan kemek hanya dengan menekannya menggunakan jari. Oleh itu, bagi membolehkan barang kemas lebih tahan lasak untuk kegunaan harian, maka elemen logam lain ditambah padanya, lalu terhasillah aloi emas.

Memahami istilah 'karat' bagi emas

emas putih

Kita biasa mendengar unit karat digunakan bagi merujuk kepada ketulenan sesuatu emas dan barang permata. Apakah yang dimaksudkan dengan 'karat' ini?

Perkataan 'karat' ini merujuk kepada bahagian emas yang terdapat dalam emas yang dijual. 24 karat boleh diistilahkan sebagai 24 bahagian emas dalam emas yang dijual. Sebagai contoh, sekiranya cincin emas yang dijual dilabel dengan 18 karat, maka 18 bahagian daripada cincin tersebut adalah emas sementara baki 6 bahagian lagi merupakan logam lain yang ditambah padanya.

Ini bermakna 75% (18 bahagian daripada 24) cincin emas tersebut adalah emas manakala baki 25% (6 bahagian daripada 24) adalah logam asing. Contoh lain, loket yang diperbuat daripada emas 14 karat bermakna 14 bahagian daripada loket tersebut adalah emas sementara baki 10 bahagian lain adalah logam asing.

Proses penghasilan emas putih

Mengambil contoh yang dinyatakan di atas, apakah bahan logam asing ini?

Ianya bergantung pada hasilnya. Sekiranya barangan kemas yang dihasilkan berwarna emas, maka antara logam yang biasa ditambah adalah tembaga (Cu) dan zink (Zn).

Sejak kebelakangan ini, warna emas "rose gold' semakin diminati sejak penjualan iPhone 6 yang dijual dalam variasi warna ini. Untuk menghasilkan "rose gold", logam tembaga dan zinc biasanya akan ditambah.

iphone rose gold

Untuk menghasilkan emas putih, maka logam seperti perak (Ag), paladium (Pd), mangan (Mn) dan nikel (Ni) biasanya digunakan. Nikel biasanya menjadi pilihan berbanding logam lain kerana ianya lebih murah. Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini penggunaan nikel semakin berkurangan kerana ianya boleh memberikan kesan alergik kepada penggunanya.

Campuran antara emas dan logam asing yang dinyatakan di atas akan menghasilkan emas putih yang dijual di pasaran. Walau bagaimanapun, campuran emas dan logam asing ini biasanya tidak akan menghasilkan warna perak yang berkilauan. Oleh itu, kebanyakan emas putih yang dijual di pasaran yang akan diselaputi dengan lapisan nipis rhodium, iaitu sejenis logam dalam keluarga platinum.

perbezaan emas putih

Pemilihan rhodium adalah kerana warna peraknya yang lebih bercahaya dan tahan lama. Walau bagaimanapun, sekiranya anda memakai barangan kemas daripada emas putih untuk tempoh yang lama, barangan kemas tersebut mungkin akan berwarna kekuningan kerana lapisan rhodium ini semakin menipis. Maka, bolehlah ke kedai emas berhampiran untuk membersihkannya. Kedai emas biasanya boleh menambah satu lapisan rhodium padanya agar barang kemas tersebut kembali bersinar-sinar.

Adakah berbaloi membeli emas putih?

Soalan ini mungkin terlalu objektif. Sekiranya anda kekurangan bajet, maka membeli barangan kemas yang diperbuat daripada emas putih berbanding emas biasa mungkin satu pilihan. Walau bagaimanapun, tidak ramai gemar membeli barangan kemas yang diperbuat daripada emas putih memandangkan secara kasarnya, ia kelihatan seperti perak. 

Malah, anda mungkin menghadapi masalah untuk menggadai atau menjualnya kelak kerana emas putih kurang diminati kebanyakan wanita. 

Kredit:

  1. Huffington Post
  2. ThoughtCo
  3. WikiPedia

tags : , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)