Apakah persamaan antara beberapa syarikat besar dunia seperti Google, Apple, Amazon, Harley-Davidson dan Disney? Semuanya bermula dari bawah, dari sebuah garaj. Kebanyakan syarikat ikonik dan bernilai berbilion dolar pada hari ini bermula dari bawah.
Namun ia bukanlah satu perkara yang mudah di mana pelbagai cabaran perlu dilalui.
Jika mereka berputus asa di tengah jalan, sudah tentu kita tidak akan merasai semua yang dihasilkan mereka. iluminasi.com kongsikan rupa asal bagi 9 syarikat terkenal dunia satu ketika dahulu.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Subway (1968)
Pada tahun 1965, remaja berusia 17 tahun, Fred DeLuca meminjam RM4,000 dari rakan keluarganya, Dr. Peter Buck untuk membuka sebuah perniagaan makanan yang akhirnya mampu menyokong pelannya untuk belajar bidang perubatan.
Diberi nama Pete's Submarines pada mulanya, Fred kemudiannya menukarkan nama tersebut kepada Pete's Subway. Nama tersebut dipendekkan kepada "Subway" sahaja pada tahun 1968.
Setelah masa berlalu dan banyak halangan direntasi, perniagaan Fred mula mendapat sambutan dan pada tahun 1978, cawangan Subway ke-100 dibuka.
9 tahun kemudian, Subway telah berjaya membuka cawangan ke-1000, pada tahun 1987.
2. Harley-Davidson (1903)
Pada tahun 1901, ketika motor-basikal yang dicipta sebagai satu hobi gagal untuk memanjat bukit tanpa bantuan pedal, adik-beradik Davidson bersama-sama rakan mereka William Harley menjadikannya sebagai satu pengajaran.
Mereka memulakan projek baru untuk menghasilkan mesin yang baru. Prototaip baru dipasang di sebuah bangsal di belakang rumah adik-beradik Davidson.
5 tahun kemudian, adik-beradik Davidson dan William Harley memulakan kilang pertama mereka dan menghasilkan kira-kira 50 motosikal pada tahun tersebut.
Perniagaan mereka tersangat berjaya sehinggakan ia merupakan hanya 2 pengeluar motosikal Amerika Syarikat yang yang terselamat daripada Great Depression.
3. Boeing (1930)
Jurujual kayu Amerika, William E. Boeing, bekerjasama dengan seorang Jurutera Tentera Laut Amerika Syarikat bernama George Conrad Westervelt pada tahun 1916 dan mengasaskan Pacific Aero Products Co.
Pesawat pertama syarikat itu ialah Model Boeing 1. Pada tahun 1917, nama itu diubah menjadi Boeing Airplane Company dan berjaya memperoleh pesanan daripada Tentera Laut Amerika Syarikat sebanyak 50 pesawat.
Selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama, Boeing mula menumpukan perhatian untuk membina pesawat komersil.
4. Walmart (1962)
Pada tahun 1945, ahli perniagaan Sam Walton membuka sebuah kedai menjual produk harga rendah untuk mendapatkan jumlah jualan lebih tinggi pada margin keuntungan yang lebih rendah.
Walau bagaimanapun, disebabkan oleh sewa yang terlalu tinggi, beliau terpaksa gulung tikar.
Namun beliau tidak berputus asa dan akhirnya membuka sebuah kedai baru, dengan nama "Walton's Five and Dime".
Kedai Walmart Discount City Store pertama dibuka pada tahun 1962 dan dalam tempoh 5 tahun, ia berkembang kepada 24 kedai dan mencapai RM52 juta dalam jualan.
Hari ini, Walmart merupakan syarikat terbesar di dunia dari segi pendapatan dan majikan swasta terbesar di dunia dengan 2.2 juta pekerja.
5. Burger King (1953)
Selepas melawat kedai McDonald asal yang dimiliki oleh Richard and Maurice McDonald, Keith J. Kramer dan bapa saudara isterinya, Matthew Burns, membuka restoran pertama mereka pada tahun 1953.
Restoran tersebut dinamakan Insta-Burger King. Apabila perniagaan ini mengalami kesulitan kewangan pada tahun 1954 oleh 2 francaisnya yang berpangkalan di Miami, David Edgerton dan James McLamore membeli perniagaan ini.
Mereka kemudiannya menamakan semula restoran ini kepada Burger King. Sehingga 31 Disember 2018, Burger King dilaporkan mempunyai lebih daripada 17,500 cawangan di 100 buah negara.
6. Coca-Cola (1912)
Pakar farmasi Amerika John Stith Pemberton mencipta minuman ini pada akhir abad ke-19 sebagai ubat yang dijual di kedai.
Walau bagaimanapun, sejurus sebelum kematiannya pada tahun 1888, John Pemberton menjual haknya minuman ini kepada ahli perniagaan dan ahli farmasi Amerika, Asa Griggs Candler dengan harga RM7,250.
Jumlah tersebut mungkin kelihatan sangat besar baginya pada ketika itu kerana dia hampir muflis dan berada dalam keadaan tidak sihat, namun John tidak tahu bahawa syarikat yang diasaskannya akan bernilai berbilion-bilion dolar.
7. Levi Strauss & Co. (1880)
Levi Strauss memulakan perniagaan jualan borong dengan mengimport dan menjual barang kering dari saudara-saudaranya di New York termasuk pakaian, peralatan tempat tidur, sikat, dompet dan sapu tangan.
Kemudian Levi mula membuat khemah dan akhirnya menghasilkan seluar jeans.
Jacob Davis, seorang pendatang Latvia, adalah seorang tukang jahit yang sering membeli barangan dari Levi dan telah mencipta seluar jeans versi moden.
Dia mahu patenkan ciptaan tersebut tetapi tidak mempunyai wang. Oleh, itu dia bergabung dengan Levi Strauss untuk menghasilkan seluar jeans biru yang kemudiannya dipatenkan pada tahun 1873.
Dan begitulah seluar jeans rivet yang popular pada hari ini dilahirkan.
8. Ford (sekitar 1900/1921)
Henry Ford meninggalkan rumahnya pada usia awal dan bekerja sebagai pelatih di beberapa syarikat automotif sehingga dia mendapat kenaikan pangkat sebagai Ketua Jurutera di Edison Illuminating Company of Detroit pada tahun 1893.
Pada ketika itu, kereta dianggap sebagai mainan bagi golongan kaya, tetapi Henry percaya bahawa dia boleh menghasilkan kereta secara besar-besaran dan menjadikannya boleh dibeli oleh semua orang.
Untuk merealisasikan impiannya, Henry Ford mengasaskan Syarikat Automobil Detroit pada tahun 1899 yang ditukarkan nama kepada Syarikat Henry Ford pada tahun 1901.
9. Amazon (1999)
Pengasas Amazon, Jeff Bezos, meninggalkan jawatannya sebagai naib presiden D. E. Shaw & Co., firma Wall Street untuk mencuba dan mecipta nama dalam perkembangan perniagaan internet.
Jeff kemudiannya memulakan langkah dengan menubuhkan sebuah syarikat dari garaj rumahnya yang diberi nama "Cadaver".
Tetapi beberapa bulan kemudian apabila dia mendengar seorang peguam tersalah sebut nama tersebut, Jeff memutuskan untuk mengubahnya.
Nama baru tersebut adalah Amazon, yang dipilihnya kerana ia adalah tempat yang "eksotik dan berbeza".
Ia bermula sebagai kedai buku dalam talian tetapi secara beransur-ansur menjadi kedai dalam talianyang menjadikan Jeff Bezos sebagai manusia terkaya di dunia ketika ini.
Rujukan:
1. Subway
2. Walmart
3. Burger King