Di negara kita, ada dua jenama tempatan yang saling bersaing antara satu sama lain dalam industri automotif cuba merajai takhta jualan dan mekar dalam hati pembeli kereta.

Bagaimanapun takhta itu seringkali dipegang Perodua, yang bermula sebagai perusahaan kereta tempatan kedua - tetapi kini memintas 'abangnya' Proton daripada segi angka jualan.

Dibantu sokongan dan kemahiran dua syarikat Jepun iaitu Toyota dan Daihatsu yang menjadi rakan kerjasama strategik mereka, Perodua terkenal sebagai pengeluar kenderaan tak banyak ragam, jimat minyak dan mudah diselanggara walaupun agak kurang sedap dalam aspek pemanduannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun demikian, sebuah skandal gergasi yang kini sedang melanda Jepun ada kemungkinan turut menjejaskan reputasi yang telah dibina Perodua sekian lama. Apakah yang telah berlaku?

Latar belakang Daihatsu

kereta daihatsu pertama

Daihatsu bermula sebagai sebagai Hatsudoki Seizo Co. Ltd. pada tahun 1907, di Universiti Osaka, Jepun yang berperanan membangunkan enjin kecil untuk kegunaan dalam kilang jana kuasa elektrik.

Selepas memperkembangkan model perniagaan dengan pengeluaran model motorsikal beroda tiga, akhirnya Daihatsu Motor Co. Ltd ditubuhkan bagi memperluaskan lagi kemampuan syarikat, mula mengeksport kereta-kereta kecil keluaran mereka.

Bermula dalam tahun 1967, Toyota Motor Corporation mula membeli pegangan saham dalam Daihatsu sedikit demi sedikit, sehinggalah Toyota menjadi pemegang saham terbesar Daihatsu pada tahun 1998.

Sekitar tahun 2011 sehinggalah 2013, Daihatsu berhenti memasarkan jenama mereka ke Eropah dan hanya memfokuskan pengeluaran di rantau Asia, khususnya di Jepun dan Asia Tenggara dengan pembukaan kilang di Indonesia dan melalui kerjasama dengan Perodua dari Malaysia, yang mana 20% pegangan saham Perodua dimiliki Daihatsu.

Hubungan di antara Toyota sebagai abang dan Daihatsu sebagai adik, memberikan faedah besar kepada Perodua di mana ketiga-tiga syarikat saling berkongsi produk, kemahiran dan teknologi yang dibangunkan.

Kerjasama sebegini membolehkan ketiga-tiga jenama mempunyai sinergi dan identiti yang diyakini dalam setiap produk keluaran mereka - walaupun di atas kertas, hanya Daihatsu dimiliki Toyota dan Daihatsu pula hanyalah pemegang taruh kecil dalam saham milikan Perodua.

Bagaimana penipuan Daihatsu terbongkar?

pengurus daihatsu mohon maaf

Skandal Daihatsu pertama kali terbongkar pada bulan April tahun 2023 selepas rekod menunjukkan Daihatsu telah memodifikasi kenderaan yang digunakan untuk ujian pelanggaran menyebabkan data yang diperolehi layak dikatakan telah dipalsukan.

Sesi ujian yang dibuat dikendalikan oleh Daihatsu melibatkan model Toyota Yaris yang dijual di Thailand, Mexico dan negara teluk mendapati ada perubahan dilakukan di antara model yang diuji dengan model yang siap dijual dalam pasaran.

Bagi menyiasat dakwaan ini dengan lebih mendalam, Toyota sebagai syarikat induk menjalankan siasatan dalaman sehinggalah mereka mendapati isu penipuan Daihatsu sebenar jauh lebih besar, turut melibatkan isu lain seperti masalah dengan beg udara dan ujian kelajuan.

Toyota mendapati Daihatsu telah memodifikasi, memanipulasi dan mengubah data ujian keselamatan sejak tahun 1989, bagi mendapatkan hasil ujian yang lebih baik berbanding dunia nyata.

Siasatan pihak ketiga bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas dimulakan pada April, berjaya mendedahkan bahawa ada 174 isu dikenal pasti melibatkan 64 model, bukan saja melibatkan jenama Toyota, Daihatsu dan juga Perodua, bahkan turut sama dialami model yang menggunakan peralatan Daihatsu seperti Mazda serta Subaru.

Adakah model Perodua anda terjejas?

skandal daihatsu tipu pelanggan

Bagi kita di Malaysia, pasti ramai yang pemilik jenama Perodua sedang menantikan pengesahan adakah kenderaan mereka turut sama tersenarai dalam model yang dilaporkan. Ya, kita secara rasmi terlibat.

Laporan di Jepun telah mengesahkan beberapa model yang dijual di negara ini dan yang popular dalam pasaran iaitu Perodua Axia, Alza, Aruz, Ativa, Myvi, dan Bezza mempunyai spesifikasi yang berbeza berbanding model ujian.

Model-model Toyota yang dijual dalam Malaysia seperti Toyota Vios, Rush dan Veloz pun sama mempunyai masalah serupa.

Bagi meredakan kegelisahan pemilik Perodua atas skandal yang sedang didedahkan, ketua pegawai eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad telah mengeluarkan kenyataan bahawa Perodua sedang melakukan penilaian terperinci mengenai perkara ini dan kini dalam perbincangan dengan pihak berkuasa Malaysia.

Apakah yang akan berlaku kepada Perodua? Sama-samalah kita tunggu dan lihat. Persoalan yang ingin kami ajukan kepada anda; adakah skandal sebesar ini boleh meruntuhkan kepercayaan anda kepada jenama Perodua?




Hakcipta iluminasi.com (2017)