Di Malaysia, telah banyak pusat-pussat kebajikan yang diwujudkan oleh badan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk anak-anak yatim, golongan berumur yang dibuang keluarga dan bermacam lagi golongan yang tidak bernasib baik.

Malangnya, sejak kebelakangan ini kita seringkali dihidangkan dengan berita-berita kurang enak mengenai NGO-NGO yang sesetengahnya hanya mahu mengenyangkan perut masing-masing dan berselindung di sebalik golongan yang tidak bernasib baik ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lebih menyedihkan, golongan NGO yang mengutip duit orang awam ini kebanyakannya langsung tidak pernah mengadakah audit seperti yang diarahkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS). Maka, orang awam tidak tahu berapa banyak sebenarnya yang wang dibelanjakan dan perbelanjaan kos operasi. 

Sebenarnya masalah NGO cuba mengeksploitasi golongan tidak bernasib baik ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja, malah mungkin seluruh dunia! Ya, ada pihak sememangnya suka mengambil kesempatan di atas keprihatinan orang ramai yang tidak sanggup melihat anak yatim dan golongan kurang bernasib baik ini untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Mereka melihat ini adalah cara mudah untuk menjana pendapatan tanpa perlu bekerja keras. Apa yang perlu adalah liputan meluas daripada media massa dan media sosial dan tunggu sahaja wang derma daripada orang ramai masuk ke akaun bank mereka. Kali ini kami akan kongsikan pula kisah yang berlaku di Kemboja. 

Industri sukarelawan di Kemboja

eksploitasi kanak kanak kemboja

Antara tahun 1970-an dan 1990-an, Kemboja dilanda perang saudara. Sejak kembali mencapai keamanan, telah wujud lonjakan industri pelancongan dengan lebih daripada dua juta pelawat setiap tahun.

Kerana Ingin membantu negara bekas perang ini bangun kembali, semakin bertambah bilangan pelancong yang datang kesini untuk bekerja sebagai sukarelawan. Sebilangan besar datang dengan niat baik untuk bekerja di sekolah dan rumah anak yatim, mengisi jurang yang ditinggalkan akibat kekurangan dana pembangunan.

Tetapi, secara tidak sengaja, peningkatan jumlah sukarelawan yang tidak disengajakan ini telah "membantu" meningkatkan jumlah rumah penjagaan anak yatim, seterusnya menyebabkan ramai ibu bapa yang miskin meletakkan anak-anak mereka disini kerana kanak-kanak dijamin pendidikan gaya Barat.

Walaupun negara ini semakin stabil dan makmur, jumlah kanak-kanak di rumah anak yatim meningkat dua kali ganda dalam tempoh satu dekad yang lalu dan lebih daripada 70 peratus daripada 10,000 anak yatim mempunyai sekurang-kurangnya satu ibu bapa yang masih hidup.

Pendedahan eksploitasi kanak-kanak

sindiket kanak kanak

Sejak sekian lama, wujud dakwaan mengenai pengabaian kanak-kanak dan keadaan hidup mereka yang mengerikan serta kisah pemilik NGO anak yatim yang menggelapkan wang penderma, telah muncul. Syarikat yang mengatur program sukarelawan juga dituduh mengeksploitasi pelancong dan anak-anak untuk mendapatkan keuntungan.

Pada tahun 2012, seorang wartawan Juliana Ruhfus pergi ke Phnom Penh untuk menyiasat dakwaan ini. Beliau telah mengambil kesempatan untuk bercakap dengan lebih rapat lagi dengan kanak-kanak, sukarelawan dan kakitangan di rumah anak yatim serta aktivis yang berusaha membendung penderaan kanak-kanak di negara ini.

Beliau juga menyamar sebagai sukarelawan untuk memahami betapa sedikitnya perlindungan diberikan kepada anak-anak di rumah perlindungan anak yatim walaupun begitu banyak wang yang diperoleh mereka hasil sumbangan orang ramai. Tujuh tahun kemudian, beliau akhirnya mendedahkan kesimpulan apa yang ditemuinya disana, bermula dengan mengapa begitu  ramai kanak-kanak berakhir di rumah anak yatim.

Menurutnya, sebilangan besar anak-anak di rumah perlindungan ini sebenarnya mempunyai ibu bapa. Terdapat individu-individu yang bertugas sebagai ejen kepada NGO ini yang akan masuk ke kampung-kampung dan "merekrut" anak-anak ini untuk ditempatkan di pusat jagaan mereka.

Ejen-ejen ini mengatakan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka akan mendapat pendidikan yang hebat dan mereka akan dapat berkenalan dengan ramai orang Barat. Ramai ibu bapa yang miskin akan membenarkan perekrut ini mengambil anak-anak mereka untuk dimasukkan ke dalam 'rumah anak yatim' ini dan bagi rumah anak yatim ini pula, mereka akan lebih mudah mendapatkan wang daripada orang ramai.

Penderaan emosi kanak-kanak

kanak kanak yatim kemboja 885

Ramai kanak-kanak yang membesar jauh dari keluarga, dijaga oleh pengasuh dan sukarelawan yang datang dan pergi ini sebenarnya mengalami trauma. Sebilangan besar kanak-kanak benar-benar mengalami deraan psikologi kerana cara mereka dibesarkan.

Pertama, mereka telah dipisahkan dengan ibu bapa mereka sejak daripada kecil lagi secara paksa. Kedua mereka mempunyai apa yang disebut sebagai "attachment disorder". Apabila diletakkan di pusat jagaan, kanak-kanak ini akan sentiasa berhubungan dan berkenalan dengan orang baru seperti sukarelawan baru yang bermain dengan mereka, menunjukkan kasih sayang kepada mereka dan kemudian pergi dengan cepat. Perkara ini akan berlaku secara berulang-ulang kerana sekumpulan sukarelawan hanya datang untuk beberapa minggu atau bulan sahaja sebelum mereka pulang dan digantikan dengan kumpulan sukarelawan yang baru pula. 

Pendedahan mengenai pengalaman sedih ini dimuatkan dalam filem dokumentari yang dihasilkan mereka untuk Al-Jazeera mendedahkan bagaimana program sukarelawan merupakan sektor paling cepat berkembang dan dilihat sebagai satu cara mengeksploitasi kebaikan para sukarelawan untuk menjana keuntungan. 

Kebiasaannya para sukarelawan yang datang kesini akan dibawa bersiar-siar bersama kanak-kanak ini dan seperti biasa, pemilik rumah kebajikan ini akan memaksa kanak-kanak ini supaya berpura-pura gembira bagi memudahkan lebih ramai orang mendermakan wang kepada mereka.

rumah kebajikan anak yatim 691

Dan bukan hanya orang Kemboja yang dikatakan mendapat keuntungan dari wang yang dihasilkan dalam sindiket  ini. Syarikat sukarelawan antarabangsa juga didakwa turut menjana keuntungan yang lumayan. 

Setelah menjadi sukarelawan di Kemboja selama tiga tahun, Demi Giakoumis dari Australia terkejut apabila mengetahui realiti berapa jumlah sebenarnya daripada $3,000 yang dibayar oleh sukarelawan yang benar-benar pergi ke rumah anak yatim.

Semasa menjadi sukarelawan melalui salah satu syarikat sukarelawan komersial terkemuka di dunia, Projects Abroad, dia mengatakan bahawa dia diberitahu oleh pengarah rumah anak yatim tempat dia ditempatkan bahawa mereka hanya menerima $9 setiap sukarelawan setiap minggu.

img 20210813 113309

Kesimpulan yang dapat dibuat adalah gambaran kemiskinan kanak-kanak ini adalah disengajakan untuk mendorong sumbangan berterusan dari sukarelawan yang telah mempunyai perasaan sayang dan kasihan kepada mereka dan organisasi-organisasi yang terlibat berulang kali mengabaikan kebimbangan sukarelawan mengenai kebajikan kanak-kanak.

Apabila perkara seperti ini makin banyak didedahkan, kerajaan mengatakan telah mengambil langkah menutup beberapa pusat jagaan anak yatim yang didapati mengeksploitasi kanak-kanak. Namun, jumlah pusat jagaan seperti ini masih wujud dan terus berkembang sehingga ke hari ini. 

Kredit:

  1. Al-Jazeera
  2. The Guardian
  3. Better Care Network



Hakcipta iluminasi.com (2017)