Perkembangan dunia digital membawa kepada pembukaan syarikat-syarikat baru berasaskan teknologi, yang berupaya memanfaatkan teknologi terkini untuk menambah baik atau mengubah bidang perniagaan sedia ada.

Satu cabang niaga yang banyak mengalami perubahan positif, adalah bidang perniagaan jualan makanan yang kini banyak dibantu sistem pesanan dan penghantaran menu menggunakan aplikasi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika kita lihat dari aspek pelanggan, banyak kesan positif yang timbul daripada pengenalan sistem sebegini. Aplikasi memudahkan pesanan, penghantaran dan pembayaran dilakukan, tanpa perlu pelanggan keluar dari kediaman atau pejabat mereka.

Tetapi sekiranya kita cuba menilai keberkesanan sistem aplikasi ini daripada perspektif berbeza - wujud tak sisi buruk sistem pesanan makanan yang cukup popular ini? Ada.

1. Pekerja kedai makan dan restoran semakin kelam kabut

peniaga semakin kalut

Walaupun tidak boleh dinafikan jumlah pesanan yang meningkat membantu menjana pendapatan peniaga, kebajikan para pekerja yang berkhidmat dengan restoran atau kedai makan semakin terabai. 

Ada pekedai yang kumpulan pekerjanya tampak seakan tidak menang tangan mengurus tiga jenis pesanan; makan di kedai, beli bungkus dan juga pesanan dalam aplikasi. Sedang mereka sibuk melayan pelanggan yang sudah ada, masuk pesanan baru. Bertalu-talu.

Kehadiran tukang hantar pesanan menunggu, menyulitkan lagi situasi. Ada yang dapat bersabar. Ada yang jenis nak cepat supaya dia boleh beredar sesegera mungkin. Walhal sudah ramai orang yang beratur menunggu dalam baris. 

Kebanyakan kedai khususnya kedai-kedai makan kecil, jelas gagal mengurus situasi sebegini dengan baik dek kelam-kabut terkejar menyiapkan pesanan yang di luar kawalan kita. Dek kerana situasi sebegitulah...

2. Layanan kepada pelanggan di premis semakin teruk

self ordering kiosk machine singapore

Sudah kami sebutkan di atas bagaimana ada pekedai terpaksa mengutamakan pesanan dalam aplikasi, walaupun sudah ramai pelanggan beratur. 

Kepada pengusaha dan peniaga, anda perlu faham - setiap kali pelanggan nampak anda lebih mengutamakan pesanan dalam aplikasi berbanding kami yang hadir ke kedai tuan atau puan, semakin menjunamlah persepsi kami terhadap layanan anda terhadap kami.

Kami faham anda mungkin kekurangan pekerja, tetapi tidak adillah anda mengutamakan pesanan dalam aplikasi yang tiba kemudian dalam pesanan selepas kami. 

Perubahan trend pesanan makanan turut mengakibatkan restoran makanan segera khususnya, tidak lagi menyediakan banyak kerusi meja untuk duduk. Sebaliknya ruangan restoran dikosongkan bagi mengurangkan jumlah pelanggan yang hadir untuk makan di restoran.

Pesanan dan pembayaran juga sudah kerap dilakukan menggunakan skrin sesentuh, tanpa ada lagi interaksi manusia dengan manusia yang menjadi budaya kita selama ini.

3. Harga menu naik 

harga makanan naik

Keselesaan dan kemudahan yang diberikan sistem pesanan dalam aplikasi, pasti ada harga yang pengguna perlu bayar. Harganya pula adalah kos jualan menu yang  meningkat, agak tinggi juga bezanya dengan harga paparan di kedai atau restoran.

Jika sekeping roti canai dijual di kedai pada harga RM1.20, dalam aplikasi harganya boleh naik sehingga RM1.80 ke RM2.20. Kami tidak tahu adakah 100% caj tambahan itu ke poket pengendali aplikasi atau ada peratusan turut diterima tuan punya perniagaan.

Banyak pihak khususnya mereka yang setia dengan sistem aplikasi kerap berkongsikan pandangan bahawa kos untuk keluar, makan di kedai atau bungkus secara sendiri termasuklah kos minyak pengangkutan, lebih tinggi berbanding kos tambahan yang akan kita bayar sekiranya kita menggunakan aplikasi.

Betulkah pandangan ini?

Sekiranya untuk satu pesanan kita perlu membayar tambahan sekitar 10 ke 30% caj tambahan daripada harga biasa di kedai belum mengambil kira kos penghantaran, benarkah kos yang kita bayar berpadanan dengan kemudahannya? 

4. Sistem verifikasi status restoran yang lemah

kedai terkejar siapkan makanan food delivery

Kami tidak tahu bagaimana ketatnya sistem verifikasi syarikat pengendali aplikasi penghantaran dalam menentukan kelayakan sesebuah perniagaan atau premis kedai makan untuk disenaraikan dalam aplikasi mereka.

Apa yang kita tahu, sudah ada kes di mana peniaga yang disenaraikan sebenarnya beroperasi menggunakan nama yang mengelirukan dan mengambil pesanan tanpa memperjelaskan status halal atau tidak halal.

Dalam aplikasi nampak seolah restoran itu adalah halal tetapi realitinya - hanya penghantar makanan yang hadir ke kedai sendiri tahu.

Kelemahan ini berpunca daripada sistem syarikat aplikasi sendiri yang agak toleran, memberikan kelonggaran kepada pengusaha opsyen sendiri sama ada untuk mendeklarasikan status premis mereka sebagai 'halal' atau 'tidak halal.'

Hanya semakan salinan sijil halal diminta syarikat untuk meletakkan status halal sesebuah restoran, tanpa ada semakan dibuat dalam meneliti status tidak halal pemohon.Solusi paling mudah, adalah untuk pelanggan hanya memesan dari kedai yang mereka tahu statusnya. Tetapi langkah itu tidak benar-benar menyelesaikan masalah besar yang ada.

5. Peniaga kedai mudah memanipulasi sistem

laporan kedai operasi atas 4 nama

Awal tahun 2022, tular perkongsian seorang penunggang penghantar makanan yang diminta hadir ke sebuah restoran dipercayai bukan Islam mengambil pesanan bagi pelanggan Muslim. 

Apa yang sangat menghairankan, premis itu juga didapati menjalankan perniagaan menggunakan 4 nama kedai yang berbeza dalam sistem aplikasi pesanan.

Kes ini kecoh disebabkan beberapa faktor : kewujudan papan tanda berlogo minuman keras di luar premis, pemasangan tokong kecil dalam kedai serta penggajian pekerja Myanmar sebagai tukang masak.

Walaupun tuan punya premis ini menjelaskan dia Muslim bukan Melayu, penjelasan sebegitu tidak menjawab sepenuhnya persoalan utama.

Kenapa premis yang sama, menggunakan tenaga kerja yang sama, dijalankan atas 4 nama berbeza? Dalam 4 nama itu, ada yang diisytiharkan halal dan ada yang diisytiharkan tidak halal - semuanya hasil masakan dalam satu premis yang sama.

Kes-kes sebegini sebenarnya agak menakutkan jika berlaku, kerana kita sangat bergantung kepada kejujuran peniaga dalam memastikan status jualan mereka.

Lebih menakutkan, di negara luar sistem dapur berpusat sebegini semakin mendapat tempat di kalangan peniaga, mampu meminimakan kos operasi tetapi memaksimakan jenis tempahan yang boleh mereka terima.

Kes yang kami ceritakan di atas, adalah kes yang telah didedahkan.

Persoalannya - bagaimana pengendali aplikasi mahu melindungi pengguna khususnya pelanggan makanan halal daripada manipulasi pihak peniaga, yang jelas boleh berlaku dek longgarnya sistem sedia ada?




Hakcipta iluminasi.com (2017)