Amalan bersedekah serta melakukan kebajikan membantu ahli masyarakat susah, merupakan satu amalan yang baik - tak kiralah dilakukan secara terbuka atau tertutup.
Menurut firman Allah swt. dalam surah al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud : Jika kamu menampakkan sedekah-sedekahmu, maka itu baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan memberikannya kepada orang-orang fakir, maka itu lebih baik bagimu dan Allah akan menghapus sebagian kesalahan-kesalahanmu. Dan Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan.
BESARKAN TEKS A- A+
Berdasarkan ayat ini jelas sekali sedekah atau derma adalah perbuatan yang dituntut.
Namun dalam era masyarakat yang berorientasikan media sosial; wujud satu fenomena berkait kebajikan yang mampu menimbulkan persepsi negatif di kalangan masyarakat, yang ditermakan masyarakat barat sebagai 'pornografi fakir.'
Pernah anda dengar fenomena ini? Jika belum pernah, kami yakin anda pernah menyaksikannya sendiri tanpa sedar.
Mengejar populariti dengan kebajikan
Zaman sekarang, sukar untuk membezakan seseorang yang melakukan sesuatu dengan ikhlas atau untuk menunjuk-nunjuk.
Ramai seakan terkejar mahu melaporkan tentang harta milikan mereka yang baru. Bila membeli kereta, gambar kereta atau stereng kereta perlu dikongsikan. Bila berpindah masuk rumah baru, gambar kunci rumah ditayangkan.
Apabila ditanyakan kepada individu yang bersikap sebegini "apa tujuan mereka berbuat demikian?" jawapan yang akan kedengaran samar-samar.
'Saja nak berkongsi, sharing-sharing, berkongsi kebahagiaan, sebar mesej positif' dan sebagainya. Itu jawapan standard yang akan kita terima.
Kemampuan media sosial membuka ruang untuk mendedahkan kepada awam hidup kita, ada baik dan ada buruknya termasuklah perbuatan kita bersedekah atau melakukan kebajikan.
Di kalangan ahli masyarakat kita baguslah ramai sekali individu sanggup mengorbankan rezeki mereka membantu masyarakat yang kurang berkemampuan. Media sosial pula menjadi satu medan penting untuk aktiviti kebajikan sebegini disebarkan mesejnya.
Bermula daripada aktiviti kecil-kecilan membantu, banyak gerakan kebajikan masyarakat kita yang sejak mula ditunjangi individu berkembang sehingga mendapat perhatian ke satu tahap yang lebih besar, bukan saja dari segi amaun bantuannya bahkan dari segi liputannya.
Aktiviti kebajikan yang sejak mula positif, jadi sesuatu yang mula dipromosikan - sedikit sebanyak mula mengambilkira elemen-elemen pemasaran.
Di sinilah pornografi fakir miskin biasanya mula berlaku.
Jaja wajah fakir untuk tagih simpati
Lihat di sekeliling kita. Ada banyak sekali elemen pemasaran menggunakan visual dan media berorientasikan individu fakir dijaja.
Kita ada program televisyen yang memaparkan secara dramatik kehidupan keluarga, diiringi lagu layar sedih menceritakan pengalaman hidup mereka sebelum penamatnya menayangkan tersenyum menerima bantuan penaja pada akhir rancangan.
Di sekeliling kita, banyak poster pengasas program kebajikan di Syria dan Palestin yang nyata sengaja bergambar bersama golongan kanak-kanak di sana, bagi menampakkan hidup mereka untuk merayu orang ramai agar dapat membantu.
Imej kehidupan tidak terurus, terabai, kotor, kurus dan serabai, berlatar belakangkan kawasan yang lusuh dan terbengkalai digunakan untuk kesedaran orang ramai.
Persoalannya di sini - adakah memperagakan wajah-wajah mereka ini serta kondisi hidup mereka atas tujuan mempromosikan gerak kerja kebajikan warga kita demi mengutip sumbangan, adalah satu tindakan beretika?
Adakah kerana mereka fakir, susah dan daif, jadi pihak menyumbang mempunyai hak untuk sewenang-wenangnya mendedahkan hidup daif mereka dalam pelbagai cara bagi memastikan lebih ramai yang hendak membantu golongan senasib mereka, dengan sumbangan?
Kaedah ini secara peribadi diakui penulis sangat efektif memancing simpati masyarakat.
Tetapi apa yang perlu kami pertikaikan adalah jika anda di tempat golongan fakir atau golongan yang memerlukan - sanggupkah anda dipaparkan sebegitu rupa?
Sanggupkah anda jika anda fakir dijadikan wajah penyeri papan iklan untuk membantu organisasi kebajikan mengutip derma? Tak ramai yang sanggup kan?
Fokus lari apabila populariti jadi ukuran kredibiliti
Ellen DeGeneres kredit foto Insider
Tidak ada individu gemar kesengsaraan hidup yang sedang dialami dihebahkan ke seluruh dunia; termasuklah golongan fakir sendiri.
Malangnya dalam era di mana populariti sudah menjadi ukuran kepada kredibiliti, keperluan mendapatkan publisiti serta liputan seolah-olah sudah menjadi sesuatu yang wajib dilakukan pihak pengelola kebajikan.
Semakin banyak individu, NGO dan badan-badan kebajikan dilihat meletakkan fokus kepada pemasaran 'jenama kebajikan' yang telah dibangunkan, dalam memastikan sumbangan tidak terputus.
Golongan fakir miskin, asnaf dan golongan tertindas akhirnya diperalatkan sebagai alat pemasaran percuma yang sangat efektif, dengan gerakan berkebajikan atau pengasasnya pula yang diangkat sebagai fokus utama, yang perlu dibantu agar boleh terus membantu.
Adakah itu yang anda mahukan?
Kesengsaraan golongan fakir sebagai alat promosi
Pornografi fakir ini bukanlah berlaku di kalangan masyarakat kita saja. Di barat banyak elemen dalam masyarakat mereka menggunakan prinsip serupa ditayang secara terbuka.
Ada di kalangan nama-nama besar karyawan barat baik filem atau muzik menjadikan lawatan tahunan ke Afrika sebagai langkah promosi, di mana untuk sehari mereka akan meninjau sekolah dan kawasan perumahan bagi menaikkan imej mereka sebagai seorang pejuang hak asasi manusia.
Dalam televisyen juga kita ada rancangan seperti 'Undercover Boss' yang menayangkan gimik majikan kaya menyamar sebagai pekerja biasa, mahu menyelami kehidupan sukar golongan pekerja di bawah kendaliannya sebelum menghadiahkan ganjaran yang akan mengubah hidup mereka.
Di United Kingdom, wujud sebuah rancangan dokumentari berjudul 'Benefits Street' yang menjadikan kumpulan keluarga penerima bantuan bulanan kerajaan sebagai subjek utama.
Rancangan ini mencetuskan perdebatan besar selepas beberapa orang pemimpin di UK mendakwa produser rancangan itu sengaja mahu mengambil kesempatan atas kesengsaraan orang lain untuk kesenangan sendiri. Bukankah kita juga perlu mula berani dan terbuka membincangkan isu sama, yang sangat berakar dalam masyarakat kita?
Adakah individu atau kumpulan-kumpulan yang mengurus dan menjalankan kerja amal di Malaysia, melakukannya untuk membantu pihak fakir dan dalam masa yang sama memilih untuk terus melakukannya atas dasar kepentingan diri sendiri, jenama dan organisasi seliaan mereka?
Hanya mereka yang terlibat mampu menjawab soalan ini.
Berhenti siarkan kesusahan orang lain untuk kesenangan kita
Untuk kita terus menjaja dan memasarkan golongan fakir atau asnaf sebagai elemen promosi - adalah satu perbuatan yang tak sepatutnya dibiarkan terus berlaku. Mereka mungkin tidak ada pilihan untuk berkata tidak ekoran bantuan yang telah diperolehi.
Rasa malu untuk meminta agar wajah, video, gambar dan kehidupan agar tidak dimuat naik ke Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, televisyen atau apa saja kaedah sekalipun tidak akan kedengaran, kerana situasi mereka memerlukan mereka bersyukur dan akur sebagai penerima bantuan.
Tetapi anda yang berkemampuan ada pilihan untuk menghentikan fenomena pornografi fakir miskin yang semakin hari semakin berleluasa. Jika memang mereka merayu untuk dipaparkan, paparkanlah.
Seandainya tiada permintaan dari mereka, hormatilah maruah mereka. Kami menggesa agar pihak yang mengelolakan badan kebajikan supaya menghormati privasi mereka. Janganlah dijadikan rakaman gambar dan video untuk tujuan promosi aktiviti anda sebagai syarat mandatori tidak rasmi bantuan dihulurkan.
Kebajikan harus kekal sebagai kebajikan; bukan digunakan untuk tujuan langkah promosi, pemasaran dan jualan imej individu individu atau organisasi yang telah diberikan hak dan kepercayaan.
Lagipun jika difikirkan dalam aspek perundangan - sepatutnya badan-badan kebajikan ini perlu mempunyai perjanjian pembayaran royalti dengan golongan asnaf, miskin dan fakir selagi mana wajah mereka digunakan untuk tujuan promosi menggerakkan kutipan derma atas persetujuan bersama.
Dapat bantuan, dapat royalti lagi. Itu memang sangat membantu memudahkan kesusahan golongan yang memerlukan.