Oleh pada 08 Dec 2017 kategori

Apabila berbicara tentang isu pedofil, kita sering membayangkan orang yang tidak berhati perut sehingga sanggup mencari kanak-kanak sebagai mangsa. Kita juga percaya yang mereka suka mencabul kanak-kanak serta gemar melakukan hubungan seksual bersama anak kecil yang naif dan tidak berdosa.

Namun, menurut seorang lelaki yang mempunyai sejarah pedofilia, tidak semua pedofil bertindak mengikut gerak hati secara membabi buta dan ada pedofil menghadapi kesukaran dalam mampu menahan keinginan pertama mereka.

bekas guru pedofil gary gibson

Gary Gibson merupakan seorang bekas guru Kristian berusia 65 tahun dari Oregon, Amerika Syarikat. Seperti ramai lagi pedofil yang lain, dia merupakan pedofil yang tidak melakukan kesalahan serius malah menggambarkan dirinya sebagai "pedofil suci" walaupun sering berasa tertarik kepada kanak-kanak perempuan berusia antara 6 hingga 12 tahun.

Sepanjang kehidupannya, dia bergelut untuk menangani kesengsaraan yang dialami. Atas sebab itu, dia memutuskan untuk menubuhkan sebuah organisasi bukan untung yang dinamakan Persatuan Pencegahan Gangguan Seksual untuk membantu orang lain yang menghadapi masalah serupa.

Gary telah mula memperjuangkan dan tanpa berselindung menceritakan kisah pergelutannya sebagai seorang pedofil dalam sebuah video yang dimuat naik di Youtube baru-baru ini. Dalam video itu, dia membuat pengakuan tentang menjadi seorang pedofil, kesalahan tanggapan orang ramai terhadap pedofil dan apakah fikiran/perasaan pedofil yang sebenarnya.

pedofil sukakan kanak kanak

Bermula dari kecil

Semuanya bermula dengan keluarga Gary. Salasilah keluarga Gary memang sejak turun-temurun lagi telah membawa kisah hitam penderaan seksual di kalangan ahli keluarga. Datuk Gary telah melakukan penderaan seksual terhadap ibu serta salah seorang kakak Gary. Manakala ibunya pula dikenali kerana gemar mengajak kanak-kanak lelaki yang tidak dikenali masuk ke rumah untuk dijadikan bahan melampiaskan nafsu.

Menurut Gary, masyarakat mempunyai tanggapan bahawa pedofil terdiri daripada orang lelaki sahaja. Namun, ini sebenarnya suatu mitos kerana ibu dan kakak-kakaknya juga merupakan pedofil yang mempunyai nafsu terhadap budak lelaki.

gary gibson pedofil

Berlarutan hingga ke alam dewasa

Gary sedar bahawa dirinya sudah lama sentiasa tertarik dengan kanak-kanak perempuan. Kadang-kadang dia suka memeluk mereka dengan erat ataupun menyentuh di bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya. Namun, dia masih mampu mengawal keinginan daripada melakukan hubungan seksual dengan mana-mana kanak-kanak. Keinginan inilah yang membuatkan Gary berasa amat sukar dan bergelut setiap hari.

Selepas bercerai dengan isteri pertamanya, Gary berpindah ke Pasifik Selatan. Di sana, terlalu ramai kanak-kanak yang dibiarkan berlari ke sana ke mari oleh ibu bapa dalam keadaan telanjang. Sudah tentulah situasi ini menambahkan lagi keresahan dalam diri Gary memandangkan dia seorang pedofil.

gary gibson pedofil 2

Kaunseling

Gary amat tidak tahan dengan keadaan itu dan cuba mendapatkan nasihat kaunseling. Namun, pakar kaunseling tidak mahu lagi berjumpa dengan Gary selepas mendapat tahu dia mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan intim bersama kanak-kanak.

Ditolak oleh pakar kaunseling merupakan saat yang paling getir dalam hidup Gary kerana ketika itu keadaannya adalah paling kritikal. Dia berasa sangat kesunyian dan tidak punya siapa-siapa lagi dalam dunia. Gary juga berisiko tinggi untuk melakukan hubungan dengan kanak-kanak dan pergelutannya umpama sebuah bom jangka. Bila-bila masa sahaja boleh meletup.

Pada tahun 2005, Gary berkahwin buat kali kedua dengan seorang jururawat bernama Tabitha Abel. Sepanjang kedua-dua perkahwinannya, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan 3 anak serta 10 orang cucu kerana Gary sentiasa cuba menahan diri daripada godaan.

Setelah anak-anaknya membesar, Gary dan Tabitha memilih untuk mengambil anak angkat. Ketika itulah dia telah dituduh berbaring di atas katil tanpa seurat benang bersama anak angkatnya yang berusia 10 tahun.

Menurut Gary, perkara itu sebenarnya tidak pernah berlaku. Anak angkatnya itu mengalami masalah "memori palsu" dan berpunca daripada kes inilah Gary mula mengambil keputusan untuk mendedahkan perihal dirinya yang sebenar dan mula menceritakan sisi gelap hidupnya secara terbuka.

gary gibson pedofil dan isteri tabitha

Disokong isteri

Tabitha sentiasa percaya dengan Gary dan menyokongnya untuk menjadi seorang kaunselor profesional bertauliah untuk membantu orang yang senasib dengan dirinya. Gary kemudian menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Kaunseling Kesihatan Mental di Walden University.

Nasib sekali lagi tidak menyebelahi Gary apabila dia terus diberhentikan daripada pengajian selepas membuat pengakuan semasa sesi perkongsian masalah dengan penyelia dan pelajar-pelajar lain.

Menurut Gary, dia tidak pernah menyakiti mana-mana kanak-kanak sepanjang hidupnya. Dia hanya mempunyai isu dalaman yang tidak dapat dibendung dan hanya inginkan bantuan daripada orang sekeliling. Walau bagaimanapun, Gary sering dikecam dan ditolak oleh masyarakat sejurus mendapat tahu dia seorang pedofil.

Namun Gary masih tidak berputus asa. Dia masih lagi mahu memperjuangkan usaha dalam membantu golongan pedofil yang senasib dengannya. Disebabkan itulah Gary menubuhkan Persatuan Pencegahan Gangguan Seksual dengan harapan dapat membantu pedofil lain mengatasi godaan dan menghulurkan bantuan yang enggan diberikan oleh orang lain.

gary gibson dan isteri tabitha

Bantu kurangkan penyakit

Tidak dinafikan yang salah itu tetap salah. Di Malaysia sendiri terlalu banyak kes orang dewasa yang memperkosa anak kecil tanpa sekelumit rasa ihsan atau belas kasihan. Apa yang lebih menyedihkan ialah majoriti mangsa terdiri daripada ahli keluarga sendiri.

Pihak berkuasa sememangnya mempunyai peranan penting dalam membendung masalah pedofil dalam negara. Walau bagaimanapun, kita juga boleh turut sama memainkan peranan dengan cuba menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan menolong mereka yang memerlukan bantuan seperti Gary. Jika anda sedar mana-mana ahli keluarga atau rakan baik anda mempunyai tanda-tanda seorang pedofil, bawalah dia mendapatkan bantuan dengan segera.

Kisah Gary sebagai seorang pedofil yang bergelut dengan keinginan ini adalah saling tak tumpah seperti kisah bekas penagih, penghidap AIDS, warga LGBTQ atau gelandangan yang sering dipandang serong dan dipulaukan masyarakat. Anda cuba bayangkan jika isterinya juga meminggirkan Gary, pada siapa lagi Gary nak mengadu nasib dan menagih bantuan? Silap hari bulan, keinginannya makin membuak-buak sehingga tidak terkawal dan terus mencari mangsa demi mangsa.

Kalau kita tak mampu nak bantu dengan cara lain, sekurang-kurangnya kita boleh tadah tangan untuk doakan mereka. Itu mungkin jauh lebih baik daripada berterusan mengeji dan mengecam sehingga akhirnya menyebabkan lebih banyak kesan buruk yang berlaku.

Rujukan: Daily Mail UK


tags : , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)