Pada 27 November 2015, seorang lelaki berusia 57 tahun ketika itu, bernama Robert Louis Dear bertindak mencederakan semibilan orang individu serta membunuh tiga orang lagi dalam satu insiden tembakan rambang berdekatan klinik Planned Parenthood di Colorado Springs. Antara mangsanya adalah 3 orang anggota polis dengan salah seorangnya terbunuh.

Ketika kejadian berlaku, anggota polis yang bertindak mengepung Robert memberikan dia peluang untuk menyerah diri, sehinggalah Robert berjaya dipujuk dan ditangkap.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Peluang yang sama turut diberikan dalam dua insiden lain seperti kes James Holmes yang terlibat dalam kejadian tembakan di Aurora, Colorado pada tahun 2012 ; mengakibatkan kematian 12 orang dan 70 orang cedera. Kes pembunuh muda Dylann Roof dalam insiden tembakan Gereja Charleston pada tahun 2015 turut sama melaporkan perkara serupa, apabila pihak polis memberikan peluang kepada Dylann menyerah diri.

Persamaan mereka bertiga? Semuanya terselamat walaupun mengakibatkan kematian dan kecederaan ramai orang. Yang kedua, ketiga-tiganya berkulit putih.

Prejudis terhadap golongan kulit hitam

tunjuk perasaan michael brown

Menurut rekod, modus operandi serupa jarang diberikan kepada penjenayah kulit hitam seperti dalam kes Tamir Rice yang berusia 12 tahun, remaja 18 tahun Michael Brown, dan ramai lagi, layak menjadi perbandingan berbezanya tindakan pihak polis Amerika Syarikat.

Kesemua mereka ditembak mati di tempat kejadian, walaupun tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta tidak mengakibatkan kematian mana-mana individu lain.

Pembunuhan Michael Brown oleh pihak polis selepas dia menyerah diri, menyebabkan tunjuk perasaan berlaku secara besar-besaran melibatkan masyarakat di Missouri.

Insiden di Missouri serta banyak insiden lain menampakkan wujudnya stigma buruk pihak polis terhadap penjenayah berkulit hitam atau warna lain.

Sangat berbeza dengan tindakan polis apabila berhadapan penjenayah kulit putih, di mana mereka tetap cuba berdiplomasi sehingga ramai pesalah kulit putih menyerah diri dan dapat dibicarakan.

Peranan media dalam memainkan sentimen yang diinginkan

statistik pembunuhan penjenayah kulit hitam

Apa yang menghairankan, situasi sama turut kelihatan pada pihak media Amerika Syarikat. Selepas Robert Louis Dear berjaya ditahan pihak berkuasa, akhbar Washington Post menerbitkan satu artikel yang membawa mesej simpati terhadap nasib beliau yang mempunyai masalah psikologi, menjadikannya bertindak begitu.

New York Post pula memilih untuk menerbitkan artikel tentang latar belakang Robert yang terkenal dengan sifat lemah lembutnya dengan orang lain khasnya mereka yang dikenalinya, disokong oleh temuramah saksi yang tidak menyangka sama sekali tindakan Robert sedemikian rupa.

Sentimen ini tetap cuba diangkat biarpun rekod mendapati Robert memang seorang individu bermasalah. Pernah beberapa kali disiasat melakukan serangan terhadap individu lain, didakwa merogol, suka menyeksa haiwan dan juga gemar mengendap jiran-jiran wanitanya dalam keadaan memalukan.

Beberapa hari selepas berlaku kejadian tembakan oleh Robert Louis Dear yang mengorbankan 3 orang individu, rata-rata media Amerika Syarikat yang dikuasai individu berpengaruh berkulit putih memilih untuk menyampaikan rasa simpati, berusaha mempertahankan maruah Robert.

Tindakan ini membuktikan rasa empati mampu diberikan kepada mana-mana individu tanpa mengira baik buruk perbuatannya di negara Amerika Syarikat, asalkan individu yang bersalah itu berkulit putih.

Rasisme yang dihalalkan

pembunuhan oleh anggota polis

Persepsi dan penerimaan yang berbeza dapat dilihat dengan jelas secara kebetulan; semasa kejadian tembakan yang dilakukan Robert berlaku, penunjuk perasaan di Chicago sedang membantah tindak balas polis terhadap seorang remaja 17 tahun bernama Laquan McDonald, yang mati ditembak tanpa simpati pada 20 Oktober 2014.

Video rakaman kereta peronda yang tersebar menjadi bukti bagaimana Laquan yang ketika itu sedang menjauhkan dirinya daripada pihak polis walaupun memegang pisau, ditembak mati 16 das tembakan oleh anggota polis yang baru sahaja tiba di tempat kejadian bernama Jason Van Dyke.

Bedah siasat selepas kejadian mendapati Laquan sedang berada dalam keadaan khayal, besar kemungkinan tidak menyedari tingkah lakunya sendiri. Apa yang lebih membimbangkan, anggota polis yang terlibat dalam insiden itu langsung tidak menunjukkan rasa simpati kepada remaja terbabit - seolah nyawanya tiada bernilai.

Kes itu menimbulkan perbincangan besar di Amerika Syarikat tentang berbezanya cara pihak keselamatan menangani sesuatu situasi kecemasan mengikut warna kulit penjenayah. Persoalan yang hangat diperkatakan - adakah nilai nyawa individu kulit putih lebih bernilai berbanding individu lain, membantu lebih ramai penjenayah kulit putih terselamat walaupun jenayah yang mereka lakukan mengorbankan nyawa ramai pihak tidak bersalah?

Budaya mengagungkan kulit putih

dah putih baru cantik

Tidak dapat dinafikan, dalam produk budaya, media, sistem sosial, ekonomi dan juga struktur politik yang diamalkan di seluruh dunia ketika ini, sedikit sebanyak pemikiran untuk lebih memandang tinggi individu kulit putih berlaku. Kulit putih kerap dianggap norma, 'standard de facto.' Sesuatu yang diterima semua sebagai 'universal.'

Sejak kecil kita diajar dalam televisyen, buku dan sejarah; orang kulit putih diletak sebagai watak-watak utama sejarah dunia sehingga ke hari ini. Pandangan individu kulit putih dianggap jauh lebih penting untuk dinilaikan. Kepentingan serta matlamat mereka akan dicedok menjadi impian kita.

Dalam bidang media pula, kita sendiri seolah-olah tidak boleh lari daripada terus bergantung dengan media tawaran masyarakat kulit putih, yang jelas membantu menyebarkan lagi kesan psikologi ini.

Berbalik kepada cerita pihak polis, satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014 mendapati pegawai polis di Amerika Syarikat kurang rasa simpati terhadap individu bukan berkulit putih, dengan kulit hitam menjadi sasaran utama. Warga kulit hitam di mata mereka dianggap lebih berusia berbanding usia sebenar serta mempunyai risiko lebih berbahaya.

Kajian itu juga menyebut, majoriti anggota polis yang rata-ratanya berkulit putih di Amerika Syarikat sendiri secara automatik memandang lelaki muda berkulit putih sebagai individu yang sukar dipercayai akan mampu melakukan aktiviti jenayah. Perkara itu turut sama dikongsi bukan sahaja oleh individu berkulit putih, malahan kita semua sedikit sebanyak mempunyai pandangan serupa bukan?

Kita lihat saja dalam masyarakat kita sendiri bagaimana berbezanya layanan kita tatkala kita perlu berhubung dengan individu yang berkulit putih. Pemikiran masyarakat kita juga kerap meletakkan berkulit putih sebagai sesuatu yang dirasakan 'lebih baik' sehinggakan wanita sanggup bergolok gadai mahu memutihkan kulit bak kata slogan sejenis produk kita - 'dah putih barulah cantik.'

Elemen-elemen pengagungan masyarakat kulit putih masih lagi belum dapat dihakis sehingga ke hari ini di negara kita. Kitamengekalkan warisan penjajah dengan nama-nama besar penjajah British yang datang ke negara kita satu masa dulu, dinamakan sebagai pengasas negeri-negeri di negara kita sendiri dalam buku sejarah. Bukankah itu sesuatu yang akan turut sama mempengaruhi pemikiran kita dan generasi akan datang dalam menilai warna kulit seseorang?

Psikologi lemah percaya bangsa sendiri kasta rendah

captain francis light tugu di pulau pinang

Secara agregatnya, hidup kita banyak dibentuk berlandaskan apa yang kulit putih anjurkan. Itu adalah realitinya. Tugu individu kulit putih terpacak di negara kita seperti tugu Francis Light, bangunan bercirikan orang kulit putih masih tegak berdiri, nama bandar, jambatan, sekolah, syarikat, jenama, filem, media - semuanya didominasi dan dimonopoli elemen berkait individu kulit putih. Tanpa kita sedari kita sebenarnya diasuh untuk menerima kulit putih sebagai satu simbol bentuk individu yang ideal, pada mata dan pemikiran kita.

Masyarakat dunia di negara-negara lain turut sama secara mudah mempunyai pemikiran lebih mempercayai individu kulit putih kerana berkulit putih dilihat lebih senang dipercayai dan diterima, lebih tinggi kredbilitinya; meletakkan diri kita tanpa sedar sebagai kaum atau etnik kelas kedua.

Kita di Malaysia mungkin tak akan jadi seperti di Amerika Syarikat. di mana penjenayah mampu ditawarkan tahap simpati oleh polis dan media yang berbeza hanya berdasarkan warna kulitnya, tetapi bibit-bibit pengaruhnya sudah ada.

Kita sendiri ada kalanya bersangka baik dengan warga kulit putih yang datang ke Malaysia namun cukup berhati-hati serta berprasangka, apabila melibatkan warga kita sendiri ataupun pendatang asing bukan berkulit putih yang kita jumpa.

Inilah konsep yang digelarkan sebagai 'kemanusiaan untuk individu berkulit putih'; sedar tak sedar setiap antara kita ada merasainya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)