Masyarakat Eropah seringkali dikaitkan dengan keterbukaan dalam pelbagai perkara, khasnya daripada segi sosial dan kemasyarakatan. Mereka diangkat sebagai masyarakat matang, toleran, progresif serta perlu menjadi ikutan oleh banyak masyarakat lain di seluruh dunia.

Persoalan yang penulis ingin kemukakan di sini - benarkan pandangan ini atau hanya sekadar sesuatu perkara yang kita percaya tanpa asas? Adakah benar masyarakat Eropah jauh lebih matang berbanding kita dalam pelbagai aspek - khasnya perbezaan kaum, etnik dan lebih khusus; perbezaan warna kulit?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah kita masyarakat Asia sebenarnya lebih terbuka dalam menerima perbezaan warna kulit berbanding mereka di Eropah? Adakah benar dakwaan masyarakat yang progresif seperti di Eropah sana, tidak lagi mementingkan apa warna kulit kita tetapi hanya melihat apakah kemampuan sebenar kita? Jom kita rungkaikan dan perhalusi sangkaan ini.

Kajian berkenaan diskriminasi kulit hitam yang hidup di Eropah

finland negara paling rasis

Bagi tahun 2018, Kesatuan Eropah atau EU buat kali kedua berjaya menerbitkan kajian mereka berkenaan masalah diskriminasi yang berlaku melibatkan masyarakat kulit hitam yang menetap di Eropah.

Kajian itu yang dilabelkan sebagai 'European Union Minorities and Discrimination Survey' atau EU-MIDIS merupakan satu usaha dalam memahami masalah yang dihadapi populasi kulit hitam di Eropah, walaupun mereka telah sekian lama mendiami negara-negara tersebut.

Dengan menemuramah lebih 25,000 warga Eropah berkulit hitam daripada pelbagai etnik yang tinggal di 28 negara anggota EU, termasuklah 5,800 orang imigran - sebuah laporan dikeluarkan bagi membolehkan EU memperkenalkan dasar dan akta yang mampu membendung seterusnya mencegah masalah rasisme di kalangan warga Eropah pada peringkat negara-negara anggota.

Kajian ini meletakkan warga Eropah berkulit hitam berketurunan Afrika sebagai fokus utama kajian.

Negara Eropah mana masyarakatnya paling rasis?

polis finland main isu rasisme

Setiap peserta kajian diminta untuk menyatakan adakah sepanjang tempoh 5 tahun yang lalu, mereka pernah mengalami sebarang bentuk gangguan hanya disebabkan mereka berkulit hitam atau pernah mengalami masalah keganasan disebabkan warna kulit.

Agak mengejutkan juga statistik yang dicatatkan apabila 1 daripada 3 warga Eropah berketurunan Afrika menyatakan mereka pernah mengalami gangguan, walaupun hanya dalam bentuk bukan fizikal dengan lelaki mengalami masalah gangguan lebih teruk berbanding wanita.

Penyelidik EU juga mendapati golongan muda lebih terdedah kepada gangguan berbanding warga tua kulit hitam. Semakin berusia seseorang, semakin rendah risiko dia perlu berhadapan dengan kecaman atau makian hanya disebabkan warna kulitnya berbeza.

Daripada keseluruhan responden yang ada, 1 daripada 20 responden mengakui mereka pernah berhadapan dengan ancaman keganasan disebabkan isu kaum, dengan pelakunya pula datang daripada golongan majoriti kulit putih. Yang lebih teruk, 11% daripada responden mengakui mereka berhadapan ancaman yang berpunca daripada pegawai polis sendiri.

Jadi di negara mana kedua-dua jenis kes paling kerap berlaku? Finland. Ya, Finland. Negara yang dikatakan patut menjadi model sistem pendidikan di seluruh dunia. Seramai 63% responden mengakui mereka berdepan masalah gangguan bukan fizikal dan 14% mengaku pernah berhadapan ancaman fizikal, semasa menetap di Finland.

Mengapa Finland?

jaket milik soldiers of odin

Agak mengejutkan penulis apabila mengetahui Finland merupakan negara paling rasis di antara kesemua negara Eropah, dengan Malta dan Portugal menjadi antara negara paling menerima masyarakat kulit hitam di negara mereka sendiri. Persoalannya - apa sudah jadi dengan Finland?

Diisytiharkan sebagai antara negara paling gembira di dunia, mempunyai sistem kesaksamaan jantina yang terbaik dan mempunyai kualiti hidup yang tinggi - masyarakat Finland sejak 5 tahun lepas banyak dipengaruhi oleh gerakan politik mereka yang memainkan sentimen perkauman secara terbuka.

Pemohon suaka perlindungan dan orang Muslim di sana menjadi sasaran utama, selain daripada masyarakat kulit hitam yang menjadi fokus kita kali ini serta komuniti Yahudi. Kes-kes keganasan disebabkan warna kulit meningkat tahun ke tahun sejak 2015, tanpa ada sebarang usaha pihak kerajaan bagi membendung apa yang sedang berlaku.

Semuanya dikatakan bermula selepas kemasukan 32,400 orang pemohon perlindungan beragama Islam pada tahun 2015, yang menyebabkan sentimen anti imigran dan anti Muslim mula lantang kedengaran. Bermula daripada itu, situasi mula melarat hingga melibatkan komuniti-komuniti minoriti lain - disokong oleh gerakan politik radikal Finns Party yang tidak segan memainkan isu yang menanam kebencian pada masyarakat bukan kulit putih.

Hasil desakan Finns Party yang merupakan parti kedua terbesar memegang kerusi di dalam sistem pemerintahan Finland, pada tahun 2018 jumlah imigran yang diterima masuk turun kepada angka 2,400 orang saja.

Bagaimanapun, api perkauman yang sudah marak - tidak lagi boleh dibendung, sehinggakan pihak berkuasa seperti polis pun turut sama menjadikan warna kulit sebagai salah satu kriteria dalam menentukan bagaimana mereka perlu bertindak dan berkhidmat.

Bentuk-bentuk penindasan yang berlaku di Eropah

masyarakat kulit hitam finland mangsa diskriminasi

Selain daripada gangguan berbentuk oral atau fizikal, kajian EU-MIDIS juga berjaya mengenalpasti beberapa jenis diskriminasi yang berlaku dalam sistem sosial masyarakat melibatkan golongan minoriti, khasnya masyarakat kulit hitam.

Kajian mendapati wujudnya penindasan dalam melantik individu kulit hitam yang mempunyai kelulusan pendidikan tinggi, terpaksa menerima kerja-kerja yang mengabaikan kemahiran mereka sebaliknya memfokuskan hanya kepada keperluan fizikal semata-mata.

Nisbahnya amat rendah - hanya 1 daripada 10 individu kulit hitam yang mempunyai pendidikan tertiari akan diberikan tawaran kerja yang setaraf dengan tahap pendidikannya, manakala selebihnya hanya berjaya menjawat jawatan dalam pekerjaan yang memerlukan kelulusan lebih rendah mirip kelulusan bertaraf sekolah menengah.

Berikutan daripada masalah ini, 13% daripada keseluruhan responden berhadapan dengan masalah kewangan yang meruncing, disebabkan oleh tawaran kerja bergaji rendah tidak setimpal dengan kelulusan yang mereka miliki.

Masalah dalam sistem perumahan juga menjadi salah satu isu yang perlu dihadapi masyarakat kulit hitam Eropah. Masalah ini paling kerap berlaku di Itali dan Austria di mana warna kulit menjadi faktor besar dalam menentukan kelayakan seseorang untuk menyewa atau memiliki kediaman yang baik.

Sistem perumahan yang disediakan oleh kerajaan atau majlis perbandaran juga dikatakan tidak dapat lari daripada terus memegang stigma ini. 6% daripada responden mengakui mereka pernah dihalang daripada cuba menyewa rumah-rumah kelolaan kerajaan ini disebabkan mereka tidak berkulit putih dan bagi mereka yang berjaya pula - kebiasaannya kadar sewa yang akan dikenakan lebih tinggi berbanding kadar asal.

Begitulah bukti serba ringkas bagaimana masyarakat yang dikatakan matang pun, sebenarnya tidak dapat lari daripada memainkan sentimen kaum. Persoalan yang penulis ingin kemukakan pada anda - adakah kita di Malaysia lebih teruk?

Sekiranya anda berminat untuk membaca lebih lanjut tentang masalah rasisme yang melanda komuniti minoriti di negara-negara maju Eropah, anda boleh ikuti pautan di bawah.

Rujukan

Second European Union Minorities and Discrimination Survey (fail PDF)

European Commission against Racism and Intolerance - Finland (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)