Gelaran golongan pekerja kolar putih biasa digunakan bagi mewakili kumpulan pekerja yang bekerja di bahagian pejabat atau korporat, berbeza dengan pekerja kolar biru, kolar kelabu atau kolar merah jambu.

Apa itu kolar putih? Betul ke ada kolar kelabu dan merah jambu? Memang ada. Terlebih dahulu, kami mahu menceritakan tentang lima individu paling terkenal yang diiktiraf penjenayah kolar putih, kerana kisah melibatkan mereka sangat menarik untuk diketahui.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah seorang daripada mereka, adalah Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low. Jadi mari kita pelajari serba sedikit tentang lima orang penjenayah kolar putih paling terkenal, bermula dengan warganegara kita yang kini masih dalam buruan.

1. Low Taek Jho

jho low 1mdb

Teka-teki di mana dia berada ketika ini sangat sukar untuk dirungkai, sehinggakan ada pihak mengatakan ura-ura dia sudah pun menjalankan pembedahan plastik - mengubah wajahnya seiras beruang sambil melatih dirinya berjalan seperti seekor seladang.

Lahir pada 4 November 1981, Jho Low merupakan seorang anak kelahiran Pulau Pinang, membesar dalam sebuah keluarga yang mempunyai tradisi perniagaan yang kukuh. Datuknya, Low Meng Tak berhijrah ke Malaysia semasa zaman penjajahan dan berjaya mengubah nasib keluarganya, dengan perniagaan arang batu, arak dan wain di Thailand serta China. Cucunya, Low Taek Jho pula meneruskan legasi datuk dan ayahnya, menyambung pendidikan di London yang membolehkan dia membina rangkaian dengan individu-individu berpengaruh dari Asia Barat.

Berikutan hubungan yang telah dibentuk inilah, Jho Low membina namanya, berjaya membawa pelaburan dari UAE ke Malaysia menerusi pelaburan Abu Dhabi Commercial Bank ke dalam RHB Capital, pelaburan dalam Iskandar Malaysia dan kejayaan pertama beliau menjadi orang tengah dalam rundingan pembelian The Oval Residences di KLCC Park, oleh Kuwait Finance House pada tahun 2006.

Selepas pembongkaran penglibatan beliau dalam skandal 1MDB, Jho Low berjaya menghilangkan diri serta dipercayai mendapat bantuan pihak asing, untuk terus melepaskan diri daripada tangkapan.

2. Vijay Mallya

vijay mallya kes fraud

Sehingga ke hari ini, Vijay Vittal Mallya yang terkenal sebagai seorang ahli politik dan perniagaan di India terus cuba diberkas pihak berkuasa India, namun kekangan undang-undang ekstradisi melibatkan United Kingdom menghalang dia ditahan.

Anak kepada ahli perniagaan terkenal Vittal Mallya mewarisi empayar perniagaan minuman keras ayahnya, seterusnya meletakkan dirinya antara tokoh korporat paling kaya di negara tersebut. Dia melarikan diri ke United Kingdom selepas laporan audit menunjukkan bagaimana dia memanipulasi sistem pinjaman bank bagi meluaskan perniagaannya, namun tidak membayar semula dana yang telahpun dipinjamkan.

Dengan anggaran hutang sekitar RM7.5 billion yang dituntut 17 buah bank yang digunakan bagi membeli 40 buah syarikat di seluruh dunia, Vijay berdepan dengan tuduhan penggubahan wang haram. Berdepan masalah, dia dipecat daripada jawatannya sebagai ahli parti dan ahli parlimen namun sempat keluar dari negaranya, sebelum passport beliau dibatalkan.

3. Jerome Kerviel

jerome kerviel kerugian bank

Dalam salah satu kisah jenayah kolar putih paling menarik dalam sejarah, pelakunya Jerome Kerviel kini dibebaskan - setelah menyebabkan kerugian lebih RM24 billion kepada bank yang menggajikannya sebagai seorang pegawai yang ditugaskan mengawal urus niaga matawang. Bagaimanapun, jumlah urusan yang diuruskan Kerviel jauh melebihi jumlah sebenar yang dibenarkan oleh majikannya menyebabkan berlakunya jualan panik sehingga bank perlu menanggung kerugian setinggi itu.

Selepas didakwa melakukan penipuan,pemalsuan dokumen dan mengakses maklumat bukan dalam bidang kuasa sendiri bagi melindungi dirinya, Kerviel ditahan pihak polis dan dibicarakan pada tahun 2008. Dia didapati bersalah pada tahun 2010 lalu dipenjarakan selama 5 tahun, serta tidak lagi dibenarkan bekerja dalam sektor kewangan. Dia juga diminta membayar semula jumlah kerugian - bagaimanapun, mahkamah menganggap perkara itu mustahil dapat dilakukan.

Kerviel membawa hukuman itu kepada mahkamah rayuan di Paris dan sementara menunggu jawapannya, Kerviel pergi melawat Vatican City - berjaya menemui Pope Francis pada tahun 2014. Pertemuan itu memberikan dia idea untuk melakukan penghijrahan semula ke Paris, dengan berjalan kaki sejauh 1,400km dari Vatican City ke Paris yang dianggarkan mengambil masa 2 bulan sekiranya dilakukan konsisten.

Dia menang kes selepas mendakwa dirinya dipecat tanpa alasan kukuh oleh majikannya pada tahun 2016 dan mahkamah juga bersetuju dengan penglibatan pegawai atasan beliau dalam kerugian tersebut, menurunkan kadar kerugian yang perlu dibayar semula daripada RM24 billion kepada RM5.5 juta sahaja.

Kini Kerviel masih lagi sedang cabar mencabar bersama majikannya di mahkamah, dengan kemenangan setakat ini lebih memihak kepada majikannya - selepas mahkamah merasakan tidak wujud sebarang keraguan dalam keputusan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap Kerviel.

4. Christopher Skase

christopher skase empayar perniagaan australia

Chris Skase lahir pada tahun 1948 merupakan seorang ahli perniagaan Australia yang akhirnya menjadi orang buruan, selepas gaya hidup mewahnya menyebabkan dia terpaksa mencuri dana syarikatnya sendiri yang telah dibangunkan sehingga menjadi satu empayar perniagaan besar.

Syarikat itu, Qintex yang merupakan sebuah syarikat perlombongan timah dibeli oleh beliau sekitar tahun 60-an sebelum berjaya berkembang menjadi gergasi perlombongan. Qintex mempelbagaikan cabang perniagaan mereka, mula membeli syarikat-syarikat media di Australia termasuklah cubaan membeli studio MGM di Hollywood yang menyebabkannya didakwa.

Selepas gagal melakukan pembayaran pertama dalam urusniaga MGM yang berjumlah RM250 juta disebabkan oleh pertukaran nilai matawang yang merugikannya, Skase mula memindahkan wang milik Qintex ke akaun bank luar dalam banyak transaksi kecil yang tidak dikesan. Qintex diumumkan bankrap walaupun Skase dan pemegang saham yang rapat dengannya terus menerima elaun pengurusan jutaan ringgit, menyebabkan berlakunya konflik antara pemegang saham.

Selepas laporan dibuat terhadap suruhanjaya sekuriti Australia oleh salah seorang pemegang saham, Skase cepat-cepat melarikan diri ke Sepanyol selepas ditahan reman sehari, meninggalkan hutang berjumlah RM3.5 billion. Semua cubaan ekstradisi Skase gagal kerana Skase menyifatkan dirinya berhadapan risiko kerosakan paru-paru. Dia meninggal dunia pada tahun 2001 di Majorca, Sepanyol. Kerajaan Australia mengumumkan tidak ada jalan lain bagi mereka menahan Skase pada tahun 1998 ekoran kekangan undang-undang, membolehkan Skase terus hidup mewah dan tenang, sehingga akhir hayatnya.

5. Carlos Ghosn

carlos ghosn nissan fraud

Seorang ahli perniagaan berpengalaman, pernah mengemudi syarikat gergasi seperti Michelin, Renault, Nissan dan Mitsubishi - kini Carlos Ghosn, seorang ahli perniagaan Arab Lebanon hidup dalam buruan selepas didapati memalsukan akaun milik syarikat Jepun, Nissan semasa dia berkhidmat sebagai pengerusinya.

Ini kerana sepanjang perkhidmatannya dengan Nissan, Ghosn menggunakan wang milik syarikat tersebut bagi membiayai kehidupan mewahnya, termasuklah percutian untuk ahli keluarganya yang akhirnya ditutup dengan penipuan kira-kira akaun. Penipuan itu pula berlaku dalam tempoh yang sangat panjang - dia dilantik menjadi COO Nissan pada tahun 1999 dan dipecat selepas kegiatannya terbongkar, pada tahun 2018.

Selepas siasatan dilakukan mendapati dia turut sama melaporkan kadar gaji dirinya lebih rendah berbanding yang dibayar serta menyembunyikan kerugian transaksi syarikat yang dipersetujui oleh dirinya, Ghosn turun naik mahkamah sepanjang tahun 2019 dan hanya bebas ekoran ikat jamin.

Bagaimanapun, rancangannya untuk melarikan diri berjaya selepas laporan pada 30 Disember 2019 memberitahu Ghosn selamat sampai ke Lebanon, dengan bantuan kontraktor tentera upahan yang dilantik bagi menjalankan operasi membawanya keluar dari Jepun.

Dengan bantuan dua orang, Ghosn diterbangkan keluar selepas bersetuju untuk menyorok dalam kotak peralatan audio, yang saiznya terlalu besar untuk disemak melalui mesin pengimbas x-ray di lapangan terbang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)