Oleh pada 21 Nov 2021 kategori

Kini, filem James Bond berjudul No Time To Die sedang ditayangkan di pawagan di seluruh dunia. Kita tahu bahawa Daniel Craig adalah pelakon yang berjaya membawa watak James Bond dengan baik.

Namun, filem No Time To Die memberi gambaran kepada pengakhiran watak James Bond versi Daniel Craig tetapi mempunyai bayangan bahawa filem seterusnya akan kembali. Persoalannya, siapakah yang bakal menggantikan tempat Daniel Craig.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum Daniel Craig, pelakon paling lama memegang watak Bond ialah Roger Moore. Moore memegang watak itu selama 12 tahun dalam 7 filem antara 1973 hingga 1985 manakala Sean Connery pula melakonkan watak itu sebanyak enam kali.

Penerbit Barbara Broccoli mengesahkan bahawa watak James Bond akan sentiasa dibawa oleh pelakon lelaki walaupun Lashana Lynch yang melakonkan watak perisik bernama Nomi memegang kod nama "007" dalam filem No Time To Die.

Jadi, siapakah yang akan menggantikan Daniel Craig? Berikut adalah beberapa nama yang disebut-sebut bakal memegang watak James Bond seterusnya.

6. John Boyega

john boyega

Pelakon watak Finn dari sekuel trilogi Star Wars ini merupakan antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Daniel Craig. Ia tidak mengejutkan kerana spekulasi mengenai James Bond berkulit hitam telah lama disebut-sebut.

Pelakon popular yang lahir di London ini dilihat sesuai menjadi James Bond seterusnya. Popularitinya yang semakin meningkat juga mungkin membantu melonjakkan siri filem James Bond seterusnya.

Jika Boyega dipilih, dia akan menjadi pelakon paling muda memegang watak James Bond pada usia 28 tahun. Malah, Boyega sendiri mengaku bahawa dirinya terlalu muda untuk memegang watak itu.

5. Henry Cavill

henry cavill

Anda mungkin mengenali pelakon kacak ini melalui lakonannya sebagai Superman, Sherlock Holmes atau dalam siri popular The Witcher. Namun, tahukah anda bahawa dia hampir menjadi James Bond?

Pelakon kelahiran Britain ini pernah menghadiri uji bakat pada 2005 untuk EON Production yang mengasilkan siri James Bond dan telah dipertimbangkan dengan serius. Namun, watak itu telah diberikan kepada Daniel Craig.

Pada usia 37 tahun, Cavill merupakan calon yang sesuai untuk menggantikan Craig. Jika Cavill terpilih, dia merupakan pelakon James Bond kedua yang memainkan watak Sherlock Holmes (Roger Moore melakonkan watak Holmes pada 1976) dan yang pertama memegang watak Superman.

4. Regé-Jean Page

reg jean page

Pelakon utama siri Bridgerton di Netflix ini merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai James Bond seterusnya. Khabar angin itu dikuatkan lagi apabila Page mengesahkan bahawa dia tidak akan meneruskan musim kedua Bridgerton yang membuatkan namanya melonjak naik.

Malah, pelakon Pierce Brosnan yang pernah memegang watak Bond sebelum Daniel Craig juga mengatakan bahawa Page merupakan calon yang sesuai.

Namun, Page sendiri meredakan khabar angin ini dengan mengatakan mana-mana pelakon lelaki Britain yang melonjak naik pasti akan dikaitkan dengan watak James Bond. Page bagaimanapun berbangga kerana bakatnya dikenali dan dikategorikan sebagai calon James Bond seterusnya.

3. Sam Heughan

sam heughan

Nama pelakon ini semakin kerap disebut bakal menjadi James Bond seterusnya. Malah, Heughan sendiri mengatakan bahawa dia bersedia menggalas tugas tersebut.

Sam Heughan merupakan pelakon utama dalam beberapa siri TV dan paling menonjol sebagai watak Jamie dalam siri Outlander yang masih ditayangkan sejak 2014.

Jika Heughan berjaya, dia merupakan pelakon kelahiran Scotland kedua memegang watak James Bond selepas Sean Connery.

2. Tom Hardy

tom hardy

Tom Hardy sememangnya satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia perfileman. Dia pernah menjadi watak utama dalam filem besar seperti Batman, Mad Max dan Venom.

Tom Hardy bukan sahaja dicalonkan sebagai James Bond seterusnya tetapi ada khabar angin mengatakan bahawa perjanjian antara pelakon ini dan produksi siri James Bond telah dipersetujui.

Mempunyai watak kasar dan bahaya seperti Daniel Craig, tidak mustahil Tom Hardy adalah pengganti seterusnya. Banyak laman web dan pengkritik mengatakan Hardy berada di tangga teratas sebagai calon James Bond dan hanya berita rasmi sahaja dapat mengesahkan semua khabar angin.

1. Nama yang tidak popular

daniel craig

Mungkin ramai yang lupa ketika Daniel Craig dinamakan sebagai James Bond untuk filem Casino Royale (2006). Respon daripada peminat dan pengkritik agak menghampakan kerana pilihan pelakon yang tidak begitu dikenali.

Malah, dia digelar sebagai "James Blond" kerana semua watak James Bond sebelumnya berambut hitam. Potongan rambut Daniel Craig yang berbeza daripada kebiasaan juga dipersoalkan.

Namun, segalanya berubah apabila Casino Royale mula ditayangkan. Tidak mustahil jika seorang pelakon yang tidak begitu dikenali dipilih untuk memegang watak James Bond seterusnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)