siapa pemerintah hong kong

Bagi pemerhati politik Hong Kong - apa yang sedang berlaku sebenarnya layak dikatakan tidak mengejutkan. Ancaman rusuhan dan keganasan di Hong Kong sudah muncul beberapa kali dalam insiden lebih kecil, konsisten sehinggakan dianggap sebagai rutin hidup. Tidak salah kalau Hong Kong dikatakan 'ibu negara kepada masyarakat protes.'

Hong Kong adalah sebuah bandar mewah, bermajoriti penduduk golongan pertengahan jadi masyarakat mereka sepatutnya terletak dalam kumpulan rasional namun entah di mana silapnya - rusuhan kecil kini merebak menjadi besar sehingga sukar lagi dibendung.

Dalam situasi sebegini, masyarakat khasnya pada peringkat individu akan terpaksa memilih untuk berpihak di mana - menyokong atau menolak penunjuk perasaan dan ini adalah satu situasi yang sangat sukar dikawal serta diatasi. Usaha untuk memahami kaedah terbaik sebagai solusi masalah ini perlu dicapai dengan melihat kembali apa sudah berlaku dan apa hala tuju Hong Kong di masa akan datang.

Namun, satu persoalan besar yang seringkali diajukan tanpa sebarang jawapan konkrit dapat diberikan - siapa sebenarnya pemerintah Hong Kong?

Hubungan China dengan Hong Kong

serahan hong kong kong china 1997

Pada tahun 1997, ketika penyerahan semula Hong Kong ke China oleh penjajah British, prinsip 'satu negara dua sistem' diperkenalkan bagi membolehkan Hong Kong ditadbir. Di bawah prinsip ini, pemerintahan Hong Kong diletakkan dibawah bidang kuasa Ketua Eksekutif dan Kerajaan Hong Kong Special Autonomous Region atau HKSAR.

Pengaruh China di Hong Kong lebih kepada simbolik, melalui hubungan diplomasi di antara kedua-dua kerajaan. Dari segi undang-undang, tidak ada bukti menunjukkan China mempunyai kuasa mentadbir dan mengurus Hong Kong secara terus.

Walaupun begitu, kerajaan China tetap tidak dapat lari daripada memperkenalkan beberapa langkah dalam usaha untuk menunjukkan wujudnya peluang campur tangan mereka dalam pentadbiran Hong Kong. Cubaan untuk meminda Hong Kong Basic Law artikel 23 dan Undang-Undang Ekstradisi ke atas rakyat Hong Kong tidak berjaya.

Namun tidak dapat dinafikan hubungan antara kedua-dua kerajaan tetap memberi faedah besar kepada Hong Kong, khasnya dari segi ekonomi. Hubungan dua hala antara kedua-dua kelompok masyarakat daripada aspek kemasyarakatan, ekonomi dan hubungan interaksi membawa kepada kepesatan ekonomi mereka yang terlibat - namun China dilihat tetap akur serta hormat akan prinsip 'satu negara dua sistem' yang dimaktubkan dahulu.

Adakah kerajaan China memerintah Hong Kong? Tidak.

Tiada hubungan organik antara Ketua Eksekutif HK dengan parti politik

siapakah pemerintah hong kong

Bagi menjalankan pentadbiran dengan berkesan, HKSAR sejak awal lagi memilih untuk menjalankan sistem pengasingan kuasa kepada 3 bahagian - eksekutif, perundangan dan kehakiman. Tidak ada pihak benar-benar dilihat menguasai pemerintahan Hong Kong.

Cabang perundangan Hong Kong dilihat tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk memerintah, sementara HKSAR sendiri tidak dibenarkan menguasai atau mempengaruhi bidang kehakiman mereka. Manakala cabang eksekutif Hong Kong pula hanya meneruskan legasi yang ditinggalkan sejak zaman British Hong Kong semata-mata. Hanya pengenalan jawatan Ketua Eksekutif membezakan Hong Kong dahulu dan sekarang.

Apa yang lebih membuatkan politik Hong Kong seakan tiada hala tuju, adalah lemahnya pengaruh parti politik ke atas masyarakat Hong Kong. Ini menyebabkan mana-mana individu yang memegang jawatan Ketua Eksekutif atau ketua kerajaan Hong Kong, kebiasaannya akan menggunakan simbolik perkhidmatan awam sebagai pengganti kepada organisasi parti.

Ini menyebabkan Ketua Eksekutif berdepan kesukaran dalam bertindak sebagai seorang pengantara neutral dalam kerajaan dengan nasib Ketua Eksekutif itu, ditentukan oleh sokongan atau tekanan golongan penjawat awam di Hong Kong.

Disebabkan ketiadaan platform politik yang kukuh, HKSAR gagal melakukan banyak perubahan sejak ditubuhkan. Undang-undang sukar diperkenal atau dipinda, polisi sukar dilaksanakan akibat daripada tekanan pihak bukan kerajaan. Akhirnya, jawatan Ketua Eksekutif sendiri walaupun menjadi ketua kerajaan - tidak mempunyai kuasa yang cukup untuk benar-benar memerintah dengan efektif.

Kesan penjajahan yang tidak hilang - kerana mahu dikekalkan

tunjuk perasaan mahukembali ke british

Satu persoalan yang menarik untuk difikirkan adalah apakah apa yang berlaku di Hong Kong sekarang, merupakan kesan manipulasi pihak luar, khasnya kuasa barat? Berikutan status Hong Kong sebagai bekas koloni Britain, majoriti undang-undang yang terus diguna pakai selepas penyerahan semula oleh British - masih lagi mengekalkan apa yang ditinggalkan penjajah.

Tidak ada perubahan besar dilakukan bagi menukar atau menambah baik sistem yang diamalkan di Hong Kong, daripada mana-mana pihak; disebabkan oleh kebanyakan pihak terlibat lebih gemar mengekalkan saja prinsip 'mengikut undang-undang sedia ada.' Disebabkan ketiadaan perubahan ini, Hong Kong boleh dilihat sebagai 'koloni tidak rasmi' Britain kerana masih banyak undang-undang dan akta yang ada - membenarkan campur tangan Britain sekiranya mereka mahu.

Undang-undang sedia ada inilah yang dilihat menjadi punca utama mengapa kuasa-kuasa luar khasnya negara besar dunia bebas membicarakan tentang isu di Hong Kong, tanpa mencetuskan konflik diplomasi yang besar. Sistem itu dilihat menjadi pengimbang kepada pengaruh HKSAR di negara mereka sendiri, dalam memastikan keadilan dan perjalanan kerajaan tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip dunia.

Kekangan ke atas kerajaan dalam corak 'satu negara dua sistem'

rundingan beijing dan hong kong

Sesuatu yang jarang diperkatakan adalah kesan penjajahan ke atas generasi muda Hong Kong. Sistem pendidikan yang ditinggalkan British serta diteruskan Hong Kong, dilihat menjadi punca utama mengapa masalah di Hong Kong berlanjutan sehingga kini. Sistem pendidikan mereka melahirkan generasi muda yang lahir selepas 1997, lebih berkiblatkan sentimen anti-China berbanding anti-British dan mereka inilah yang menjadi tulang belakang pada gerakan pemisahan Hong Kong - supaya dimerdekakan dari China sepenuhnya.

Prinsip 'satu negara dua sistem' dilihat menjadi punca utama tarik tali antara China dan rakyat Hong Kong berlaku. Kerajaan China berulang kali mengingatkan bahawa mereka (China dan Hong Kong) adalah satu negara, sementara rakyat Hong Kong pula lebih gemar mengutamakan 'dua sistem' berbeza - keluar dari pengaruh China. Di tengah-tengah pergelutan ini adalah HKSAR yang terpaksa mengambil kira pandangan kedua-dua pihak tanpa benar-benar boleh bertindak.

Punca terbesar rusuhan yang berlaku disebabkan pengenalan undang-undang ekstradisi oleh China dilihat sebagai satu tindakan gopoh kedua-dua buah kerajaan terbabit - sehingga mengakibatkan HKSAR hilang kawalan ke atas negara.

Pada ketika ini, HKSAR dilihat di luah mati emak, ditelan mati bapak; dikekang daripada pelbagai sudut disebabkan oleh kelemahan dalam pembentukan sistem kerajaan sendiri, serta ditekan oleh negara luar yang akan mencari sebarang kesilapan mereka dalam menguruskan insiden-insiden rusuhan yang berlaku. Kelemahan ini, menyebabkan situasi ala anarki mula menjadi solusi kepada kekusutan masyarakat Hong Kong.

Individu serta pihak yang cuba membawa kepentingan kepada masyarakat disisihkan, digantikan dengan mereka yang mengambil kesempatan ke atas huru-hara yang timbul. Tanpa ada pemusatan kuasa dilakukan bagi membolehkan satu pihak benar-benar menguasai tampuk pemerintahan, sukar untuk Hong Kong kembali stabil.

Situasi sedia ada dijangkakan akan berterusan dan akan terus berterusan berulang kali, selagi mana China, HKSAR dan rakyat Hong Kong sendiri tidak dapat menjawab - "siapa perintah Hong Kong sebenarnya?"


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel Who rules Hong Kong yang diterbitkan oleh ThinkChina.



Hakcipta iluminasi.com (2017)