lambakan rumah tidak terjual

Salah satu idea di luar kebiasaan dalam usaha mengekang masalah hartanah tidak terjual yang dihadapi pemaju-pemaju di negara kita, disebutkan sebagai usaha kerajaan Malaysia mahu mewujudkan kempen bagi menggalakkan jualan kediaman berstatus mewah di negara kita di kalangan warga negara China dan Hong Kong.

Langkah ini pada dasarnya memang akan dikritik hebat kerana bunyinya seakan-akan meminggirkan orang tempatan, apatah lagi harga rumah di negara kita masih berada di luar tahap kemampuan majoriti masyarakat kita.

Idea membuka jualan pada warga asing memang dibuat sejak dahulu lagi dan jualan bukanlah dibuat sewenang-wenang, perlu memenuhi syarat yang ketat. Bagaimanapun, malangnya idea membuka jualan itu dilihat sebagai jalan mudah bagi pihak kerajaan Malaysia - dalam memenuhi kepentingan pemaju perumahan semata-mata. Masalah hartanah tidak terjual bukanlah eksklusif di negara kita semata - malahan turut sama berlaku di banyak negara serata dunia.

Bagaimana kerajaan mereka menganalisis serta merungkaikan masalah ini tanpa perlu membuka kemasukan warga asing ke dalam negara mereka? Jom sama-sama kita telaah bersama.

1. London perkenal sistem bantuan pinjaman tanpa faedah

unsold properties london

Isu berkenaan unit-unit kediaman berbentuk kondominium di London yang gagal dijual, semakin kerap kedengaran. Masalahnya, perancangan untuk membina menara-menara ini sudah pun bermula sejak 2013 tetapi selepas London kini terumbang-ambing disebabkan keputusan BREXIT, kebanyakan projek yang ada mula berdepan kesukaran jualan.

Kewujudan pelabur dari Asia pada mulanya melabur secara beramai-ramai selepas pengumuman rancangan pembangunan London bagi tahun 2015-2016. Namun selepas pelbagai sebab, pembangunan yang siap tidak mendapat sambutan. Ini kerana warga London menyifatkan kediaman yang dibina di luar kemampuan mereka serta menawarkan perkara yang tidak sepatutnya.

Majoriti penduduk London hanya mahukan sebuah apartment satu atau dua bilik, pada harga £500,000 tetapi majoriti pembangunan yang dijalankan lebih kepada unit mewah bernilai £1.5 ke £3.0 juta. Purata harga kediaman di London meningkat sebanyak 74% daripada tahun 2010 sehingga 2018, menyebabkan tidak ramai mampu memiliki kediaman baru sendiri.

Program 'help to buy' yang diperkenalkan kerajaan London pada tahun 2013 membolehkan pembeli memiliki kediaman sendiri dengan bayaran muka 5 peratus daripada harga jualan, dengan pinjaman tanpa faedah disediakan pihak kerajaan sendiri dengan syarat kerajaan boleh mengenakan cukai ke atas kenaikan harga kediaman itu di masa depan. Malangnya, hanya kediaman bernilai £600,000 ke bawah dibenarkan menyertai skim ini dan tidak banyak unit hartanah baru, diletakkan pada julat harga tersebut oleh pemaju. (Is London Help to Buy becoming extinct?)

2. Kerajaan India berjaya mengurangkan peratusan unit tidak terjual

hartanah di india

Beberapa negeri di India menghadapi masalah yang agak kronik, berkait dengan kadar tinggi unit kediaman mewah yang tidak terjual. Ini mewujudkan situasi di mana pemaju-pemaju perumahan mengalami masalah kewangan yang tidak menentu disebabkan ketiadaan modal pusingan yang mencukupi.

Mumbai menjadi negeri tertinggi memiliki jumlah kediaman tidak terjual, melebihi negeri-negeri lain di India, dengan Delhi dan Pune berdepan masalah serupa. Kebanyakan projek pembangunan yang dijalankan dikritik kerana meletakkan harga yang terlalu tunggi walaupun hanya sebuah rumah pangsa, selain daripada isu berkaitan ketidak tentuan pekerjaan menyebabkan ramai individu enggan menjadi pemilik rumah pertama.

Beberapa langkah bagi membantu memperbanyakkan kadar pembelian rumah telah dilakukan kerajaan India. Sejak tahun 2017, kerajaan India cuba meminda sistem cukai mereka dalam meringankan beban pembayaran cukai pemilik rumah seterusnya meramaikan individu yang mahu menjadi pemilik. Pada ketika ini, semua pemaju perumahan perlu membayar cukai ke atas unit-unit yang tidak terjual.

Selain itu cadangan untuk menghapuskan terus sistem cukai ke atas milikan kediaman juga sudah pun dibentangkan. India selama ini mengamalkan sistem di mana pemilik kediaman akan dikenakan cukai ke atas kadar sewa yang ditetapkan sebagai standard mengikut negeri, tidak kiralah sama ada rumah itu disewakan atau tidak.

Dengan menghapuskan sistem cukai ini, diharapkan lebih ramai individu mahu membeli rumah tak kiralah untuk mendiami sendiri atau untuk sewaan pada orang lain. (India's inventory of unsold luxury homes falls 12% to 43,000 units)

3. Hong Kong mula mendenda pemaju

hong kong krisis hartanah

Bagi negara kecil seperti Hong Kong - lambakan kediaman tidak terjual memang akan menjadi beban yang sangat besar pada kerajaan. Situasi ini diburukkan lagi dengan peristiwa-peristiwa rusuhan yang menimbulkan imej kurang baik terhadap negara itu.

Berikutan jumlah kediaman tidak terjual yang terlalu tinggi disebabkan oleh pembinaan-pembinaan hartanah yang langsung tidak menepati permintaan serta di luar kemampuan orang ramai - kerajaan Hong Kong mengambil pendekatan drastik mahu memperkenalkan sistem cukai ke atas setiap unit kediaman tidak terjual, dengan pemaju perumahan yang gagal menjualnya akan menanggung jumlah cukai yang ditetapkan; sekitar 5% daripada harga jualan setahun.

Ura-ura ini selepas dihebohkan memang membantu menggerakkan jualan, ekoran rasa takut pemaju dikenakan denda ini. Dalam tempoh dua bulan daripada 1 Julai 2018 sehingga 19 September 2018, sebanyak 13,579 unit apartment berjaya dijual mengurangkan hampir 12 peratus daripada jumlah keseluruhan unit tiada sambutan. Angka ini diperolehi sebelum pelaksanaan cukai tersebut dikenakan sepenuhnya.

Pada bulan September 2019, persatuan pemaju perumahan Hong Kong merayu agar cukai yang dikenakan ke atas unit tidak terjual tidak dilaksanakan - berikutan rasa gusar akta itu akan menyebabkan pemaju-pemaju perumahan terpaksa memperlahankan perniagaan mereka.

Walau bagaimanapun, daripada perspektif pembeli rumah - langkah kerajaan Hong Kong mahu mengenakan cukai ke atas pemaju ini telah dilihat sebagai berjaya. Berikutan takut unit-unit jualan mereka tidak dapat dijual dan perlu menanggung cukai yang agak tinggi, pemaju di Hong Kong bertindak menurunkan harga bagi menarik minat pembeli.

Secara puratanya harga kediaman di Hong Kong telah mengalami penurunan disebabkan langkah kerajaan mereka berura-ura mahu memperkenalkan akta cukai tersebut. Sama ada mereka akan benar-benar melaksanakannya, kita belum tahu lagi. (Hong Kong developers urge government to defer roll out of vacancy tax )



Hakcipta iluminasi.com (2017)