gadis tinggal dalam rumah nano

Semua negara yang telah mencapai status negara membangun akan berhadapan dengan masalah kenaikan harga rumah yang akan berlaku secara automatik, setiap kali pembangunan sesuatu bandar semakin rancak dilakukan.

Masalah pemilikan kediaman ini juga merupakan satu perkara biasa yang dibincangkan di kalangan masyarakat kita, berikutan harga rumah yang melampau namun jika dibandingkan dengan apa yang sedang berlaku di Hong Kong, kita sebenarnya boleh dikatakan masih munasabah.

Tahukah anda di Hong Kong, pemaju-pemaju perumahan sudah mula membina konsep perumahan yang dikenali dengan konsep 'nano' bagi memenuhi permintaan orang ramai serta cuba menyelesaikan masalah terbesar negara mereka, iaitu isu kekurangan tanah untuk dibangunkan?

Masalah bekalan tanah untuk kediaman

pasangan berpindah ke rumah nano

Di Hong Kong, berikutan kawasannya yang agak terhad untuk dibangunkan kediaman serta polisi kerajaan Hong Kong yang mahu mengawal sendiri pembangunan-pembangunan di situ, pemaju-pemaju perumahan swasta tidak ada banyak pilihan dalam mempercepatkan pembinaan kawasan kediaman untuk memenuhi bekalan permintaan.

Dengan anggaran defisit jumlah tanah yang diperlukan Hong Kong akan terus kekal dalam tempoh tiga dekad akan datang, Hong Kong akan kekurangan 1,200 hektar tanah yang sepatutnya diwujudkan sebagai kawasan pembangunan. Daripada jumlah itu, 230 hektar sebagai kediaman, 720 hektar sebagai kawasan fasiliti kerajaan dan 256 hektar selebihnya, untuk kegunaan kegiatan ekonomi.

rumah saiz kecil hongkong

Untuk tempoh 30 tahun akan datang, kerajaan Hong Kong mensasarkan penyediaan 4,800 hektar untuk tujuan itu tetapi penganalisa menjangkakan jumlah sebenar yang lebih realistik adalah sekitar 9,000 hektar - mengikut keperluan jangkaan jumlah penduduk, keperluan fasiliti serta status rakyat Hong Kong yang kini hidup lebih panjang usianya.

Ekoran tidak mahu menunggu langkah kerajaan Hong Kong yang dikritik terlalu perlahan, pihak pemaju swasta Hong Kong mula membina satu konsep kediaman bersaiz nano, bagi memastikan masalah tempat tinggal orang ramai tidak menjadi lebih besar.

Cuma, berapa kecil konsep rumah nano ini? Sangat kecil. Anda mesti terkejut mendengarnya.

Rumah nano mendapat sambutan menggalakkan

rumah nano hong kong

Bermula pada tahun 2016, istilah 'nano flat' atau 'pangsapuri nano' mula diperkenalkan dalam sistem pasaran hartanah Hong Kong. Rumah pangsapuri ini kebiasaannya mempunyai satu bilik besar yang bertindak sebagai bilik tidur dan ruang tamu serta satu bilik air. Apa yang menjadikannya 'nano' adalah saiznya; semua rumah nano perlu mempunyai saiz tidak melebihi 200 kaki persegi.

Bayangkan, ada berada dalam sebuah rumah bersaiz 200 kaki persegi? Sekiranya anda ambil bilik sewa bersaiz 8 kaki lebar dan 8 kaki panjang, ditambah dengan bilik air bersaiz 5 x 5 kaki sekalipun di negara kita, saiz kedua-dua bilik tersebut pun sudah hampir mencapai 100 kaki persegi.

rumah nano hong kong2

Mungkin di Malaysia kedengaran agak gila sekiranya pemaju menawarkan sebuah rumah berkeluasan 165 kaki persegi, tetapi konsep itu diterima dengan baik oleh rakyat Hong Kong - kerana buat pertama kalinya mereka mampu memiliki kediaman sendiri di kawasan bandar.

Rumah-rumah pangsapuri bersaiz nano kebiasaannya bermula dengan saiz sekecil 110 kaki persegi. Apa yang menyedihkan, saiz standard petak parkir kereta yang dijual di Hong Kong mesti mempunyai saiz minima 16.4 kaki panjang dan 8.2 kaki lebar atau 134.2 kaki persegi.

Ini bermakna di Hong Kong, ada rumah yang saiznya lebih kecil berbanding saiz sebuah tempat letak kereta mereka!

Kecil tetapi harganya pula mencanak naik

deretan rumah nano

Rumah nano ini mendapat sambutan menggalakkan masyarakat Hong Kong, sehingga menyebabkan harganya naik sehingga 19 ke 29 peratus harga pasaran sebenarnya. Bagaimanapun rumah berkonsep ini tetap dilihat hanya satu solusi jangka pendek dalam usaha menyediakan bekalan perumahan pada orang ramai.

Projek sebegini juga dikritik kerana dilihat sebagai salah satu cara pemaju perumahan menjimatkan kos pembinaan serta meningkatkan harga jualan per kaki persegi bagi setiap unit. Ini kerana sambutan hangat masyarakat Hong Kong terhadap konsep ini berjaya menyembunyikan realiti sebenar yang berjaya dikaburi pemaju - harga rumah nano mengikut nilai kaki persegi sebenarnya jauh lebih mahal berbanding rumah bersaiz lebih besar namun berikutan harga jualannya murah, pembeli tetap sanggup membelinya.

Oleh kerana kemampuan membeli rakyat Hong Kong agak terhad dalam membeli kediaman, mereka seakan menerima konsep rumah nano ini kerana mahu memiliki kediaman sendiri.

Berapa harga rumah-rumah nano ini? Kebanyakannya dijual pada harga HK$1.5 juta (RM750 ribu) dan ke atas dengan beberapa jenis mampu mencapai HK$4 juta (RM2.14 juta). Mahukah anda bayar RM750 ribu untuk sebuah rumah yang besar sedikit sahaja daripada saiz tempat letak kereta?

Harap kita tidak akan sampai ke tahap inilah di negara kita.

Rujukan

News.com.au


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)