Setiap ibu bapa sangat menyayangi anak-anak mereka dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk mereka dalam setiap sudut. Ibu bapa ingin melihat anak-anak mereka berjaya lebih-lebih lagi dalam pelajaran. Namun, terdapat ibu bapa yang agak berfikiran sempit yang mengganggap kejayaan dalam pelajaran itu adalah penentu kepada segala-galanya di dalam hidup.
BESARKAN TEKS A- A+
Akibat daripada ini, tekanan yang berat diletakkan di bahu anak-anak supaya sentiasa berada di paras tertentu dalam pelajaran. Dalam tak disedari, mereka menjadi tertekan dan memberontak.
Apa yang salah di sini adalah kerana terlalu inginkan kejayaan dalam pelajaran, ibu bapa terlupa dan sanggup mengabaikan bakat dan minat anak-anak.
Sepucuk surat telah ditulis sendiri oleh seorang pengetua sekolah di Singapura dan dihantarkan kepada para ibu bapa sebelum tibanya peperiksaan.
"Ke hadapan ibu bapa,
Peperiksaan anak-anak anda akan bermula tidak lama lagi. Saya tahu anda semua sangat risaukan prestasi anak anda dan ingin mereka melakukan yang terbaik.
Namun, anda perlu ingat dan tahu, di antara mereka yang akan menduduki peperiksaan ini, terdapat artis yang tak perlu memahami matematik. Terdapat usahawan yang tak mempedulikan pemahaman dalam sejarah atau kesusasteraan. Terdapat atlet yang mana kecergasan fizikal adalah lebih penting daripada fizik.
Jika anak anda mendapat markah tertinggi, sangat bagus dan saya ucapkan tahniah! Tetapi jika tidak, tolong jangan rosakkan keyakinan diri dan maruah mereka. Beritahu mereka, tidak mengapa, ia hanyalah satu peperiksaan. Masih jauh perjalanan dan masih banyak lagi peluang yang lebih besar dalam hidup.
Beritahu mereka, tak kira apa pun gred dan markah yang mereka dapat, anda tetap sayangkan mereka dan tak akan menghakimi mereka.
Tolong, lakukan perkara ini. Dan apabila anda lakukannya, anda akan dapat melihat anak-anak anda menguasai dunia. Satu peperiksaan atau gred yang tidak baik tidak akan menghancurkan impian dan bakat mereka.
Dan, tolong, jangan menganggap bahawa hanya para doktor dan jurutera sahaja yang mempunyai kehidupan gembira di dalam dunia ini.
Yang benar,
Pengetua."
Jadi, kepada para ibu bapa di luar sana, tolong buka minda anda dan jangan terlalu memaksa anak-anak anda dalam sesuatu. Jika mereka mempunyai minat di dalam sesuatu, pupuk dan sokong mereka, dengan ini, mereka akan lebih berjaya, dan yang paling penting, mereka lebih gembira.
Wallahualam.