Tahun ke tahun pasti ada saja kes disiplin yang menyebabkan kecederaan atau lebih teruk kematian berlaku di kalangan pelajar-pelajar asrama di negara kita.
Adakah ini sesuatu yang sebenarnya semakin membimbangkan atau kes-kes ini sebenarnya sudah berlaku sejak dulu, hanya sekarang semakin kerap didedahkan? Ibu bapa juga semakin mengalami dilema sama ada mahu melepaskan anak mereka duduk di asrama yang terbukti sistem pendidikannya mampu membantu pembelajaran anak-anak atau meminta anak meneruskan proses pembelajaran dari rumah sahaja.
BESARKAN TEKS A- A+
Dalam setiap perkara, pasti akan ada pro dan kontranya. Untuk hari ini, kami senaraikan 5 kesan buruk yang mungkin menimpa pelajar jika dia ditempatkan di sekolah asrama.
1. Dia akan terdedah dengan hubungan songsang
Seseorang itu apabila membesar pasti akan melalui satu fasa ingin tahu dan dalam tempoh ini, jika dia hanya bergaul dengan individu sejenis dengan dia, pasti akan berlaku kekurangan dalam pembentukan sahsiah beliau.
Selalunya dalam kelompok sama jantina ini pasti akan ada beberapa golongan yang mempunyai kecenderungan naluri yang berbeza kerana diletakkan dalam keadaan tersebut tanpa ada bantuan.
2. Dia tidak kenal bagaimana dunia luar
Hidup dalam satu suasana yang terkawal dan terjaga tanpa risiko tinggi, tanpa perlu bersusah payah seperti kebanyakan pelajar lain mampu merencatkan persepsi pelajar kepada dunia sebenar. Jika pelajar lain terpaksa mengharungi perjalanan ke sekolah setiap hari, berdepan masalah mahu makan dan minum serta tekanan keluarga di rumah, masalah-masalah tersebut tidak dihadapi oleh pelajar-pelajar asrama.
Mereka akan membesar dengan mempunyai satu cara pandang dunia yang sedikit berbeza berbanding pelajar-pelajar sekolah harian biasa dan ini pasti akan memberikan kesan selepas mereka melangkah keluar dari asrama untuk ke alam universiti.
3. Dia pasti akan menghadapi masalah buli
Masalah buli di asrama ini seolah irama dan lagu. Walau apa pun jenis buli walaupun sesuatu itu dibuat untuk memupuk semangat setiakawan, jika kelakuan itu merupakan satu paksaan, ia tetap sejenis buli. Masalah buli memang dah jadi budaya di sekolah asrama sehinggakan ramai yang duduk di asrama menganggap kena buli adalah satu lumrah yang perlu mereka tahan tanpa mengambil apa-apa tindakan.
4. Dia pasti kekurangan aspek emosi
Antara perkara yang paling ditakutkan berlaku adalah apabila seorang pelajar sudah terbiasa dengan kehidupan asrama, dia tidak lagi mempunyai kadar emosi yang sama seperti pelajar normal kerana tinggal di asrama merupakan satu suasana yang kurang menekankan aspek emosi dan lebih kepada aspek disiplin.
Jika pelajar ada masalah, dia tidak ada ibu bapa untuk mengadu. Dia hanya ada kawan yang sikit-sikit dapat membantu atau kaunselor yang ditugaskan untuk membantu. Apa yang boleh menggantikan kasih sayang ibu bapa di sekolah? Tidak ada.
Pelajar terpaksa mempunyai minda yang kurang matang dalam bab pemikiran emosi kerana dia tahu dia tidak ada tempat bergantung di asrama dan ini pasti akan merenggangkan hubungan antara dia dan keluarganya.
5. Dia akan merasa dirinya perlu pengiktirafan sepanjang hidup
Duduk di sekolah asrama, khasnya sekolah-sekolah berprestasi tinggi memerlukan seseorang itu berjaya dalam bidang akademik. Kepada yang tidak berjaya, besar kemungkinan mereka akan dikeluarkan dari sekolah. Ini mewujudkan satu suasana di mana pelajar-pelajar merasakan yang objektif mereka untuk hidup hanyalah pengiktirafan dari pihak sekolah dan kepada mereka yang gagal, perkara ini pasti akan menghantui diri mereka kerana mereka tahu mereka tidak cukup bagus.
Mentaliti yang dibentuk ini akan mempengaruhi mereka seumur hidup dan ramai pelajar sekolah asrama yang sehingga dewasa, terus mengamalkan pemikiran sebegitu.
Apabila dewasa, pelajar-pelajar ini akan menjadi seorang yang materialistik kerana merasakan keperluan material adalah hadiah kepada usaha mereka dan lebih gemar memfokuskan pada kerja kerana itu adalah satu-satunya cara membuktikan kejayaan agar mereka tahu diri mereka mempunyai nilai pada masyarakat.
Persaingan ini dilakukan tanpa sedar dalam membuktikan yang mereka lebih berjaya berbanding orang lain kerana pelajar sekolah asrama sudah dilatih untuk mengejar pengiktirafan. Bagi yang gagal, dia akan menghilangkan diri kerana tahu dirinya tidak setaraf dengan rakan-rakannya yang lain.