Gambar ticerjulia garang ini sekadar hiasan Tiktok TicerJulia
Menjadi seorang guru memberikan kelebihan kepada seseorang, untuk menjadi lebih rapat dengan ahli masyarakat.
Dalam menangani urusan berkaitan pembelajaran dan tumbesaran anak-anak dalam komuniti, guru perlu berdepan bermacam jenis perangai individu, sama ada yang baik dan buruk, positif dan negatif.
BESARKAN TEKS A- A+
Penulis bernasib baik mempunyai beberapa orang kenalan bergelar guru. Hasil perbualan kami, dapat penulis simpulkan secara amnya ada lima aspek negatif perangai ibu bapa yang harus diperbaiki, bagi mempertingkatkan tahap pendidikan generasi masa depan kita.
1. Suka lepas tangan hal pendidikan anak kepada cikgu
Faktor utama yang menjadi masalah besar guru adalah sikap segelintir ibu bapa yang senang-lenang melepaskan tanggungjawab mendidik anak mereka, kepada guru dilantik. Malangnya tindakan ini bertepuk sebelah tangan.
Bagi guru yang produktif, guru akan menyediakan kaedah untuk ibu bapa menyemak dan menandatangani hasil kerja anak mereka. Selalu mereka mendapati tidak ada maklum balas berlaku dari pihak penjaga yang diharapkan.
Sedangkan ruangan sebegitu dibuat bagi membantu ibu bapa memahami dan memantau secara langsung tahap perkembangan anak-anak mereka.
Yang sering dijadikan isu adalah isu guru malas tetapi dalam masa sama, masih ramai ibu bapa gagal memahami tahap akademik anak-anak sendiri sehinggakan ada yang tidak tahu kemampuan sebenar anak mereka.
Ini membawa kepada satu masalah besar yang jarang diceritakan iaitu...
2. Ada ibu bapa tidak tahu anak kurang asas pendidikan
Kami tidak tahu apa yang berlaku dalam keluarga di mana ibu atau bapanya tidak mengetahui anak mereka masih kurang cekap dalam pengetahuan asas; menulis, membaca dan mengira walaupun sudah bersekolah beberapa tahun.
Kejadian sebegini memang berlaku! Apa yang lebih mengejutkan, ramai pula kalangan ibu bapa sebegini hanya mengetahui tentang tahap sebenar prestasi anak mereka selepas dimaklumkan guru.
Persoalan kami sebagai orang luar - tidak adakah waktu-waktu ketika murid di rumah, membolehkan ibu bapa menilai sendiri kemampuan anak mereka dalam tiga perkara asas ini? Terlalu sibukkah mereka sehingga anak yang tidak pandai membaca pun, tidak diketahui ibu bapanya?
Lebih malang, walaupun ada segelintir menyedari anak mereka sangat lemah dalam asas akademik - tidak nampak wujud usaha yang lebih jitu daripada pihak penjaga dalam memperbaiki kemampuan anak mereka. Mungkin kerana..
3. Terima hakikat 'anak saya tak pandai belajar'
Satu kekangan paling besar dalam mendidik adalah apabila guru perlu berhadapan dengan ibu bapa yang mengambil pendekatan redha sajalah dengan apa yang terjadi kepada anak mereka.
Redha mereka ini pula kurang betul pendekatannya. Mereka lebih senang untuk menyerah kalah dan menerima saja ketidakmampuan anak-anak dalam akademik berbanding berusaha memperbaikinya.
Ini kerana bagi ibu bapa sebegini - 'anak mereka tak pandai seperti orang lain' atau 'dah dia tak minat belajar' serta bermacam lagi alasan lain dijadikan hujah.
Apa yang membimbangkan, ibu bapa sebegini tidak melihat pendidikan sebagai sesuatu yang bernilai kepada masa depan anak mereka.
Mereka berpendapat daripada mereka membuang keringat dan masa, cuba mengubah pemikiran anak mereka - adalah lebih baik semua usaha itu diarahkan kepada membentuk kemahiran anak dalam satu bidang; supaya sekurang-kurangnya anaknya ada kemahiran agar dia boleh mendapatkan kerja.
4. Terlalu manjakan anak dengan telefon
Ramai ibu bapa zaman sekarang dek kesibukan memenuhi tanggungjawab di tempat kerja, memilih untuk membenarkan anak-anak mereka hidup dengan telefon, tak kiralah dengan menonton video tanpa henti atau bermain permainan video.
Guru sekolah sudah serik berhadapan kes di mana pelajar mengantuk di dalam kelas. Alasannya - main 'game' sampai jam 3 pagi. Apabila disoal adakah ibu bapa tak larang main game sampai tak tidur, anak murid biasanya menjawab tidak.
Dalam sesetengah situasi lebih unik dan lebih kritikal, guru pula perlu berhadapan masalah ibu bapa yang ketagihan telefon. Anak-anak yang bersemangat nak ke sekolah kerap ponteng sekolah.
Dalam mesej pemberitahuan, anak dikatakan kurang sihat.
Keesokannya apabila ditanya kenapa murid tak datang semalam, anak murid yang belum pandai berbohong secara jujur akan menjawab 'semalam ayah/mak saya main fon sampai pagi, dia terlewat bangun.'
Bagaimana seorang guru nak menangani masalah sebegini?
5. Ramai malas ambil tahu, tapi cepat nak marah
Netizen dan orang ramai sering melihat sesuatu perkara daripada perspektif mereka sebagai orang luar. Penjawat awam seperti guru sering dijalankan mangsa kritikan, apabila didakwa gagal menjalankan tugas seperti mana diingini masyarakat.
Kes guru diserang oleh ibu bapa yang terlalu memihak kepada anak sendiri, pihak sekolah dicerca disebabkan isu-isu tular - semua itu sudah menjadi asam garam bergelar pendidik dalam era media sosial.
Ibu bapa zaman sekarang juga semakin ramai yang lebih selesa menularkan sesuatu isu, berbanding berbincang elok-elok bagi menangani masalah yang timbul kerana menganggap itu solusi yang lebih efektif.
Sedangkan jalan perbincangan di antara pihak sekolah dengan ibu bapa senantiasa terbuka. Hakikatnya, yang benar-benar mahu menggunakannya hanyalah segelintir dari keseluruhan ibu bapa. Dipanggil hadir mesyuarat PIBG, tak pernah nampak muka.
Minta isi borang cadangan atau maklumbalas berkenaan penambahbaikan sekolah, jarang maklum balas yang baik dapat diterima. Bila timbul isu kontroversi, ramai ibu bapa secara tiba-tiba cerdik semua perkara, bijaksana dalam setiap benda dan punya banyak cadangan untuk membantu menyelesaikannya.
Sifat-sifat sebegini memang dah jadi sesuatu yang biasa dan guru-guru pun dah lali menghadapinya.
Tidak dapat kami nafikan - tugas guru untuk mendidik, tidaklah boleh dilihat hanya sebagai satu pekerjaan, sebaliknya adalah satu tanggungjawab besar yang bukan hanya terhad kepada 'sejenis kerja.'Bukan semua guru mampu mengambil pendekatan sebegini.
Namun ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan menyokong guru - mengawasi, menyelia dan memahami pendidikan anak-anak mereka.
Sekiranya masih ramai ibu bapa gagal untuk memikul beban yang sepatutnya mereka sendiri tanggung, terus mengandaikan tugas mendidik anak-anak 100% jatuh kepada guru maka kita sebagai sebuah negara dan masyarakat pasti tidak akan ke mana-mana.