Oleh pada 25 Jun 2022 kategori

Teknologi moden zaman sekarang membolehkan kita hidup dalam dunia yang secara mayanya tanpa sempadan.

Dengan ketiadaan sempadan ini, pengetahuan dan ilmu yang sebelum ini hanya dapat diperolehi dengan cara fizikal - kini sudah boleh diperolehi dengan mudah. Apa yang dulu terkandung hanya di perpustakaan, sudah boleh diakses dari mana-mana saja.

Perkongsian pengetahuan sama ada secara formal atau lebih santai juga berlaku melalui laman web dan media sosial, melahirkan generasi yang lebih cakna tentang pengetahuan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, teknik belajar zaman sekarang juga telah mengubah kaedah asal pembelajaran - sehingga melahirkan generasi yang pada permukaannya nampak cerdik, tetapi malangnya mempunyai ilmu yang agak cetek kedalamannya. Kenapa?

1. Belajar tanpa guru

pelajar belajar tanpa guru

Di kalangan netizen khasnya, semakin ramai individu yang mempopularkan agenda bahawa seseorang itu boleh belajar 'tanpa guru', hanya perlu bergantung dengan pengalaman sendiri.

Konsep ini sebenarnya sudah mula dijalankan secara formal di negara-negara barat, di mana pelajar sekolah yang hadir untuk sesi pembelajaran digalakkan untuk melakukan 'apresiasi kendiri'; melakukan penilaian peribadi ke atas kemampuan secara sendiri tanpa ada campur tangan pihak ketiga seperti guru.

Ada juga sekolah yang telah mula membenarkan pelajar yang hadir ke sekolah belajarlah apa saja yang mereka suka pada hari itu. Tidak ada subjek atau sukatan khas dikenakan, dengan guru hanya bertindak sebagai penyelia memantau perjalanan kelas.

Kenapa semua ini semakin kerap berlaku? Pada pandangan penulis, generasi muda zaman sekarang yang sudah biasa mempunyai pilihan sendiri, tidak lagi mahu dikawal dan dibebankan dengan pilihan yang biasanya ditentukan guru.

Kita di Malaysia mungkin belum sampai ke tahap ini - tetapi permintaan agar kita menuju ke arahnya sudah mula kedengaran, sama ada kita suka atau tidak.  

2. Belajar ilmu yang hanya kita suka

minat pelajar semakin hilang tanpa suka

Berkait dengan isu tanpa guru di atas, generasi muda zaman sekarang juga semakin lama semakin meyakini bahawa konsep sukatan atau pembelajaran secara terancang sudah tidak lagi relevan.

Mereka melihat cabang ilmu sebagai sesuatu yang lebih luas, lebih bebas dan tidak sepatutnya diikat. Tidak ada lagi ilmu yang dikategorikan sebagai tidak bermanfaat kerana semuanya perlu dinilai berdasarkan minat atau kehendak seseorang.

Hendak paksa pelajar belajar subjek berat seperti sejarah, geografi, sains atau subjek lain yang mereka tak nampak aplikasi atau kegunaannya untuk membentuk kehidupan mereka? Maaflah, era tersebut sudah berlalu.

Nilailah bagaimana kita sendiri menggunakan internet atau media sosial. Setiap hari kita akan menelaah dan mengikuti isu yang kita rasakan penting atau disukai, tanpa kita mempedulikan topik-topik lain yang lebih berfaeda. Sama ada apa yang kita telaah itu berguna, belakang kira.

Tidak dapat dinafikan memang banyak perkongsian yang kita baca tampak berfaedah, namun majoriti individu hanya akan lekat membaca apa yang kita suka.

3. Meyakini internet sebagai sumber utama ilmu

tokoh guru kebangsaan 2020

Pernah tak anda menemui orang yang merasakan diri mereka pandai, hasil daripada pembacaannya di internet? Mesti ramai pernah kan?

Sehinggakan ada yang percaya ijazah, diploma, sijil atau kelulusan dalam era sekarang sudah tidak relevan - kerana dengan belajar internet, kita sudah boleh membentuk portfolio kita. Institusi pendidikan sendiri kita juga mula menerima konsep ini, menawarkan program-program pensijilan yang dilakukan secara 'terbuka' untuk kekal relevan.

Pelajar zaman moden diberikan lebih kebebasan bukan saja dalam memilih jurusan yang mereka mahu, bahkan subjek apa yang mahu mereka pelajari - akibat perlunya institusi pendidikan bersaing dengan gedung ilmu elektronik; yang semakin berjaya meyakinkan ramai manusia belajar cara tradisional sudah semakin tidak relevan.

Anda pernah mendengar konsep universiti jalanan yang kerap kali diangkat segelintir golongan, bagi menggantikan sistem universiti sedia ada? 

4. Pekerjaan akan semakin berkait dengan minat atau hobi

kerjaya sebagai influencer

Youtuber masakan terkenal : khairulaming

Berbanding dengan generasi terdahulu yang sanggup melakukan apa saja kerja demi mencari sumber pendapatan, generasi lebih muda khasnya generasi yang cakna internet melihat pekerjaan haruslah selari dengan minat.

Buat apa kerja melakukan sesuatu setiap hari, sekiranya minat kita tidak ada dalam bidang tersebut - menurut mereka.

Dalam satu perspektif, pandangan ini ada benarnya. Bagaimanapun dalam satu perspektif lain, persepsi sebegini juga melahirkan generasi yang tidak cenderung kepada satu-satu perkara.

Kumpulan individu yang bekerja lebih terbuka untuk bertukar-tukar kerja bila mereka rasa bosan. Melompat-lompat kerja akan menjadi satu kebiasaan. Akan berlaku lebih kerap individu lari daripada kerja selepas seminggu dua 'cuba' pekerjaan barunya, kerana minatnya dalam bidang tersebut tidak ada.

5. Sistem struktur masyarakat sudah tidak lagi boleh diramal

isa brb octa fx

Youtuber yang berjaya di usia muda : Isa Isarb

Internet dan media sosial semakin lama sudah jadi sebati dalam hirarki masyarakat, ibarat bekalan air dan elektrik hari-hari.

Hendak tak hendak, media sosial yang secara puratanya digunakan selama 3 jam 1minit setiap hari warga Malaysia, akan terus ada membentuk hala tuju masyarakat kita.

Tidak ada lagi pembentukan masyarakat di mana satu individu mampu memukau kata-kata ramai. Ahli politik yang sebelum ini disegani, besar kemungkinan juga akan mula hilang pengaruhnya.

Konsep pemimpin, guru atau ketua juga semakin lama akan semakin hilang konteksnya - disebabkan tingginya keperluan setiap individu untuk memenuhi kehendak diri sendiri, baik emosi, psikologi atau dalam karier setiap hari.

Kemajuan internet membolehkan setiap orang ada pilihan. Sebagai contoh, dulu kanak-kanak menonton kartun yang sama jam 5.30 petang, lalu ramai-ramai pakat bercerita tentangnya di padang.

Kini generasi muda boleh menonton ribuan judul kartun pada bila-bila masa membolehkan mereka membentuk citarasa sendiri dalam acuan sendiri. Kami tidak tahu sama ada anda melihat situasi tersebut sebagai sesuatu yang baik atau tidak.

Atas kertas, banyak faedahnya lebih banyak pilihan kepada kita diberi. Namun dalam sisi berbeza, dengan lebih banyak pilihan hidup ditawarkan - kita juga cenderung mengamalkan sikap individualistik, mementingkan diri sendiri sehingga kurang cakna perasaan orang lain.

Masyarakat yang lahir di masa hadapan akan lebih bersifat individualis, tahu apa yang mereka mahukan, sangat terdedah dengan ilmu pengetahuan tetapi hanya akan belajar apa yang mereka mahukan. Mereka juga lebih percaya kepada perkongsian internet dan media sosial. Pekertinya dibentuk oleh influencer dan trend semasa.

Ukuran kemampuan seseorang bukan lagi dinilai oleh CGPA, GPA, skor, pentaksiran, gred, agregat, markah dan sebagainya. Sebaliknya generasi masa depan menilai pencapaian mereka dengan jumlah pengikut, like, pengaruh tular, kualiti kandungan dan kualiti capaian kandungan mereka.

Adakah anda melihat ini sebagai satu perubahan positif atau negatif? Nyatakan pandangan anda.




Hakcipta iluminasi.com (2017)