Oleh pada 27 Jan 2018 kategori

Madu adalah sejenis manisan dalam bentuk cecair yang dihasilkan oleh lebah menggunakan nektar bunga atau bahagian lain dalam tumbuhan. Kepelbagaian madu ini terhasil daripada lebah madu dalam keluarga Apis yang sering menjadi rujukan dan juga jenis madu yang dipungut oleh penternak madu serta kegunaan oleh manusia.

Madu yang dihasilkan oleh lebah dan serangga lain mempunyai sifat berlainan. Terdapat pelbagai kaedah dalam memungut madu liar yang menjadi amalan bagi masyarakat orang asli di beberapa bahagian dunia seperti di Asia dan Afrika sejak ratusan tahun dahulu.Di Nepal, amalan memburu madu liar masih diteruskan sampai ke hari ini dengan menggunakan cara yang terdahulu. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pemburu madu bergayut hanya dengan menggunakan tangga tali yang tinggi di tebing Himalaya yang terletak di tengah Nepal semata-mata ingin mendapatkan madu. Pemburu madu yang terdiri daripada kaum lelaki dari suku Gurung ini sangat berani mempertaruhkan nyawa untuk berhadapan dengan sekumpulan lebah yang agresif demi untuk mengumpul sarang emas yang sangat tinggi nilainya. Ini merupakan tradisi puak Gurung yang dilakukan oleh beberapa generasi yang dipercayai telah berlangsung sejak 8,000 sebelum masihi. 

pemburu madu sanggup bergadai nyawa demi untuk mendapatkan hasil

Lebah yang menghuni pegunungan Himalaya adalah lebah jenis Apis Dorsata Laboriosa yang merupakan lebah madu terbesar di dunia. Ukuran badan lebah itu adalah kira-kira tiga sentimeter panjang. Kebanyakan sarang lebah ini dibina di tebing curam pada ketinggian antara 2,000 hingga 3,200 meter. Saiz sarang lebah pula sangat besar, di mana setiap sarang boleh mencapai diameter 150cm iaitu saiz sebesar meja kopi yang di dalamnya  mengandungi sekitar 60 kg madu.

pemburu sedang mematahkan sarang lebah untuk mendapatkan madu

Sebelum memulakan aktiviti mendapatkan madu, puak Garung terlebih dahulu akan mengikuti tradisi dengan mempersembahkan bunga,buah dan beras kepada nenek moyang mereka sambil berdoa. Setelah selesai upacara tersebut, api akan dinyalakan untuk membakar daun-daun kering bagi tujuan mengusir lebah dari sarangnya. Apabila lebah diusir dari sarang tersebut maka bermulalah saat untuk mendapatkan madu.

Para pemburu akan segera menuruni tebing gunung yang curam itu menggunakan tali yang dihasilkan oleh mereka sendiri. Mereka berjuntai pada ketinggian 50 meter di udara bersamaan dengan bangunan berketinggian 12 tingkat tanpa memakai sebarang alat keselamatan.

mengambil madu asli dengan menggunakan peralatan yang dipanggil tangos

Bergayut dengan tali pada ketinggian itu adalah sesuatu yang membahayakan, namun mereka mulai menuai madu dengan berpaut pada tali lalu menjolok sarang lebah dengan menggunakan tangos (sejenis alat yang terdiri daripada dua batang buluh). Setelah berjaya mematahkan sarang lebah tersebut, pemburu lebah akan menolak secara perlahan-lahan bakul khas bagi tujuan mengumpul hasil tuaian yang tergantung di sebelahnya. 

membawa turun madu dengan menggunakan bakul

Proses ini sangat sukar untuk dilakukan kerana pemburu perlu mengimbangi bakul sambil berpaut pada tali. Jika mereka tidak berhati-hati, mereka bukan sahaja berkemungkinan untuk disengat lebah malah, mereka boleh terjatuh ke bawah disebabkan tiada sebarang alat keselamatan. Pemburu ini sangat berani dalam meneruskan amalan mengambil madu yang ekstrem dan unik ini.

madu segar yang diturunkan dengan menggunakan bakul

Sifat yang terdapat pada madu Himalaya adalah sangat unik dan berbeza pada madu biasa. Ini kerana ia mengandungi bahan psychedelic iaitu sejenis dadah psiko aktif yang mana boleh membuat seseorang itu berhalusinasi jika mengambil di dalam dos yang berlebihan.

Jika diambil pada dos yang kecil, ia terbukti mampu merawat pelbagai jenis penyakit yang terdapat dalam tubuh badan seseorang. Madu Himalaya menjadi permintaan ramai, malah ia dipasarkan ke rantau Asia yang lain termasuk dari Jepun,Korea dan China. Harga madu ini lebih mahal berbanding harga biasa dan harganya mencecah RM150 sekilogram. 

pemburu madu memakan madu segar di pergunungan himalaya

Anda boleh tonton dokumentari mengenai pemburu madu Himalaya di bawah ini.




Hakcipta iluminasi.com (2017)