Di kaki gunung di kawasan pergunungan Altai, kaum Kazakh dilihat sedang melakukan aktiviti memburu. Tidak seperti kebanyakan orang di barat, kaum Kazakh tidak bergantung kepada senjata api dalam usaha mendapatkan hasil buruan. Ini kerana mereka menggunakan burung helang sebagai senjata memburu.

Sekumpulan pemburu Kazakh bersama helang mereka menunggang kuda di Sungai Hovd berdekatan bandar Ulgii

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengimbas kembali sejarah sejak dari kurun ke-15, kaum pemburu separa nomad yang juga dikenali sebagai Burkitshi dalam bahasa Kyrgyz ini menggunakan burung pemangsa iaitu Helang Emas atau dikenali dengan panggilan Berkut sebagai senjata bagi membantu mereka memburu musang dan juga arnab di kawasan barat Mongolia.

Tambahan pula, Genghis Khan yang digeruni suatu masa dahulu dipercayai mempunyai lebih daripada 5000 orang "Penunggang Helang" di kalangan pengawal peribadinya. Satu pepatah Mongolia berbunyi "Kuda terbaik dan helang yang tangkas adalah umpama sayap kepada Kazakh".

pemburu kazakh bersama helangnya

Seorang Burkitshi bersama helang pemburunya

Akan tetapi, sesetengah orang berpendapat bahawa kaum Kazakh kini sudah tidak lagi sehebat dahulu. Sepanjang beberapa dekat kebelakangan ini, ekonomi global dilihat telah melemahkan tradisi yang diteruskan untuk sekian lama ini. Para pemuda yang dilihat sebagai pewaris kepada tradisi ini lebih cenderung untuk berhijrah dan bekerja di bandar.

Kini, hanya kira-kira 250 orang Burkitshi sahaja yang dianggarkan masih beroperasi di barat Mongolia, walaupun sesetengah andaian mengatakan ia adalah serendah 50 hingga 60 orang sahaja yang masih tinggal.

pemburu helang emas tiba di festival 600

Sekumpulan pemburu yang baru tiba di Festival Helang Emas

Walaupun globalisasi dan kemodenan menjadi penyebab utama kepada kemunduran tradisi pemburuan ini, masih ada sesetengah daripada kaum Kazakh yang masih percaya dan menekankan betapa pentingnya bagi mereka untuk memelihara tradisi nenek moyang mereka ini.

Seorang juru gambar terkemuka iaitu Wolfgang Kaehler melihat sendiri bagaimana tradisi memburu menggunakan helang pada Festival Helang Emas yang diadakan setiap tahun. Kaehler memberitahu bahawa sebahagian daripada kaum Kazakh ini berusaha untuk menjaga kepentingan tradisi ini.

pertandingan helang yang diadakan

Pemburu memberikan arahan kepada helangnya

Setiap bulan Oktober, para pemburu akan bertemu sesama sendiri serta menganjurkan keraian dan ia semakin mendapat sambutan dan meningkat popular semula di kalangan penduduk tempatan.

Sesetengah daripada gambar yang diambil oleh Kaehler pada keraian tahun lepas menunjukkan beberapa tradisi Kazakh yang masih diteruskan selama beberapa dekad. Antaranya ialah pemakaian baju tradisional, kemahiran menunggang kuda dan juga memburu menggunakan helang.

juri festival helang emas

Pada Juri yang mengadili pertandingan yang diadakan

Kaehler juga mengatakan bahawa keinginan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup budaya nenek moyang mereka ini bukanlah disebabkan untuk menarik perhatian para pengunjung semata-mata. Ia adalah sebagai keraian untuk kaum Kazakh itu sendiri. Tambahan pula, di kawasan itu tidak banyak infrastruktur untuk pelancong yang disediakan.

Kaehler juga berkongsikan pengalamannya sebagai salah seorang pengunjung Festival Helang Emas ini. Dia tinggal di kawasan perkhemahan berdekatan selama lima malam tanpa kemudahan air paip atau tandas. Malah, ada rakan-rakan sekerjanya yang memilih untuk tinggal di hotel yang agak jauh kerana tidak sanggup bertahan dalam keadaan serba kekurangan itu.

pertunjukan kyr khuar

Pertunjukan Kyr Khuar di mana si gadis akan mengejar si lelaki. Sekiranya berjaya si gadis akan memukul belakang si lelaki

Baginya, sesiapa yang menghadiri festival ini dapat melihat sendiri bagaimana kawasan, budaya dan tradisi yang sama seperti asal masih dilakukan sejak dari dahulu tanpa sebarang kemodenan atau penambahan yang boleh mencacatkan keasliannya.

Kaehler berkata ia adalah suatu pengalaman yang amat menakjubkan. Anda dapat lihat sendiri bagaimana para pemburu ini melatih burung helang mereka sejak haiwan itu masih kecil sehingga menjadi besar dan kuat. Terdapat beberapa acara yang diadakan sepanjang Festival Helang Emas ini berlangsung.

pertandingan kukhbar

Pertandingan Kukhbar di mana peserta akan bersaing bagi merebut kulit kambing dengan menunggang kuda

Ada beberapa kategori pertandingan helang pemburu yang diadakan. Antaranya ialah helang pemburu ini akan dilepaskan dari atas bukit dan perlu mendarat pada tangan tuan mereka yang menunggu di bawah. Disebabkan batas masa yang ditetapkan, pelbagai cara yang digunakan oleh tuan haiwan ini supaya helang mereka dapat mendarat dengan seberapa pantas yang boleh.

Kaehler memberitahu lagi, dalam satu kategori pertandingan lagi, helang-helang ini perlu mendarat di beberapa kawasan yang ditanda, di mana tuan mereka akan meletakkan umpan sebagai tanda. Bukan sahaja pertandingan kehebatan memburu yang diadakan, malah terdapat juga acara di mana helang dilepaskan untuk dibebaskan.

Pemburu akan melepaskan semula helang-helang mereka setelah tamat berkhidmat ke habitat liar agar ia dapat menjalani kehidupan yang normal. Tidak seperti haiwan belaan lain yang jinak dan sukar berdikari di habitat asal, helang-helang yang telah dilatih untuk memburu ini sememangnya bersedia untuk bertahan hidup apabila dilepaskan kelak.

gadis pemenang pertandingan helang pemburu

Gadis yang pernah memenangi pertandingan di Festival Helang Emas

Kaehler mempunyai harapan yang tinggi bahawa festival yang diadakan ini berupaya untuk memelihara tradisi yang hampir pupus ini dan menjadikannya lebih inklusif. Walaupun memburu menggunakan helang ini secara tradisinya diwariskan kepada anak-anak lelaki, sejak beberapa tahun kebelakangan ini tradisi ini berjaya menarik minat wanita.

seorang gadis melepaskan helangnya

Pada Festival Helang Emas yang diadakan beberapa tahun yang lepas, seorang gadis telah memenangi salah satu kategori yang dipertandingkan. Kaehler berharap agar populariti festival yang semakin meningkat tidak akan memberikan kesan atau perubahan kepada tradisi asal yang diturunkan dari generasi ke generasi ini.

seorang pelancong bergambar bersama helang dan pemburu

Seorang pelancong mengambil peluang bergambar bersama Burkitshi dan helangnya

Kaehler menganggap lawatan ke festival ini adalah lawatan terbaiknya dalam tempoh 20 tahun. Walaupun dia mahu lebih ramai orang hadir menyaksikan keunikan budaya Karzakh ini, namun dia tidak mahu festival menjadi terlalu komersial.

Sudah ramai pemandu pelancong yang menjadikan rezeki mereka dengan membawa pelancong dari luar sepertinya untuk datang ke festival ini dan lebih ramai lagi akan muncul pada masa akan datang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)