Sambutan Aidilfitri merupakan sebuah ritual Islam yang diamalkan masyarakat Muslim, namun pengaruh budaya dan tradisi masyarakat setempat turut sama mempelbagaikan kaedah sambutannya.

Kita di Malaysia, Indonesia, Brunei, selatan Thailand dan Singapura mungkin mengamalkan corak sambutan yang tidak banyak bezanya, tetapi pernahkah anda terfikir bagaimana agaknya masyarakat Muslim lain di seluruh dunia meraikan Aidilfitri? 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 tradisi Aidilfitri yang berbeza, unik dan cukup menarik untuk kami kongsikan sempena hari bahagia ini. 

1. Tokhm-Jangi di Afghanistan

masyarakat afghanistan laga telur

Di Afghanistan, asas sambutan Aidilfitri mereka tidak ada banyak bezanya berbanding dengan kita. 

Apa yang unik, wujud satu permainan masyarakat yang dinamakan thokhm-jangi atau 'laga telur', yang biasanya dimainkan kanak-kanak lelaki dengan yang kalah perlu membayar pemenang.

Apabila tiba Aidilfitri, golongan lelaki dewasa akan mula menyertainya juga dengan syarat sama.

Keluarga akan merebus telur dalam jumlah banyak, mewarnakannya dengan 7 warna. Orang lelaki pula akan bertemu di kawasan lapang untuk beradu telur masing-masing untuk cuba memenangi pertarungan. 

Bila kami sebut telur, kami maksudkan telur ayam ya. Jangan pula ada yang salah faham.

2. Seker Bayrami di Turki

aidilfitri di turki

Ada dua perbezaan yang ketara di antara sambutan masyarakat Turki dengan kita; mereka meraikan setiap 1 Syawal yang terkenal dengan gelaran 'seker bayrami' atau festival manisan, menandakan berakhirnya Ramadan.

3 hari pertama dalam bulan Syawal, masyarakat Turki akan makan seberapa banyak manisan yang dihasilkan sanak-saudara mereka. Kanak-kanak yang berkunjung ke rumah-rumah jiran juga akan dibekalkan dengan gula-gula dan manisan yang disediakan tuan rumah.

Perbezaan kedua yang agak aneh - 1 Syawal juga menjadi hari di mana masyarakat Turki akan berkunjung ke kawasan pantai untuk bersantai dan berehat. Ada juga yang menggunakan kesempatan ini untuk memancing.

Situasi ini dapat dilihat khasnya di bandar besar seperti Istanbul setiap kali tiba bulan Syawal.

3. Chaand Raat di India

chaand raat sambutan aidilfitri india

Kita di Malaysia biasanya menunggu di depan kaca TV untuk mendengarkan pengumuman tarikh jatuhnya sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh penyimpan mohor besar Raja-Raja.

Bagi masyarakat Muslim di India dan Pakistan, ramai orang akan berhimpun di kawasan yang telah ditetapkan bagi menunggu sendiri pengesahan tibanya bulan Syawal.

Dinamakan 'chaand raat' atau 'malam bulan purnama', tradisi ini diraikan secara besar-besaran.

Bila ramai-ramai dah berkumpul tu, peniaga dan kompleks beli-belah juga turut tidak melepaskan peluang untuk menambah pendapatan - membuka perniagaan mereka sehingga ke pagi buta dan pengunjung yang masih dalam mood raya, tak segan-segan untuk berbelanja.

4. Uraza Bayram di Dagestan

orang dagestan russia

Tatacara sambutan Aidilfitri di kalangan masyarakat di Islam di Russia dan Ukraine, dikenali sebagai 'uraza bayram' tidak banyak berbeza dengan kita.

Kecuali di Dagestan.

Dagestan sebuah republik dengan kuasa autonomi dalam Persekutuan Russia, turut mempunyai tradisi agak mirip dengan apa yang turut diamalkan di Afghanistan yang bercirikan telur. Bezanya mereka menghiasnya.

Salah satu hidangan wajib ada setiap kali tibanya Aidilfitri di Dagestan adalah telur rebus yang diwarnakan dan juga dihiasi dengan corak atau motif menarik menggunakan pelekat. 

Berbeza dengan kanak-kanak di Malaysia yang berkunjung ke sana ke mari untuk mengumpul duit raya, kanak-kanak di Dagestan juga akan berlumba-lumba mengumpulkan manisan dan juga gula-gula. 

5. Beraya di sekitar bandar Giza

zoo giza mesir hari raya

Berkunjung ke rumah sanak-saudara merupakan antara tarikan utama sambutan hari raya di Malaysia.

Bagi sebahagian besar masyarakat di Mesir, sambutan Hari Raya Aidilfitri menjadi hari terbaik untuk mereka sama-sama meluangkan masa melawat tempat-tempat menarik di sekeliling mereka.

Di bandar Giza sebagai contoh, lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai adalah Zoo Giza, Taman Fustat dan juga Jambatan Gantung Tahya Misr, jambatan gantung paling lebar di dunia.

Tahun ini Zoo Giza dibuka secara percuma kepada semua pengunjung.

Selepas mengerjakan solat sunat Aidilfitri, bertemu sanak-saudara seterusnya menikmati juadah yang disediakan; orang Mesir akan bersiap-siap untuk keluar sambil memakai pakaian terbaik mereka hari itu, berkunjung ke lokasi-lokasi menarik yang kami sebutkan di atas.

Jadi sekiranya anda ada di Giza, janganlah terkejut pula ketika tiba sambutan hari raya Aidilfitri - ramai orang Mesir akan melepak beramai-ramai di atas jambatan, khasnya golongan muda bersosial dan bergembira menyambut hari lebaran.

Mungkin mereka tak mahu ikut mak ayah keluar berjalan-jalan. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)