Kita sering terdengar atau membaca mana-mana terbitan yang menceritakan tentang beberapa undang-undang unik dan pelik di seluruh dunia. Namun, tahukah anda di negara kita juga terdapat beberapa undang-undang pelik dan dianggap unik ini? Berikut adalah beberapa daripadanya yang ingin kami kongsikan bersama anda.

1. Menunggang gajah atau haiwan lain di jalan awam

BESARKAN TEKS     A-  A+

menaiki gajah

Sesiapa yang didapati memimpin atau menunggang kuda, lembu, kambing atau khinzir di mana-mana jalan awam dengan cara tidak terkawal yang boleh menyebabkan bahaya atau menghalang trafik yang sedang bergerak didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Manakala bagi mereka yang memimpin atau menunggang gajah di jalan awam tanpa kebenaran Ketua Pegawai Polis pula didapati melakukan kesalahan dalam Seksyen 11(b) dalam akta yang sama. Sekiranya didapati bersalah pelaku akan didenda maksimum RM50.

Pastikan anda tahu mengenai peraturan ini sebelum anda membela mana-mana haiwan yang disebutkan di atas.

2. Menyanyikan lagu berunsur lucah di tempat awam

despacito

Berkelakuan lucah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan manakala menyanyikan, membaca atau berkata-kata apa-apa nyanyian, balada, atau kata-kata lucah di khalayak umum pula adalah kesalahan di bawah Seksyen 294(b) Kanun Keseksaan.

Sekysen 294(b) Kanun Keseksaan menyatakan di sini, menyanyikan lagu lucah adalah sama seperti melakukan aksi lucah di depan khayalak umum. Jika dilaporkan dan didapati bersalah, anda boleh dipenjara selama 3 bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.i

Walaupun sangat jarang kita dengar ada orang yang disabitkan melakukan kesalahan ini, namun anda perlulah beringat untuk menyanyikan lagu seperti Despacito yang telah diharamkan oleh stesen radio ini di tempat awam.

3. Bermain dram di luar pada waktu malam

bermain dram di kuala lumpur

Dari jam 12 malam hingga jam 6 pagi, sesiapa yang memukul dram atau tom-tom, meniup hon atau trompet di mana-mana jalan awam, tempat awam, bandar mahupun kampung yang menyebabkan gangguan kepada penghuni premis di kawasan itu, dia akan disabitkan dengan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Denda maksimum RM100 akan dikenakan jika anda didapati bersalah. Oleh sebab itu, banyak kumpulan muzik jalanan yang sering kita lihat hanya memainkan dram kotak atau cajon kerana bunyinya yang kurang kuat.

4. Mengiklankan khidmat rawatan penyakit sifilis

tidak boleh

Di bawah Akta Iklan Tidak Sopan 1953, menjadi satu kesalahan untuk mengiklankan rawatan sifilis. Sebenarnya, sebarang iklan untuk merawat penyakit kelamin dan apa-apa iklan bersifat menaikkan syahwat adalah salah.

Jadi bagi sesiapa yang didapati menampal apa-apa kertas bercetak, bertulis atau bergambar di mana-mana premis awam atau persendirian didapati bersalah melakukannya, dia boleh dipenjarakan selama tidak lebih tiga bulan atau denda tidak melebihi RM100.

5. Melontar cincin ke dalam sungai

smeagol dengan cincin

Ya, Jika anda melontarkan cincin ke dalam sungai, anda mungkin akan dihukum kerana melakukan kesalahan merosakkan di bawah Seksyen 425 Kanun Keseksaan. Namun, perlu diperhatikan bahawa contoh yang dinyatakan ini hanyalah dikuatkuasakan sekiranya cincin itu milik orang lain dan dilakukan dengan niat menyebabkan kerugian.

Sekiranya anda bercadang untuk bergurau dengan membaling cincin rakan anda ke dalam sungai, maka anda boleh menghadapi masalah sekiranya rakan anda membuat laporan mengenainya.

6. Meninggalkan atau meletakkan mayat di kawasan awam

mayat dalam peti sejuk

Sesiapa yang meninggalkan atau meletakkan orang yang hampir mati atau mayat di kawasan awam atau persedirian tanpa pengetahuan pemilik premis, boleh disabitkan dengan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Jika disabitkan dengan kesalahan, anda boleh dihukum penjara sehingga 6 bulan atau denda RM250, atau kedua-duanya sekali.

7. Mabuk di kawasan awam

mabuk di zouk

Di Malaysia, anda boleh didapati bersalah sekiranya berkelakuan mabuk atau tidak dapat mengawal diri sendiri di kawasan awam. Jika disabitkan bersalah anda boleh didenda RM100 atau dipenjarakan di bawah Seksyen 21 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Walaupun begitu, pemandangan sebegini adalah biasa di bandar-bandar besar terutamanya pada waktu malam minggu.

8. Mandi atau memandikan anjing di kawasan awam

mandi di kawasan awam

Di Malaysia sememangnya terkenal dengan gangguan bekalan air, namun sekiranya ia berlaku, berhati-hati di mana anda memilih untuk mandi. Ini kerana mandi atau memandikan haiwan di kawasan awam seperti tangki awam, takungan atau paip air awam, saluran air atau sungai adalah dilarang oleh Ketua Pegawai Polis atau mana-mana pihak berkuasa yang sah.

Anda akan didapati bersalah di bawah Seksyen 15(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 sekiranya melakukannya dan boleh didenda sehingga RM100 maksimum.

9. Bikini diharamkan di Kelantan dan Terengganu

pengharaman bikini

Sekiranya anda ingin mengunjungi pantai yang cantik di Kelantan dan Terengganu, anda dinasihatkan untuk tidak mengenakan pakaian renang bikini di sana. Ini kerana bikini telah diharamkan di kedua-dua negeri Pantai Timur ini yang melaksanakan Undang-undang Syariah lebih praktikal dari mana-mana negeri lain di Malaysia.

Jika disabitkan bersalah, anda boleh didakwa di bawah Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan boleh dipenjarakan sehingga 3 bulan, didenda atau kedua-duanya sekali.

10. Menamakan anak anda sempena nama buah

gambar buah buahan

Sekiranya anda ingin menamakan anak anda seperti Chris Martin iaitu penyanyi Coldplay yang memberi nama anak sulungnya Apple, ia tidak boleh dilakukan di Malaysia.

Ini kerana pada tahun 2006, Jabatan Pendaftaran Negara telah menyekat bayi tidak lagi dibolehkan diberi nama sempena nama buah, sayur, warna, serangga, haiwan, hantu, nombor ataupun jenama kenderaan.

11. Menerima makanan atau minuman sebelum atau selepas mengundi

bagi makanan

Adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, sekiranya anda menerima sebarang makanan, minuman atau snek sebelum, semasa atau selepas anda membuang undi.

Sekiranya anda didapati bersalah melakukannya maka anda boleh dipenjarakan sehingga 2 tahun atau denda sehingga RM5000 ringgit atau digantung hak anda untuk mengundi selama hingga 5 tahun.

Banyak lagi undang-undang di Malaysia yang unik dan kita tidak ketahui. Walaupun begitu ramai yang sering melanggarnya seperti meludah di kawasan awam, memaki orang lain atau menunjukkan isyarat lucah dan pelbagai perkara lagi.




Hakcipta iluminasi.com (2017)