Oleh pada 21 May 2018 kategori

Kebanyakan orang menganggap bahawa tamadun Mesir Purba adalah tamadun tertua di dunia. Namun, kenyataan ini adalah salah sama sekali kerana dalam kalangan tamadun purba, tamadun Mesir boleh dikatakan antara tamadun yang agak baharu berbanding beberapa tamadun lain dalam senarai di bawah. 

10. Tamadun Rom Purba (753 BC - 476 AD)

tamadun rom purba

BESARKAN TEKS     A-  A+

Rom Purba adalah sebuah tamadun Italic yang mendapat namanya daripada pengasasnya iaitu Romulus. Pada kemuncak kekuasaannya antara kurun pertama dan kedua, Rom adalah antara empayar terbesar di antara dunia purba, dengan sebanyak 50 hingga 90 juta rakyat di bawah pemerintahannya, bersamaan dengan 20 peratus populasi dunia pada ketika itu. Kejatuhan tamadun Rom bermula pada tahun 476 AD apabila suku kaum Germanic menggulingkan Maharaja Rom. 

9. Tamadun Olmec (1500 - 400 BC)

tamadun olmec

Antara salah sebuah tamadun Mesoamerika yang agung, tamadun Olmec bermula kira-kira 3000 tahun lalu di kawasan pesisiran pantai di Teluk Mexico. Diingati kerana seninya, tamadun ini meninggalkan pelbagai artifak, termasuklah jed, obsidian, magnetit, dan ukiran kepala yang diperbuat daripada batu. Kejatuhan tamadun ini pada sekitar 400 BC berlaku disebabkan perubahan cuaca yang mengakibatkan kemarau yang berpanjangan, yang seterusnya menghancurkan aktiviti berasaskan pertanian dan menyebabkan masyarakatnya mati kelaparan. 

8. Tamadun Tiwanaku (1500 BC - 1200 AD)

tamadun tiwanaku

Tamadun Tiwanaku terletak di kawasan tanah tinggi Andean, Bolivia. Antara peninggalan tamadun ini termasuklah Piramid Akapana, sebuah infrastruktur kuno yang tertua di Amerika Utara, dibina ketika zaman kemuncak tamadun Tiwanaku. Menjadi perintis kepada Empayar Inca, tamadun ini wujud selama lebih 2700 tahun, 3 kali ganda tempoh kewujudan Empayar Roman. 

7. Tamadun China Purba (1700 BC - 1912 AD)

tamadun china purba

Rekod bertulis pertama daripada salah satu tamadun paling tua di dunia adalah daripada Dinasti Shang, yang berjaya menyatukan sebahagian besar kerajaan di utara tengah China. Namun, hanya sekitar 221 BC China berjaya disatukan di bawah sebuah kuasa pusat, di bawah pemerintah pertamanya, iaitu Maharaja Qin Shi Huang. Baginda mengasaskan Dinasti Qin (221 - 207 BC), dan membina sebahagian Tembok Besar China bagi mengelakkan serangan daripada kaum Mongol di utara kerajaan berkenaan. 

6. Tamadun Minoan (3500 - 1100 BC)

tamadun minoan

Kira-kira 5000 tahun lalu, Pulau Crete yang terletak di timur Mediterranean, adalah merupakan lokasi tamadun Eropah yang pertama, iaitu Tamadun Minoan yang dinamakan sempena maharaja mereka, iaitu Minos. Sekitar 2000 BC, di puncak ketamadunan, empayar Minoan berjaya membina beberapa istana, jalan berturap serta sistem kumbahan tersendiri. Bagaimana sebuah tamadun dari zaman gangsa yang suatu ketika dahulu aman makmur ini boleh hilang? Ramai pakar percaya tsunami adalah puncanya, memberi inspirasi kepada kewujudan Lagenda Atlantis (kerajaan bawah laut).

5. Tamadun Mesir Purba (3150 - 332 BC)

tamadun mesir purba

Permulaan dinasti tamadun Mesir Purba dikatakan bermula apabila manusia mula mendiami kawasan di sekitar Sungai Nil bagi melakukan aktiviti bercucuk tanam. Penempatan ini terbahagi kepada Lower Kingdom dan Upper Kingdom, sehinggalah pada tahun sekitar 3150 BC, Firaun Menes (Narmer) berjaya menyatukan kedua kerajaan ini dan menubuhkan ibu negeri pemerintahan diraja di Memphis. Penyatuan ini bertahan selama beribu tahun, sehinggalah tahun 332 BC apabila Alexander the Great dari empayar Macedonia menakluki kerajaan tersebut. 

4. Tamadun Mesopotamia (5300 - 539 BC)

tamadun mesopotamia

Tamadun Mesopotamia bermula di sebuah kawasan yang hari ini kita kenali sebagai Iraq, sekitar 7000 tahun lalu, yang turut menyaksikan kebangkitan beberapa empayar agung, termasuklah Empayar Sumeria dan Empayar Akkadia. Empayar Sumeria adalah kerajaan yang bertanggungjawab membina tamadun Babylon, manakala Empayar Akkadia pula membina tamadun Assyria. 

Pengaruh tamadun Mesopotamia kepada dunia moden adalah sangat besar, dan dapat dirasai sehingga hari ini. Antaranya adalah teknik penulisan pertama yang diperkenalkan, iaitu kuneiform, dan penciptaan roda pada 3500 BC. Tamadun agung ini akhirnya jatuh pada tahun 539 BC selepas ditakluki oleh Empayar Achaemenid.

3. Tamadun Mehrgarh (7000 - 2600 BC)

tamadun mehrgarh

Tapak arkaeologi Mehrgarh terletak di Kacchi Plain barat tengah Pakistan, di kawasan kaki pergunungan Hindu Kush. Sejarah tapak ini bermula sekitar 9000 tahun lalu, dan dipercayai merupakan lokasi bermulanya Tamadun Lembah Indus (Harappan) pada awal era Neolitik, namun ditinggalkan sekitar 2600 BC apabila penduduknya mula berpindah ke beberapa kawasan lain yang lebih maju. 

2. Tamadun Çatalhöyük (7500 - 5600 BC)

tamadun atalh y k

Terletak di Konya, Turki, Çatalhöyük adalah sebuah tapak arkaeologi yang dahulunya merupakan bandar pertanian pertama di dunia. Selepas menemui bidang pertanian, manusia mula berkumpul di kawasan berkenaan, dan ketika zaman kemuncaknya sekitar tahun 7,000 BC, seramai 9,000 orang mendiami kawasan tersebut. Tidak diketahui apa yang terjadi terhadap masyarakat yang hidup pada zaman itu, atau sebab mengapa kawasan berkenaan ditinggalkan. Buat masa ini, tiada apa-apa bukti yang dapat menentukan apa yang sebenarnya terjadi kepada tamadun tersebut. 

1. Tamadun Göbekli Tepe (10,000 - 8000 BC)

tamadun g bekli tepe

Sekiranya anda melancong ke puncak tertinggi di kawasan pergunungan Turki di Gunung Germus, anda akan menemui tapak arkaeologi tamadun pertama di muka bumi, iaitu Göbekli Tepe. Dibina sekitar 12,000 tahun lalu, struktur ini mendahului Piramid Giza selama 7,000 tahun dan Stonehenge selama 6,000 tahun, meletakkannya dalam era pra-tembikar zaman Neolitik. Apakah tujuan struktur ini dibina? Siapa yang mendiaminya? Mengapa ianya ditinggalkan? Ini adalah antara persoalan yang kerap kali ditimbulkan apabila berbicara tentang Göbekli Tepe. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. ancienthistorylists.com
  2. quora.com
  3. oldest.org
  4. historylists.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)