Terdapat banyak ketamadunan dan empayar purba yang pernah dicatatkan dalam sejarah. Tamadun atau ketamadunan itu merujuk kepada masyarakat yang kompleks. Ia dicirikan oleh pembangunan bandar, susun lapis masyarakat, sistem simbolik komunikasi (contohnya sistem penulisan) dan pelbagai lagi kemajuan lain.
Namun, penubuhan tamadun-tamadun hebat ini kebanyakannya berkait rapat dengan peperangan dan penaklukan. Beberapa tamadun hebat ini digeruni oleh pihak lawan kerana kekejaman, kekuatan ketenteraan dan perang psikologi mereka. Berikut adalah senarai tamadun yang paling digeruni dalam sejarah.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Empayar Celtic
Empayar Celtic adalah ketamadunan banyak tersebar di seluruh Eropah terutamanya di Britain, Ireland, Sepanyol dan Perancis. Tamadun ini dianggarkan mula berkembang sekitar tahun 1200 SM.
Masyarakat Celtic mempunyai reputasi besar sebagai pahlawan yang digeruni dan terkenal kerana sering memenggal kepala musuh yang dikalahkan.
Mereka juga dikenali sebagai pahlawan yang sering bertempur dalam keadaan telanjang bulat, dipercayai untuk mengejutkan pihak musuh. Pahlawan Celtic akan menggunakan pedang panjang mereka untuk memenggal kepala musuh yang dikalahkan.
Ini kerana masyarakat Celtic menganggap bahawa kepala adalah roh bagi seseorang itu. Menyimpan kepala musuh di rumah mereka sama seperti pemburu haiwan menyimpan kepala haiwan buruan mereka sebagai piala.
Kepala musuh berpangkat tinggi akan disimpan di dalam peti dengan baik di rumah mereka. Mereka akan menunjukkan 'piala' mereka dengan bangga dan menceritakan kejayaan mereka pada tetamu yang hadir.
2. Ketamadunan Maori
Kaum Maori dipercayai merupakan penduduk asal yang pertama di New Zealand, beberapa abad sebelum kedatangan orang Eropah. Mereka dikenali kerana mengamalkan kanibalisme semasa peperangan.
Pada bulan Oktober 1809, sebuah kapal tahanan Eropah telah diserang oleh sekumpulan besar pahlawan Maori. Mereka menyerang kapal itu kerana ingin membalas dendam ke atas penganiayaan yang dilakukan penjajah Eropah terhadap anak lelaki penghulu mereka.
Pahlawan Maori telah membunuh hampir kesemua 66 orang yang berada di atas kapal. Mayat dan mangsa yang masih hidup kemudiannya dibawa menaiki perahu dan kembali ke pantai untuk dijadikan makanan.
Beberapa orang telah terselamat kerana bersembunyi di beberapa bahagian kapal yang diserang itu. Akan tetapi, mereka sangat terkejut apabila melihat dari jauh kaum Maori memakan rakan-rakan mereka yang lain sepanjang malam dan juga pada keesokan harinya.
3. Puak Apache
Puak Apache adalah puak nomad yang mendiami sebahagian besar kawasan di Amerika Syarikat. Puak ini juga terkenal kerana kehebatannya pahlawannya yang dianggap sebagai 'Ninja' versi Amerika.
Pahlawan Apache boleh menyelinap di belakang musuh dengan senyap dan mengelar leher mereka tanpa disedari. Mereka menggunakan senjata primitif yang kebanyakannya diperbuat daripada kayu dan tulang.
Selain itu, pahlawan Apache juga terkenal kerana kehebatan mereka dalam menggunakan pisau dan juga kapak tomahawk. Mereka digeruni di kawasan Barat Daya Amerika Syarikat suatu masa dahulu sehingga pihak tentera juga menghadapi kesukaran untuk menangani mereka.
Teknik berlawan yang sering digunakan oleh puak ini adalah 'pukul dan lari' dengan kepantasan yang sukar diduga. Pada zaman moden, teknik pertempuran jarak dekat puak Apache ini banyak diajarkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.
4. Empayar Viking
Suatu masa dahulu, Viking sememangnya ditakuti di kalangan penduduk Eropah. Mereka digeruni kerana sering melanun dan menjarah penempatan dan perkampungan penduduk lain.
Mereka juga dikenali sebagai pahlawan yang ganas dalam pertempuran dan menggunakan senjata yang menakutkan. Selain bengis, pahlawan Viking kebanyakannya bertubuh besar dan sering menggunakan kapak, pedang panjang dan tombak ketika bertempur.
Sejarah mencatatkan banyak kota dan perkampungan di Eropah yang telah dirompak atau dijarah oleh puak Viking ini. Viking yang sebahagian besarnya berasal dari negara-negara Scandinavia juga dikenali sebagai pelaut yang mahir.
Selain itu, agama Viking juga berkait rapat dengan peperangan. Mereka percaya sekiranya mati di medan pertempuran, roh mereka akan dipilih oleh tuhan mereka Odin untuk masuk ke syurga yang mereka gelar sebagai Valhalla.
Oleh kerana kepercayaan itu, Viking merupakan tentera yang menggerunkan di medan perang dan akan cuba memusnahkan sesiapa sahaja yang berada di laluan mereka.
5. Empayar Rom
Walaupun Rom mungkin empayar yang terbesar dan antara empayar paling bertamadun, namun mereka juga merupakan salah satu tamadun yang digeruni kerana kekejaman yang dilakukan.
Malah, beberapa orang yang pemerintah paling kejam dalam sejarah juga adalah berbangsa Yunani seperti Maharaja Caligula, Nero, Tiberius, Domitian dan ramai lagi.
Para penjenayah, hamba abdi dan tawanan perang dipaksa bertarung antara satu sama lain sehingga mati dalam pertandingan Gladiator semasa pemerintahan empayar Rom.
Penganut Kristian merupakan mangsa kekejaman pada zaman pemerintahan Rom. Mereka telah dibunuh secara berkumpulan oleh Maharaja Nero pada tahun 64 Masihi. Ada yang digigit anjing, dibakar hidup-hidup dan pelbagai lagi cara yang mengerikan.
Pada mulanya, Empayar Rom hanya dimulakan oleh sekumpulan petani yang berganding bahu untuk menjaga keselamatan haiwan ternakan mereka daripada dimakan serigala.
Digabungkan dengan sistem ketenteraan dan pentadbiran yang sangat baik, Empayar Rom akhirnya merupakan salah satu empayar paling lama bertahan iaitu selama 2,214 tahun.
6. Empayar Mongol
Walaupun Mongol sering dianggap sebagai kaum gasar dan tidak bertamadun, namun mereka telah berjaya menguasai sebahagian daripada negara-negara Eropah dan Asia semasa zaman kegemilangannya.
Kaum Mongol yang dikenali sebagai kaum yang menunggang kuda dan dipimpin oleh seorang komandan tentera paling hebat dalam sejarah iaitu Genghis Khan. Mereka juga diketahui mempunyai disiplin yang tinggi dan merupakan pemanah berkuda yang sangat mahir.
Tentera berkuda Mongol sememangnya digeruni kerana anak panah mereka dikatakan boleh menembusi perisai. Selain itu, tentera Mongol juga mahir menggunakan tombak dan syamsir (sejenis pedang).
Mereka juga terkenal sebagai pakar dalam perang psikologi dan tektik intimidasi. Oleh kerana kehebatan yang mereka miliki, Empayar Mongol menjadi empayar kedua terbesar dalam sejarah selepas Empayar British.
Semuanya bermula apabila Temujin (kemudian dikenali sebagai Genghis Khan) bersumpah sewaktu muda bahawa dia akan membawa dunia di bawah tapak kakinya. Kini, empayar yang dibinanya merupakan empayar bersempadan yang terbesar dalam sejarah manusia.
7. Empayar Aztec
Kaum Aztec telah memulakan kerajaan berdasarkan agama pada tahun 1300-an. Pada masa inilah ritual korban manusia berada pada puncaknya. Kira-kira seramai 20,000 orang telah dibunuh setiap tahun sebagai korban kepada tuhan dan dewa-dewa.
Mengapakah ritual korban begitu sinonim dengan tamadun Aztec? Sebagai contoh, tuhan matahari yang dikenali sebagai Huitzilopochtli memerlukan korban darah setiap hari. Kaum Aztec percaya pada banyak tuhan, menjadikan jumlah korban juga begitu besar.
Ada korban yang hatinya dipotong dan dikeluarkan untuk dimakan secara mentah-mentah. Korban lain pula dilemaskan, dipenggal kepala, dibakar atau dicampakkan dari tempat tinggi bagi memenuhi keperluan ritual mereka.
Dalam satu ritual kepada dewa hujan, kanak-kanak akan dijadikan korban di beberapa lokasi. Kaum Aztec percaya tangisan dan air mata kanak-kanak itu akan menyebabkan turunnya hujan.
Bagi persembahan kepada Dewi Jagung pula, seorang gadis sunti akan diarahkan untuk menari selama 24 jam tanpa henti. Gadis itu kemudiannya dibunuh dan kulitnya akan disiat-siat. Kulit yang disiat itu akan dipakai oleh sami-sami untuk tarian selanjutnya.
Satu rekod mencatatkan, ketika berlangsungnya upacara pertabalan Raja Ahuitzotl, seramai 80,000 orang tawanan telah dibunuh untuk dipersembahkan kepada tuhan-tuhan mereka. Sebahagian mangsa juga akan dijadikan makanan dalam ritual kanibalisme.