Piramid Besar Giza mungkin antara sumbangan Tamadun Mesir yang paling dikenali sepanjang zaman. Dengan ketinggian asal setinggi 147 meter, Piramid Besar ini berdiri jauh lebih tinggi daripada monumen lain seperti Patung Liberty dan Big Ben. Dengan kecanggihan teknologi yang dimiliki ketika itu, sudah tentu mereka mampu membina dan mencipta pelbagai warisan lain.
BESARKAN TEKS A- A+
Sepanjang ribuan tahun berkembang dengan pesat, orang Mesir mungkin merupakan warga tamadun purba paling maju yang pernah diketahui dalam sejarah dunia. Banyak perkara yang mereka lakukan dulu bertukar menjadi perkara biasa bagi manusia zaman kini.
Misalnya, wanita Mesir purba gemar memakai perhiasan barangan kemas dan rambut palsu sementara golongan lelaki bergusti, berlawan pedang dan bertinju sebagai sukan manakala kanak-kanak pula bermain permainan papan, anak patung dan mainan lain. Ini membuktikan mereka merupakan antara pencipta terawal pelbagai barangan dalam dunia dan pengaruhnya masih dapat disaksikan sehingga ke hari ini.
10. Alit mata
Alat solek mata mungkin tidak sama hebat bagai ciptaan lain seperti api dan roda yang menjadi antara penemuan paling penting dalam sejarah manusia. Namun, ia adalah pelopor kepada penciptaan alat kosmetik yang menghiasi wajah wanita-wanita di seluruh dunia pada zaman kini. Sejak mula dicipta sekitar Tahun 4000 S.M., penggunaannya tidak pernah menjadi sesuatu yang ketinggalan zaman.
Bahkan, beberapa pencinta alat solek menggunakan teknik serupa dengan orang Mesir dari ribuan tahun dahulu untuk membuat celak. Mereka mencampurkan jelaga dengan mineral dipanggil galena untuk menghasilkan sejenis salap hitam yang digelar "kohl" yang masih popular pada hari ini. Selain itu, mereka juga mencampurkan mineral lain dipanggil malakit dengan galena untuk mendapatkan celak berwarna.
Bagi orang Mesir, solekan bukan saja terhad kepada kaum wanita. Golongan kelas atasan sentiasa dilihat mengenakan celak yang lebih tebal kerana ia menandakan status mereka yang tinggi. Selain itu, dipercayai solekan mata yang tebal itu dapat menyembuhkan pelbagai penyakit mata dan melindungi diri daripada terkena sihir. (Sumber)
9. Bahasa tulisan
Penggunaan lukisan untuk menyampaikan cerita bukanlah sesuatu yang baru. Lukisan-lukisan gua yang dijumpai di Perancis dan Sepanyol bertarikh sebelum Tahun 30000 S.M. lagi. Walau bagaimanapun, lukisan dan gambar tidak berkembang menjadi bahasa bertulis pertama selama beribu-ribu tahun berikutnya. Sistem tulisan hanya muncul pada zaman Tamadun Mesir dan Mesopotamia.
Orang Mesir memulakan sistem tulisan menggunakan piktogram sekitar Tahun 6000 S.M. Piktogram merupakan gambaran ringkas tentang perkataan yang ingin disampaikan, namun penggunaannya masih terhad. Lama-kelamaan, orang Mesir menambahkan elemen-elemen baru dalam sistem tulisan mereka termasuklah memasukkan karakter berbentuk seperti huruf yang mempunyai bunyinya tersendiri. Ini membolehkan mereka menulis nama sendiri dan menulis tentang idea-idea yang abstrak.
Hari ini, semua orang mengetahui bahawa orang Mesir telah mencipta "hieroglif" yang mengandungi gabungan huruf, simbol silabik dan juga ideogram iaitu gambar yang membawa makna penuh sesuatu perkataan. Penemuannya banyak dijumpai di makam-makam Mesir serta banyak tempat lain. Ia banyak menceritakan kisah peperangan, politik dan budaya yang memberikan kita lebih kefahaman tentang masyarakat Mesir pada zaman itu.
Sudah pastilah penghargaan harus diberikan kepada penemuan batu Rosetta yang membolehkan kita menterjemah tulisan ini. Penemuan batu tersebut berserta kajian sorang penyelidik Perancis bernama Jean-Francois Champollion yang berjaya menyahkod batu itu telah menamatkan misteri tulisan orang Mesir purba selama 1,500 tahun. (Sumber 1, 2, 3)
8. Lembaran papyrus
Tiada siapa yang dapat menyangkal fakta bahawa orang China telah berjaya mengubah dunia dengan penciptaan kertas sekitar tahun 140 S.M. Walau bagaimanapun, mungkin tidak ramai orang mengetahui bahawa orang Mesir purba telah mencipta sesuatu yang boleh juga digunakan sebagai kertas beribu tahun lebih awal dari orang China.
Ciptaan yang menggunakan pohon papyrus ini sangat tahan lasak dan bahagian dalamannya yang berserat membuatkan ia sesuai dijadikan lembaran untuk menulis selain digunakan untuk membuat layar, sepatu, tikar dan pelbagai lagi barangan lain. Selepas lembaran dihasilkan, ia sering dijadikan skrol yang diisi dengan teks-teks keagamaan, kesusasteraan dan juga muzik.
Orang Mesir purba menyimpan rahsia pembuatan lembaran papyrus ini dan ia sentiasa dikawal dengan begitu rapi. Ini membolehkan mereka memperdagangkan produk tersebut di seluruh wilayah berhampiran. Disebabkan proses itu tidak pernah didokumenkan, tiada siapa yang mengetahui rahsia orang Mesir purba ini sehinggalah tahun 1965 apabila Dr. Hassan Ragab akhirnya mengetahui kaedah untuk menghasilkannya. (Sumber 1, 2)
7. Kalendar
Mungkin ramai orang agak sukar mengingati tarikh-tarikh janji temu atau mesyuarat tanpa melihat kalendar. Namun, ketika zaman Mesir purba, kalendar digunakan untuk mengetahui perbezaan antara musim menjamu selera atau musim kebuluran. Tanpa kalendar, masyarakat Mesir tidak boleh mengetahui bilakah banjir tahunan Sungai Nil akan bermula dan tanpa pengetahuan tersebut, keseluruhan sistem pertanian mereka boleh terjejas. Jadi, dari sinilah bermulanya sejarah penciptaan kalendar.
Kalendar Mesir purba berkait rapat dengan bidang pertanian jadi ia dibahagikan kepada tiga musim utama iaitu pembanjiran, bercucuk tanam dan menuai. Setiap musim mempunyai empat bulan dan setiap bulan dibahagikan kepada 30 hari. Jadi, terdapat sebanyak 360 hari dalam tahun orang Mesir purba - kurang lima hari daripada tahun sebenar. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai hari "epagomenal" sebanyak lima hari antara musim menuai dan musim banjir. Ia dikhaskan untuk menyambut cuti keagamaan bagi menghormati anak-anak dewa. (Sumber 1, 2)
6. Bajak
Walaupun para sejarawan tidak dapat benar-benar memastikan dari mana bajak ini berasal, namun banyak penemuan bukti mengatakan orang Mesir dan Sumeria merupakan masyarakat pertama yang menggunakannya sekitar Tahun 4000 S.M. Bajak ketika itu jelas dibina dengan alatan tangan yang diubah suai. Ia begitu ringan dan tidak efektif sehinggakan kini ia hanya dikenali sebagai 'bajak kais-kais' kerana tidak mampu mengorek tanah dengan dalam.
Tambahan lagi, bajak tersebut memerlukan kerahan tenaga yang ramai untuk digunakan. Lukisan-lukisan dinding yang ditemui menunjukkan lakaran seramai empat orang lelaki bersama-sama menarik bajak di padang.
Namun, semuanya berubah pada Tahun 2000 S.M. apabila orang Mesir mula menggunakan lembu jantan untuk menarik bajak. Versi asal adalah dengan memasangkan bajak terus ke tanduk lembu tetapi ia telah mengganggu kebolehan haiwan tersebut bernafas. Rekaan itu diperbaiki dengan menggunakan sistem tali yang lebih efektif. Bajak itu telah menjadi satu revolusi dalam bidang pertanian di Mesir dan banyak memudahkan tugas masyarakat ketika itu. (Sumber 1, 2)
5. Penyegar mulut
Sama seperti zaman moden, mulut berbau pada zaman Mesir purba sering dikaitkan dengan penjagaan kesihatan pergigian yang lemah. Walau bagaimanapun, orang Mesir tidak mempunyai sebarang minuman bergas atau makanan tinggi kandungan gula yang boleh menyebabkan gigi rosak tetapi batu yang mereka gunakan untuk menghancurkan tepung bagi membuat roti telah menyebabkan banyak pasir dan batu halus masuk dalam makanan. Makanan berpasir inilah yang telah menghakis enamel gigi sehingga menyebabkan pulpa gigi terdedah dan mengakibatkan jangkitan.
Masyarakat Mesir mempunyai ramai pakar dalam pelbagai masalah perubatan. Malangnya, mereka tidak mempunyai pakar pergigian atau pakar bedah mulut untuk memulihkan gigi dan gusi yang rosak. Disebabkan itu, mereka hanya mampu menahan derita. Saintis yang membuat pemeriksaan ke atas mumia-mumia yang dijumpai telah menemui beberapa gigi yang terlalu rosak dan bernanah. Malah, ia juga banyak berlaku kepada golongan remaja.
Untuk menyembunyikan bau busuk akibat gigi yang rosak, masyarakat Mesir telah mencipta penyegar mulut pertama dengan gabungan kemenyan, mirh dan kulit kayu manis yang direbus bersama madu kemudian dibentuk menjadi butiran kecil. (Sumber)
4. Boling
Di sebuah perkampungan yang terletak di Narmoutheos iaitu kira-kira 90km dari selatan Kaherah, ahli arkeologi telah menjumpai sebuah bilik mengandungi beberapa lorong kecil dan koleksi bola dalam pelbagai saiz. Setiap lorong berukuran 3.9 meter panjang, 20 sentimeter lebar dan berkedalaman 9.6 sentimeter. Di tengah-tengah lorong terdapat satu lubang berbentuk segi empat sama berukuran 11.9 sentimeter.
Berbeza dengan sukan boling zaman moden di mana pemain cuba menjatuhkan pin yang terdapat di hujung lorong, pemain boling Mesir purba hanya perlu menyasarkan bola ke arah lubang empat segi tersebut. Sementara itu pihak lawan pula berdiri dari arah bertentangan dan cuba memesongkan bola pemain. (Sumber)
3. Bercukur dan memotong rambut
Mungkin orang Mesir purba menganggap rambut sebagai sesuatu yang kotor. Selain itu, cuaca yang panas juga membuatkan sesiapa yang berambut panjang serta berjanggut lebat mengalami ketidakselesaan. Oleh itu, mereka lebih banyak memotong atau mencukur kepala serta muka dengan kerap.
Bagi golongan kaya Mesir purba, kulit yang bebas serta bersih daripada sebarang bulu dan rambut dianggap sangat bergaya. Para paderi mungkin golongan yang paling tidak menggemari tubuh dan kepala berbulu, maka mereka mencukur seluruh tubuh setiap tiga hari.
Dari sini kita dapat mengetahui bahawa orang Mesir purba mungkin masyarakat pertama yang mencipta alat bercukur iaitu dengan menggunakan pisau cukur batu tajam yang dipasang pada pemegang kayu. Selepas itu, ia berkembang menjadi mata pisau yang diperbuat daripada tembaga. Selain itu, mereka juga yang mula memperkenalkan kerjaya sebagai seorang tukang gunting. Tukang gunting akan berkunjung dari rumah ke rumah para aristokrat. Pelanggan dari golongan biasa pula akan diberikan perkhidmatan di luar sahaja di mana mereka akan duduk di kerusi yang berada di bawah pohon sycamore yang rendang.
Apa yang menganehkan adalah mereka akan menggunakan rambut yang dicukur dan bulu biri-biri untuk dijadikan rambut atau janggut palsu sebagai satu daya tarikan. Lebih aneh lagi apabila permaisuri dan raja juga turut melakukan perkara yang sama. Janggut palsu mempunyai pelbagai saiz untuk menandakan status dan kedudukan sosial si pemakai. Rakyat biasa hanya dibenarkan memakai janggut palsu kecil sekitar 5cm panjang sementara raja pula akan memakai janggut ini sepanjang-panjangnya. Raja juga akan mengarahkan janggut itu dikemaskan di bahagian hujung dalam bentuk bersegi. Dewa-dewa Mesir purba juga tidak kurang hebatnya dengan janggut yang melengkung ke atas di bahagian hujung. (Sumber 1, 2, 3)
2. Kunci pintu
Sejarah alat mengunci pintu terawal bermula sekitar Tahun 4000 S.M. Rekaan awal deadlock (kunci lokos) hanyalah menggunakan pin dan bolt berongga yang disambungkan ke pin tersebut. Apabila kunci dimasukkan dan menolak pin ke atas, ia akan menjauhkan diri dari batang bolt dan membenarkan pintu ditarik.
Walau bagaimanapun, satu kelemahan sistem kunci purba ini adalah saiznya yang besar sehingga boleh mencecah 0.6 meter. Namun begitu, kunci yang dicipta masyarakat Mesir dilaporkan lebih selamat daripada teknologi yang dibangunkan oleh Rom. Mereka menggunakan rekaan yang lebih mudah menggunakan spring untuk memegang pintu. Selain itu, kunci yang dihasilkan Rom tersembunyi di sebalik pintu tetapi lebih mudah diumpil berbanding kunci yang dicipta masyarakat Mesir. (Sumber 1, 2)
1. Ubat gigi
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, warga Mesir purba mempunyai banyak masalah dengan penjagaan gigi disebabkan roti yang mengandungi pasir dan batu. Walaupun mereka tidak mempunyai pakar pergigian, mereka masih berusaha untuk menjaga kebersihan gigi. Ahli arkeologi menjumpai pengorek gigi yang tertanam bersama mumia. Ia dipercayai sengaja diletakkan di situ supaya mumia ini boleh membersihkan sisa-sisa makanan di celah gigi apabila dibangkitkan semula.
Selain masyarakat Babylon dan China, orang Mesir purba juga dipercayai menjadi antara yang terawal menggunakan berus gigi yang diperbuat daripada bahagian hujung ranting yang berambu-rambu. Selain itu, masyarakat Mesir ini juga telah berinovasi dengan mencipta ubat gigi pertama di dunia.
Antara bahan utama terawal yang digunakan adalah telapuk lembu jantan, abu, kulit telur yang dibakar dan pumis. Kemudian, ahli arkeologi menemui resipi ubat gigi yang lebih maju berserta panduan untuk menggosok gigi yang ditulis atas lembaran papyrus. Penulis yang tidak diketahui itu menjelaskan bagaimana campuran garam kasar, daun pudina, bunga iris kering dan biji lada hitam akan menghasilkan "serbuk untuk gigi yang putih sempurna." (Sumber 1, 2)