tamadun maya mayan doodle

Tamadun Maya purba telah wujud buat sekian lamanya di Mexico dan Amerika Tengah sejak dari tahun 2600 SM sehinggalah pada kurun ke-16. Kaum Maya ini juga terkenal dengan penemuan hebat di dalam beberapa bidang sains dan komologi yang membolehkan mereka mencipta kalender yang sangat rumit.

Bukan setakat itu, kaum Maya juga merupakan pereka dan arkitek hebat yang banyak membangunkan bangunan berstruktur unik yang menjadi ciri penting kepada ketamadunan Mesoamerica seperti piramid, kediaman diraja dan tempat simpanan air bawah tanah. Berikut adalah 10 di antara penemuan terhebat oleh tamadun Maya.

10. Astronomi

astronomi maya

Kaum Maya mula merekodkan tentang pergerakan matahari, bulan, planet dan juga bintang. Melalui maklumat ini mereka membangunkan kalender yang dikenali sebagai Haab dan tahu bahawa setahun sebenarnya lebih panjang daripada 365 hari. Kaum Maya menganggarkan terdapat sebanyak 365.2420 hari dalam setahun (yang paling tepat ialah 365.2422 hari), lebih tepat dari kalender moden Gregory yang kita gunakan iaitu 365.2425 hari dalam setahun.

Pemerhati kosmik Maya juga mendapati terdapat 2392 hari dalam 81 bulan dan ini memberikan purata sebanyak 29.5308 hari dalam sebulan (kiraan tepat pada hari ini ialah purata 29.53059 hari sebulan). Sememangnya kajian ilmu kosmik tamadun ini jauh lebih tepat dan maju berbanding Eropah.

9. Padang bola

padang bola maya

Kaum Maya sememangnya minat dengan sukan dan mempunyai padang di setiap bandar mereka sama seperti stadium zaman moden. Padang ini biasanya dibangunkan di kawasan suci sebagai penghargaan kepada tuhan mereka. Pesta sukan mereka biasanya dimainkan pada perayaan keagamaan yang berlangsung selama 20 hari.

Mereka sering memainkan permainan yang dipanggil 'pok-a-tok' menggunakan bola getah dan hanya boleh digerakkan menggunakan pinggul, bahu atau lengan sahaja. Setiap kumpulan perlu memasukkan bola getah ini ke dalam gelung kecil yang disediakan. Kumpulan yang kalah (biasanya terdiri dari tawanan) akan dijadikan korban kepada tuhan mereka.

8. Minuman Cokelat

minuman cokelat maya

Kaum maya menghasilkan minuman coklat dari buah koko yang dihancurkan. Minuman coklat yang dihasilkan oleh kaum Maya terdahulu (250-900 C.E) merupakan benda penting dan sering digunakan sebagai matawang. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga menambah beberapa bahan lain seperti jagung dan kekacang untuk membuatkan minuman itu lebih sedap.

Mereka tidak memerlukan gula dalam minuman cokelat mereka. Oleh itu, tiada penyakit berkaitan gula seperti kerosakan gigi atau diabetes pada masa itu. Hari ini, minuman ciptaan mereka menjadi kegemaran kebanyakan negara-negara barat.

7. Dadah halusinasi

dadah maya

Kaum Maya sangat bangga dengan adat dan tradisi mereka. Setiap upacara akan dilakukan dengan gilang gemilangnya. Hanya orang tertentu yang mempunyai kedudukan seperti pawang atau bomoh sahaja yang boleh membuat persembahan kepada tuhan.

Pawang kaum Maya biasanya menggunakan bahan perangsang untuk menjadi khayal dan berhubung dengan alam roh. Bahan perangsang ini biasanya memberikan kesan seperti tidak merasa sakit dan sentiasa rasa bertenaga. Bahan-bahan yang mereka gunakan dahulu kini banyak digunakan sebagai ubat penahan sakit dalam perubatan moden.

6. Undang-undang dan peraturan

undang undang maya

Di dalam empayar Maya, undang-undang adalah hampir sama dan adil di setiap negeri. Setiap orang terikat dengan undang-undang dan jika melanggarnya, mereka akan dibicarakan di hadapan pihak berkuasa. Hukuman pula bergantung kepada kesalahan yang dilakukan. Jika anda bersalah kerana mencuri, hukuman akan ditentukan oleh orang telah terinaya.

Membunuh adalah perkara yang luar biasa pada zaman itu jadi hukumannya sangat berat. Pembunuh boleh dihukum mati atau jika pembunuh mempunyai harta atau tanah, segalanya boleh dirampas oleh pihak mangsa. Kesalahan individu yang membunuh boleh mengakibatkan keseluruhan keluarganya menanggung balasan.

5. Matematik

matematik maya

Kaum maya mempunyai sistem pengiraan yang sangat cekap dengan hanya menggunakan 3 simbol iaitu 0 (simbol cengkerang), 1 (titik) dan 5 (baris). Tiga simbol ini membolehkan mereka mengira dari 0 hingga 19, manakala nombor 20 dan ke atas, mereka akan menggunakan simbol ini secara menegak.

Setiap tingkat menegak bagi nombor yang lebih besar dari 19 menggunakan gandaan kuasa 20 seperti 1, 20, 400, 8000, 16000 (gambarajah di atas). Apa yang menariknya kaum Maya telah mencipta penggunaan nombor 0 di dalam pengiraan mereka pada tahun 36 SM lagi. Ini membuatkan pengiraan tarikh dan anggaran mereka benar-benar tepat atau begitu hampir.

4. Kesenian Maya

seni maya

Walaupun pada keseluruhannya tidaklah begitu halus dan teliti, kesenian Maya dianggap sebagai salah satu seni yang menakjubkan di dunia. Mereka membuat ukiran ke atas pelbagai bahan seperti kayu, jed, kaca, tembikar dan juga batu. Ianya dapat dilihat pada banyak ukiran bangunan tamadun ini.

Ukiran pada kayu adalah sesuatu yang biasa pada zaman ini akan tetapi ukiran pada batu merekalah yang benar-benar menarik perhatian dunia. Bukan itu sahaja, mereka juga telah lama mewarnakan seni ukiran pada batu sejak dari tahun 300-200 SM lagi. Di antara lukisan dinding terbaik yang masih selamat ialah kesenian mereka di Bonampak.

3. Kalender Maya

kalender maya 959

Kalender Maya yang terkenal sebenarnya terhasil dari kiraan harian asas masyarakat Mesoamerica. Walaupun begitu, kaum Maya sebenarnya yang telah mewujudkan satu kalender paling moden di kalangan mereka. Terdapat 3 jenis kalender iaitu Tzolkin (kalender ramalan), Haab (kalender biasa) dan juga Long Count.

Kalender Tzolkin hanya mempunyai 260 hari berdasarkan pergerakan planet Zuhrah. Kalender Haab adalah yang paling terkenal dan mempunyai 365 hari setahun berdasarkan pergerakan matahari. Manakala Long Count pula ialah untuk menentukan tarikh yang lebih dari 52 tahun. Ini kerana satu kitaran lengkap kalender akan berulang setelah 18,980 hari bersamaan 52 tahun solar.

2. Sistem penulisan Maya

penulisan maya

Dalam kebanyakan kaum purba Amerika, kaum Maya mencipta sistem penulisan paling maju yang dikenali sebagai Glyphs. Ia digunakan untuk menerangkan atau mewakili satu perkatan, bunyi dan juga suku kata sesuatu gambar atau simbol. Di dalam sejarah penulisan Maya, mereka menggunakan sekitar 700 Glyphs yang berbeza dengan lebih dari 80% darinya dapat difahami pada hari ini.

Kaum Maya sedar akan kepentingan pencapaian dan sejarah mereka, jadi mereka menulis perkara ini pada tiang, dinding dan juga batu sepanjang tamadun mereka. Mereka juga menulis buku-buku mengenai pelbagai perkara seperti tuhan-tuhan mereka, pemimpin, hinggalah kepada kehidupan harian. Malangnya apabila kebanyakan buku-buku ini telah dimusnahkan oleh penjelajah Sepanyol semasa penaklukan mereka. Hanya sedikit sahaja yang terselamat.

1. Getah

getah maya

Getah merupakan ciptaan penting dari kaum Maya. Seperti bola yang mereka gunakan untuk bersukan, ia dicampur dengan pelbagai bahan lain yang membolehkan ia melantun. Mereka menggunakan getah yang dimodifikasi dalam pelbagai bentuk untuk pelbagai kegunaan sejak dari 1600 SM lagi.

Mereka adalah pakar dalam penghasilan getah dan juga mempunyai sistem pembuatan getah elastik menggunakan campuran hasil tanaman yang berbeza seperti koko, tembakau, kapas dan banyak lagi.

Rujukan:

1. Ancient History List

2. Learnodo-Newtonic

3. Mayas Mr Donn


tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)