Oleh pada 28 Dec 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Safiey Illias

Selepas hampir dua minggu berubah kembali menjadi 'wanita', usahawan kosmetik Safiey Illias tampil bersuara.

Sedar tindakannya dianggap mempersendakan agama, Safiey menafikan dakwaan tersebut dengan alasan sudah menjadi resam iman seseorang itu tidak akan sentiasa kebal.

"Bukan tentang mempersenda agama atau penunggang agama, adatlah iman naik dan turun.

"Daripada cakap yang buruk, baik anda cakap yang baik dan doakan yang terbaik," katanya menerusi laman sosial Instagram.

Luah Safiey, dirinya pernah dipinggirkan sewaktu menjadi 'maknyah' dahulu, walhal apabila berhijrah ramai pula yang cuba berbaik dan mengambil kesempatan menumpang popularitinya.

"Sebab itulah saya cakap, waktu saya jadi 'maknyah' dahulu, mana ada orang nak dekati untuk berubah dan berhijrah. Semua hentam.

"Bila kita hijrah, ramai pula kawan baru yang tumpang nama dan populariti dengan mengatakan kerana sayalah, mereka turut berhijrah," katanya.

Dalam pada itu, Safiey menasihatkan netizen supaya tidak cepat menghakimi seseorang kerana kita tidak mengetahui perjalanan hidupnya.

"Kadang-kadang jangan suka label orang macam-macam kerana kita tidak faham apa yang mereka lalui.

"Bila kita rasa diri kita lebih baik daripada orang lain, itulah sebenarnya kecelakaan besar dan bongkak dalam diri," tegasnya.

Bercerita lanjut mengenai perasaannya berhadapan tohmahan itu, Safiey berasa sedih kerana ada rakannya yang seperti tidak mengenang budi dan berkata buruk tentangnya.

"Masa ini kita jumpa siapa kawan, siapa lawan. Siapa 'mengampu', siapa 'penjilat'.

"Paling sedih yang kita pernah bagi ilmu bisnes dan tolongpun cakap macam-macam pada kita," rintihnya.

Di akhir kiriman itu, Safiey meminta netizen supaya menantikan tarikh 31 Disember ini. 

"Apa-apapun, tunggu 31 Disember ini," katanya yang seolah ingin memberikan satu pengumuman tergempar.

Terdahulu, Safiey tampil berimej seksi dalam pakaian wanita sejak dua minggu lalu.

Beliau juga sering memuat naik foto bersama seorang jejaka yang dikatakan sebagai kekasih barunya.

Lebih hangat, foto yang dikongsi di laman sosial itu juga memperlihatkan dirinya sedang berada di tempat pembedahan plastik payudara.

Sumber berita: Astro Gempak




Hakcipta iluminasi.com (2017)