Oleh pada 24 Oct 2019 kategori

Sistem pendidikan di Jepun seringkali akan mendapat reaksi yang baik, khususnya daripada rakyat negara kita. Kita didedahkan dengan masyarakat Jepun yang mempunyai pegangan moral yang tinggi melibatkan pendidikan sivik yang berkesan di kalangan rakyat mereka.

Selain itu, sistem pendidikan Jepun juga dikatakan berjaya melahirkan masyarakat yang mempunyai kemahiran berfikir yang matang dalam ilmu sains dan teknologi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu, disebalik semua kisah yang kerap kali dipersembahkan dalam nada ceria - sistem pendidikan Jepun selepas berlakunya reformasi pendidikan mereka digelarkan 'yutori kyoiku'; sebenarnya mengandungi banyak kelemahan yang jarang diperkatakan.

Apakah kelemahan-kelemahan itu dan mengapakah perlu sistem pendidikan mereka direformasikan?

Asal reformasi pendidikan Jepun

yutori generation jepun jepun

Sejarah bagaimana perlunya reformasi pendidikan Jepun bermula ketika era 1970-an, semasa masalah disiplin melanda pelajar sekolah menengah rendah di sana.

Kerajaan Jepun secara perlahan-lahan mula melaksanakan dasar yang dikenali sebagai 'yutori kyoiku' atau 'pendidikan berbentuk perlahan/tenang' yang diharapkan mampu memperkembangkan minat pelajar untuk belajar. Pada tahun 1977, dalam usaha mengurangkan beban belajar - waktu rehat yang lebih kerap dan panjang diperkenalkan dalam sistem mereka.

Selain itu, masalah kekurangan fokus atau matlamat dalam pendidikan juga menyebabkan pelajar seakan kurang seronok untuk belajar. Sebagai solusi, sebuah badan dilantik bagi membangunkan dasar pendidikan yang lebih sesuai dan pada tahun 1987. Badan ini berjaya membentangkan dapatan mereka, mengeluarkan laporan agar sistem pendidikan Jepun mengenengahkan 4 asas utama :

  1. Melahirkan pelajar yang kuat, yakin dan berminda terbuka
  2. Melahirkan pelajar yang mempunyai kemampuan motivasi kendiri serta mampu berdepan perubahan sosial dengan kekuatan sendiri
  3. Menyediakan pelajar yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan masyarakat Jepun dan yang terakhir
  4. Melahirkan masyarakat Jepun yang berdaya saing dengan dunia luar tanpa melupakan tradisi negara itu.

Sukatan matapelajaran Jepun dipinda berdasarkan kepada empat asas itu dan diperkenalkan pada tahun 1989. Penekanan kepada aspek sains dan kajian kemasyarakatan pada tahap sekolah rendah dimansuhkan, dengan pembelajaran ilmu alam sekitar diperkenalkan.

Kelas-kelas yang memfokuskan kepada minat dan kecenderungan pelajar diperbanyakkan lagi, bagi mendorong pelajar berminat untuk belajar 

Kaedah reformasi pendidikan yang dilaksanakan

ekspo pendidikan jepun

Secara amnya, dasar 'pendidikan yutori' yang dilaksanakan Jepun memansuhkan 30% daripada jumlah keseluruhan subjek teras dalam bidang bahasa Jepun, matematik dan sains di semua peringkat pendidikan.

Perubahan jadual persekolahan yang drastik diperkenalkan, memansuhkan hari persekolahan wajib setiap Sabtu dan memperkenalkan sekolah lima hari seminggu, seperti di negara kita. Bagi menggantikan subjek dan waktu yang telah dimansuhkan, Kementerian Pendidikan, Sukan, Budaya dan Teknologi Jepun atau MEXT mewujudkan subjek yang dinamakan sebagai 'integrated studies' (pembelajaran integrasi) atau IS.

Diwujudkan bagi membenarkan ruang di mana kebolehan pelajar dipupuk secara terbuka, setiap waktu IS tidak diberikan garis panduan khas - sukatan subjek tersebut diberikan autonomi sepenuhnya pada guru dan sekolah untuk melaksanakannya; bergantung kepada minat, keperluan dan keperluan komuniti di mana lokasi sekolah itu berada.

Berikutan daripada perubahan dan pengenalan sistem IS yang tiada kawalan dalam bentuk garis panduan kerajaan, beberapa golongan tertentu mengkritik reformasi yang dilakukan oleh MEXT bakal mengehadkan jumlah waktu di mana pelajar benar-benar berpeluang untuk belajar subjek asas - sehinggakan akan mengorbankan perkara yang sebenarnya penting untuk mereka ketahui.

Pengkritik percaya dengan 'meringankan' keperluan pendidikan mereka, pelajar akan gagal mencapai sasaran dalam bentuk pendidikan yang boleh diukur atau bersifat tradisional - walaupun sistem ini dikatakan lebih baik dalam merangsang kreativiti dan kebolehan pelajar untuk belajar sendiri.

Walau berdepan kritikan serta pandangan yang menyimpulkan bahawa sistem baru itu akan menyebabkan pelajar Jepun gagal bersaing dengan pelajar luar, reformasi pendidikan yutori di Jepun dilaksanakan sepenuhnya menjelang tahun 2002.

Selepas reformasi pendidikan

pelajar jepun mempersembahkan pentas

Beberapa tahun sebelum sistem yutori diperkenalkan sepenuhnya, banyak pihak meramalkan bahawa pelaksanaan dasar baru itu bakal merendahkan pencapaian akademik pelajar, sehingga berlakunya apa yang layak dikatakan sebagai krisis masyarakat akibat daripada perbalahan tentang perubahan-perubahan ini.

Malangnya, hasil keputusan PISA dan TIMSS pelajar Jepun pada tahun 2003 (yang dilaporkan pada tahun 2004) menggemparkan seluruh negara. Secara keseluruhan selepas hampir 2 tahun sistem yutori dijalankan secara penuh, pencapaian purata pelajar Jepun yang berusia 15 tahun jatuh mendadak dalam bidang matematik dan pembacaan - sedangkan negara itu mendahului dunia dalam matematik tahun sebelumnya.

Apa yang lebih membingungkan mereka, usaha untuk menarik minat pelajar belajar seakan tidak berjaya. Hanya 29% daripada pelajar gred 4 dan 9% gred 8, mengakui mereka gemar belajar matematik dalam sistem yutori, berbanding purata 50% dan 29% bagi usia sama di seluruh dunia.

Memburukkan lagi keadaan, reaksi ibu bapa yang melihat kurangnya waktu belajar diperuntukkan di sekolah menyebabkan anak tidak lagi nampak ada kesungguhan untuk belajar - memaksa golongan ibu bapa mula menghantar anak mereka ke pusat tuisyen bagi 'menambah' waktu belajar yang dirasakan tidak memadai.

Pada tahun 2007, akibat daripada budaya menghantar anak ke pusat tuisyen ini atau 'juku', masyarakat Jepun secara puratanya mengalami peningkatan kos pendidikan anak sehingga mencecah RM13,187 atau 341,447 ribu yen setahun setiap keluarga, bagi memastikan anak dapat belajar dengan baik.

Kesan keburukan reformasi pendidikan yang tidak berkesan

generasi manja jepun

Berikutan perubahan yang memakan masa lebih 3 dekad dijalankan secara beransur-ansur, kesannya boleh dilihat dalam masyarakat Jepun ketika ini. Generasi yang lahir pada tahun 1970 dan seterusnya, digelarkan sebagai 'generasi yutori' oleh generasi lebih awal - dianggap kelompok yang lebih manja serta lebih sibuk menghabiskan masa dengan permainan video.

Kemampuan aritmetik yang berbeza juga menyebabkan banyak sukatan matapelajaran matematik dan sains dengan sengaja dipermudahkan, bagi membolehkan pelajar dapat melakukan apa yang dipelajari. Sebagai contoh, nilai pi dalam matematik secara standardnya diambil sebagai 3.14 atau 3.142 bagi mana-mana pelajar di seluruh dunia - sama juga di Jepun sebelum reformasi dilaksanakan.

Namun, oleh kerana kesukaran pelajar di Jepun menguasai matematik, pelajar di Jepun diajar untuk mengambil angka pi sebagai 3 bagi membolehkan perkiraan dilakukan. Ini kerana banyak sekolah rendah di Jepun gagal mengajar pelajar pembahagian menggunakan titik perpuluhan dengan sempurna, sebelum masuk kepada pengiraan geometri.

Perubahan-perubahan seperti itu menjadi peluru hidup kepada pengkritik sistem yutori bagi membenarkan dakwaan mereka selama ini.

Jurang perbezaan antara masyarakat tua dan muda

Industri anime juga tidak ketinggalan dalam menjadikan generasi yutori sebagai bahan komedi. S

syarikat animasi bernama Actas mengeluarkan siri anime web berjudul 'Yutari-chan' yang meletakkan seorang individu 'generasi yutari' bernama Popuu dalam pelbagai situasi kelakar; untuk menunjukkan bagaimana kegagalan sistem pendidikan Jepun memberi kesan buruk pada masyarakat mereka.

Perangai Yutori yang tidak malu untuk meminta-minta, gemar dibantu namun tidak gemar membantu serta tidak pandai membawa diri sendiri di tempat kerja mencerminkan masalah besar yang wujud, yang terus membelenggu masyarakat dan negara mereka. Dalam erti kata lain, generasi berusia di Jepun percaya akibat dasar pendidikan yang terlalu terbuka, 'common sense' anak muda Jepun - semakin kurang, kadangkala layak dikatakan tak ada.

Rujukan

Childresearch




Hakcipta iluminasi.com (2017)