Oleh pada 26 Jun 2021 kategori

Isu anak muda dan remaja bermasalah merupakan antara isu yang cukup senang menarik perhatian masyarakat kita.

Dalam internet, kerap kali kita disajikan perkongsian video tular berkenaan kelakuan jenayah serta kesalahan melibatkan kumpulan anak muda, membabitkan kes seperti kecurian, pergaduhan, masalah seksual dan beberapa jenis kesalahan lain.

Kita sudah biasa mendengar berkenaan sekolah pelajar bermasalah iaitu Sekolah Henry Gurney,  terkenal sebagai pusat pemulihan anak-anak muda ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun tidak ramai benar-benar memahami sistem dan undang-undang sekolah juvana yang tersedia di negara kita. Jom kita pelajari serba sedikit berkenaan topik yang kontroversi tetapi cukup menarik ini.

Siapa layak bergelar pesalah muda bawah umur?

sekolah penjara pesalah jenayah

Untuk memahami kategori individu layak diletakkan ke dalam kumpulan pesalah atau penjenayah muda, kita perlu merujuk Akta 611 atau Akta Kanak-Kanak yang telah diperkenalkan pada tahun 2001.

Keseluruhan akta ini memperjelaskan secara definisi kumpulan individu manakah yang tergolong ke dalam definisi kanak-kanak, memberikan garis panduan kepada kuasa Mahkamah Kanak-Kanak serta membentuk garis undang-undang yang berkait dengan semua aspek pelanggaran undang-undang melibatkan perlakuan individu kanak-kanak.

Semua individu di Malaysia berusia 18 tahun ke bawah termaktub dalam Akta 611, apabila kita membicarakan kelompok ini daripada aspek jenayah. Semua kesalahan melibatkan kumpulan ini layak dibicarakan dalam Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, di mana mereka akan melalui perbicaraan secara tertutup kecuali apabila kes itu turut sama melibatkan pelaku dewasa.

Sejarahnya Mahkamah Juvana (nama lama Mahkamah Bagi Kanak-Kanak) ditubuhkan sejak tahun 1949 sebelum kita merdeka lagi. Namanya diubah sejak pengenalan Akta 611, yang bertanggungjawab memperincikan semua kes berkaitan jenayah bukan membawa kepada hukuman mati individu 10 ke 18 tahun usianya.

Dalam sistem Mahkamah Kanak-Kanak, seorang majistret bertindak sebagai ketua perbicaraan dibantu oleh dua orang penasihat. Salah seorang penasihat mestilah individu berjantina wanita.

Apabila seseorang kanak-kanak diminta hadir ke mahkamah bagi perbicaraan, adalah menjadi tanggungjawab ibu atau bapanya memastikan kehadirannya.

Kegagalan memastikan kehadiran anak mereka akan membolehkan ibu atau bapanya didenda RM5,000 atau penjara 2 tahun. Sepanjang perbicaraan, ibu, bapa atau penjaga perlulah senantiasa ada di mahkamah menemani tertuduh.

Hukuman yang boleh dikenakan ke atas pesalah kanak-kanak

penghuni henry gurney dikawal

Kuasa mahkamah boleh menentukan apakah bentuk hukuman yang bakal dikenakan berdasarkan budi bicara majistret serta pandangan panel penasihatnya.

Bagi kes kesalahan ringan seorang kanak-kanak boleh dilepaskan dengan teguran atau dilepaskan dengan jaminan berkelakuan baik, serta dikenakan syarat tambahan bergantung kepada jenis kesalahan.

Dalam kes tertentu, mahkamah boleh memerintahkan agar hak penjagaan kanak-kanak itu dipindahkan ke pihak lain dalam satu tempoh tertentu seperti keluarga angkat atau ahli keluarga lain, bagi mengelakkan masalah berulang.

Dalam kes lebih berat, pesalah kanak-kanak boleh dikenakan hukuman 10 kali sebatan (yang lebih ringan pelaksanaannya berbanding sebatan biasa) tetapi hukuman ini hanya tertakluk kepada pesalah kanak-kanak lelaki.

Bagi kes jenayah lebih berat melibatkan kanak-kanak berusia di antara 14 ke 18 tahun, dari segi undang-undang mereka tidak boleh diperintahkan untuk dipenjarakan sekiranya mahkamah merasakan ada peluang untuk mereka berubah sekiranya dihantar ke sekolah pemulihan - walaupun dibuktikan bersalah.

Seandainya seorang majistret memerintahkan hukuman penjara dikenakan ekoran tiada pilihan lain, kanak-kanak yang dihukum penjara perlu berusia melebihi 14 tahun menjalani hukuman penjara secara berasingan, ditempatkan di penjara khas bersama banduan-banduan lain yang duduk dalam kategori sama iaitu 'banduan muda' seperti mereka.

Banduan muda tidak dibenarkan bergaul dengan banduan-banduan dewasa lain di penjara.

Walaupun penjara dibenarkan, hukuman paling popular serta sering digunapakai sebagai satu bentuk pemulihan adalah dengan menghantar kanak-kanak ini ke sekolah pemulihan yang diakui selamat.

Mereka akan menjalani sesi sekolah pemulihan selama tempoh 3 tahun dari tarikh hukuman dibacakan atau sehinggalah individu itu mencapai usia 18 tahun atau 21 tahun bagi Sekolah Integriti.

Sekiranya mahkamah merasakan mereka masih perlu ditahan, mereka akan menyambung hukuman di penjara bersama banduan-banduan dewasa lain selepas itu.

Dua sistem sekolah juvana di Malaysia

bekas pelatih sekolah henry gurney

Walaupun nama Sekolah Henry Gurney cukup sinonim sebagai sekolah pemulihan kanak-kanak pelaku jenayah di negara kita, sebenarnya terdapat dua jenis sekolah pemulihan yang ada iaitu Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti.

Kedua-duanya mempunyai kumpulan sasaran pelajar berbeza namun kedua-duanya dikelolakan oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Bezanya, Sekolah Henry Gurney hanya bertanggungjawab menempatkan pesalah yang telah dihukum di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Sementara dalam kes-kes berbeza di mana seseorang kanak-kanak terlibat dalam jenayah yang turut melibatkan pelaku dewasa lain serta hilang kelayakan untuk dibicarakan di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak, mereka yang dijatuhi hukuman akan dihantar ke Sekolah Integriti sebagai 'banduan muda'; kebiasaannya meliputi pesalah berusia 18 ke 21 tahun.

Di seluruh negara, hanya terdapat 3 buah Sekolah Henry Gurney iaitu di Telok Mas, Melaka, Kuching, Sarawak dan Keningau di Sabah.

sekolah integriti banduan muda d0q86

Manakala terdapat 9 buah Sekolah Integriti telah dibuka iaitu di Sungai Petani, Marang, Bentong, Puncak Alam, Muar, Kluang, Kuching dan Kota Kinabalu. Sebuah Sekolah Integriti khas hanya untuk wanita turut sama dibuka di Kota Kinabalu, Sabah.

Majoriti pesalah yang diarahkan menyertai sekolah-sekolah ini kebiasaannya melakukan jenayah dalam tiga kesalahan; kesalahan samun bersenjata atau tanpa senjata, merogol atau terlibat dalam pergaduhan melibatkan senjata.

Apa berlaku kepada pesalah selepas sekolah pemulihan?

pelajar pemulihan kelas pendidikan

Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka menjadi sekolah pemulihan terbesar di Malaysia menempatkan lebih 1,000 orang pelajar dalam satu-satu masa.

Di kalangan Sekolah Integriti pula, Sekolah Integriti Sungai Petani dilaporkan mempunyai bilangan banduan muda tertinggi seramai lebih 550 orang dan cawangan Puncak Alam, Selangor pula di tempat kedua.

Dianggarkan terdapat hampir 3,000 pelatih/banduan muda keseluruhannya di seluruh negara meliputi kesemua cawangan Sekolah Henry Gurney dan Sekolah Integriti. Kesemuanya diberikan peluang kedua menerusi penekanan kepada aspek pendidikan dan pembangunan sahsiah.

Kesemua pelajar disediakan kelas pendidikan bermula dari asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira sehinggalah ke peringkat SPM secara dalaman.

Syarat kelayakan pula tidak lah terhad mengikut peringkat umur, bergantung kepada pencapaian pelajar itu sendiri - jadi tidak menghairankan ada pelajar lebih tua akan duduk belajar 3M atau baru memulakan sesi pendidikan menengah.

Bagi pelajar yang berkelayakan dan cemerlang, mereka boleh menyertai skim pendidikan dalam tahanan seterusnya membuka peluang kepada pelajar tersebut menyambung pengajian dalam peringkat diploma dan ijazah di bawah institusi pendidikan swasta yang terlibat.

Uniknya, pelajar yang berjaya mencapai tahap ini tidak perlu membayar yuran pengajian kelulusan yang mereka ambil.

Semua kosnya ditanggung sepenuhnya pihak penjara, dengan anggaran kos sekitar RM12,000 ke RM22,000 seorang bergantung kepada tahap pengajian yang diambil.

Pihak institusi pendidikan juga akan melantik seorang tutor khas yang akan hadir ke sekolah-sekolah juvana yang ada bagi membimbing pelajar secara mingguan.

Kehadiran tutor ini diharapkan dapat membantu mereka mempersiapkan diri apabila dibebaskan dengan tahap pendidikan yang baik, membolehkan mereka tidak lagi ada rasa ingin terlibat dalam aktiviti kurang sihat seperti sebelumnya.

Rujukan 

Data.gov.my

Akta 611 Akta kanak-kanak 2001 (fail PDF)

Jabatan Penjara Malaysia




Hakcipta iluminasi.com (2017)