Sebelum ini kami pernah berkongsi dengan anda senarai 10 sekolah paling mahal di dunia dan Institut Le Rosey mendapat tempat pertama dalam artikel tersebut. Bagaimanakah suasana dan kehidupan seorang pelajar yang menuntut di pusat akademik mewah itu? Adakah berbeza dengan pelajar 'biasa' yang lain? Kami berikan anda tinjauan eksklusif tentang Institut Le Rosey.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sekolah ini mempunyai dua kampus cantik untuk kegunaan musim persekolahan yang berbeza. Kampus musim luruh dan musim panas terletak di dalam sebuah estet seluas 28 hektar iaitu Château du Rosey di Rolle yang telah dibina sejak kurun ke-14 manakala kampus musim sejuk pula merupakan sebuah resort ski yang berada di Gstaad.

Setiap tahun, 30% daripada pelajarnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah satu antara 25 universiti paling unggul di dunia selepas tamat persekolahan. Antara universiti pilihan pelajar adalah universiti Ivy League, MIT dan Oxbridge. Antara alumni terkenal dari sekolah ini termasuklah Raja Albert II dari Belgium, Raja Iran, Putera Rainier dari Monaco dan juga Raja Farouk dari Mesir.

kampus rolle institut le rosey sekolah termahal dalam dunia

Menurut Felipe Laurent, seorang alumni yang juga merupakan jurucakap bagi Le Rosey, mana-mana ahli keluarga yang pernah belajar di Le Rosey lebih gemar memilih sekolah ini untuk anak-anak atau cucu mereka. Tradisi ini telah berterusan sekian lama supaya generasi baru keluarga itu dapat meneruskan legasi dengan menuntut di Le Rosey.

Seperti yang kita sedia maklum, sekolah ini merupakan sekolah termahal dalam dunia dengan yuran tahunan berjumlah 108,900 Swiss francs (RM467,000). Yuran ini merangkumi hampir keseluruhan perbelanjaan bagi setiap pelajar namun tidak termasuk bayaran untuk rombongan sekolah. Apa yang menarik, setiap murid akan menerima wang saku bulanan yang diuruskan oleh pegawai sekolah.

perpustakaan le rosey mempunyai bahan bacaan dalam lebih 20 bahasa

Wang saku yang diterima berbeza mengikut usia pelajar tersebut. Pelajar berusia 10 tahun tidak menerima wang saku dengan jumlah yang sama seperti pelajar 17 tahun.

Pelajar akan memulakan semester di kampus induk pada bulan September dan bercuti pada bulan Oktober dan Disember. Kemudian, selepas Krismas, mereka akan menuju ke kampus di pekan kecil Gstaad yang telah menjadi tradisi sejak tahun 1916.

institut le rosey sekolah paling mahal dalam dunia kampus gstaad

Kesemua pelajar Le Rosey dibenarkan bermain ski semasa di kampus Gstaad sehingga empat kali seminggu. Jadi, untuk menimbal balik waktu pelepasan ini, mereka perlu menghadiri kelas pada setiap pagi Sabtu. Walaupun boleh 'bersuka ria' dengan bermain salji, semester musim sejuk di kampus ini dilaporkan amat dahsyat. Bayangkanlah kehidupan selama lapan ke sembilan minggu di Pergunungan Alps - ia boleh memenatkan sesiapa sahaja.

pelajar pelbagai negara di institut le rosey

Selepas cuti penggal pada bulan Mac, mereka akan kembali ke kampus induk pada bulan April dan berada di sana sehingga bulan Jun. Sekolah akan mula bercuti musim panas selepas berakhirnya bulan Jun.

Kini terdapat 400 orang pelajar antara usia lapan hingga 18 tahun yang bersekolah di Le Rosey. Mereka datang dari 67 buah negara dan dibahagikan sama rata mengikut jantina. Setiap pelajar merupakan penutur dwibahasa dan perlu belajar sehingga empat bahasa pada satu-satu masa, termasuklah bahasa Dzongkha dan Swahili.

makmal institut le rosey

Walaupun yuran yang dikenakan adalah sangat mahal, namun bagi setiap kekosongan tempat di Le Rosey ada empat orang pemohon yang ingin mendaftar. Pelajar yang terpilih masuk ke sini kebiasaannya bukan calang-calang. Mereka bukan sahaja perlu cemerlang dari segi akademik, malah mereka mesti mempunyai potensi untuk menjadi pemimpin masa hadapan atau sebagai atlet yang hebat.

Pendidikan di Le Rosey dibahagikan kepada empat tahap iaitu Juniors, Cadets, Jeunes Seniors dan Seniors. Pada peringkat sekolah menengah, pelajar boleh memilih antara Baccalauréat Français ataupun International Baccalaureate (IB) Diploma.

bilik asrama institut le rosey sekolah paling mahal

Sekolah ini menyediakan kemudahan asrama di mana setiap bilik akan dikongsi dua orang pelajar. Walau bagaimanapun, pelajar akan menukar rakan sebilik sebanyak tiga kali setahun disebabkan semester musim sejuk di Gstaad. Pada tahun akhir, ada sesetengah pelajar yang mempunyai bilik individu namun masih berkongsi bilik air dengan seorang pelajar lain. Seramai 60% daripada 150 orang guru yang mengajar di sini juga tinggal di asrama bersama-sama pelajar.

Pada hari biasa, pelajar akan dikejutkan pada jam 7 pagi. Setelah bersiap-siap, mereka akan menuju ke dewan makan untuk bersarapan secara tidak formal.

hidangan sarapan di institut le rosey

Sepanjang berada di bangunan akademik, pelajar diwajibkan memakai pakaian yang 'selesa dan betul'. Ini bermakna baju mesti diselitkan ke dalam seluar, skirt atau gaun pula perlulah 'cukup panjang' serta semua baju mestilah tidak mendedahkan bahagian bahu dan pinggang. Kot yang diperbuat daripada kulit, jaket denim, pakaian sukan, kasut tumit tinggi, kemeja-T dan sebarang baju yang 'mendedahkan, jarang atau provokatif' adalah tidak dibenarkan.

Pakaian kasual dan pakaian sukan hanya dibenarkan di luar waktu akademik dan makan malam.

Bagi acara rasmi sekolah seperti majlis keraian dan persidangan, pelajar perlu memakai uniform sekolah. Bagi pelajar lelaki, uniform terdiri daripada jaket berwarna biru kelasi, lencana Rosey, kemeja berwarna putih atau biru, tali leher, seluar berwarna kelabu dan kasut hitam. Pelajar perempuan pula perlu memakai jaket biru kelasi, kerongsang Rosey, gaun putih, skarf sekolah berserta sandal atau town shoes.

pakaian rasmi sekolah institut le rosey

Peraturan etiket di Le Rosey adalah sangat ketat. Sebagai contoh, pelajar tidak boleh bercakap sambil tangan dibiarkan berada di dalam poket. Selain itu, pelajar perlu berdiri jika orang dewasa yang sedang bercakap dengan mereka juga sedang berdiri.

Kelas akademik di sini bermula dari jam 8:00 pagi hingga 12:20 tengah hari. Mereka mempunyai waktu rehat untuk menikmati coklat panas. Selepas makan tengah hari, kelas akan disambung pada jam 1:30 petang sehing 3:30 petang.

banyak aktiviti praktikal di institut le rosey

Dengan adanya 150 orang guru, hanya ada purata tidak sampai 10 orang pelajar sahaja dalam setiap kelas. Walau bagaimanapun, bukan kesemua sesi pembelajaran dibuat di dalam bilik darjah yang biasa. Mereka juga membuat banyak latihan praktikal di luar kelas.

Komuniti di sini agak kecil sehingga hampir setiap orang mengenali antara satu sama lain.

pelajar ke teater institut le rosey yang boleh menempatkan 1000 penonton

Antara jam 4:00 hingga 6:00 petang, pelajar mempunyai aktiviti sukan dan kesenian. Pusat Pembelajaran dan Kesenian di sini diberi nama The Paul & Henri Carnal Hall di mana terdapat tiga buah orkestra, dua koir, tiga kumpulan teater, pembelajaran penggambaran dan peluang untuk melibatkan diri dengan tarian, seni dan gastronomi.

Lebih 60% pelajar di sini pandai menyanyi atau bermain instrumen muzik. Mereka juga mengambil bahagian dalam orkestra sekolah, orkestra kamar, koir atau kumpulan muzik rock.

kumpulan orkestra institut le rosey

Dewan Konsert Rosey boleh memuatkan sehingga hampir 1,000 orang penonton. Apabila ia tidak digunakan untuk mengadakan orkestra Filharmonik, persembahan teater atau konsert, ia digunakan oleh para pelajar untuk membuat persembahan di hadapan rakan-rakan dan ahli keluarga semasa acara yang dianjurkan sekolah.

Sukan juga merupakan sebahagian penting dalam aktiviti seharian pelajar di Le Rosey. Sekolah ini menawarkan lebih daripada 25 jenis sukan setiap tahun. Terdapat padang bola dan ragbi, trek lumba lari, gelanggang bola keranjang, bola tampar pantai, gelanggang tenis dan dua gimnasium.

Selain itu, sekolah ini juga mempunyai kandang kuda peribadi yang menempatkan 20 ekor kuda.

kandang kuda di sekolah institut le rosey mempunyai 20 ekor kuda

Pusat nautika sekolah terletak di Tasik Geneva yang menyimpan sebuah kapal layar, perahu dayung dan empat motobot untuk permainan ski air.

Pelajar boleh menuju ke spa sekolah untuk berehat dan mengembalikan tenaga. Spa ini mempunyai sebuah kolam renang, sauna dan bilik mandian hammam yang dibuka untuk para guru dan pelajar pada hari Ahad.

pusat nautika le rosey mempunyai pelbagai kenderaan air yang boleh dinaiki

Setelah penat bersukan, pelajar akan bersiap-sedia untuk makan malam yang akan bermula pada jam 7:30 malam. Ia merupakan sebuah acara rasmi di mana makanan disediakan oleh chef dan pelajar akan menjadi pelayan menggunakan sistem giliran. Pelajar lelaki mesti mengenakan jaket, kemeja dan tali leher manakala pelajar perempuan perlu memakai jaket dan blaus Rosey.

Sewaktu makan malam, pelajar mesti duduk di tempat yang telah ditanda menggunakan kain napkin masing-masing. Tempat duduk ini adalah tetap bagi sepanjang semester.

Pelajar akan berdiri apabila tetamu dewasa tiba ke dalam dewan dan tidak dibenarkan meninggalkan meja sehingga diberitahu oleh pengarah asrama. Semasa makan, mereka perlu menggunakan adab makan orang Swiss. Ini bermakna bahagian belakang badan perlulah dalam keadaan lurus, siku tidak dibenarkan letak di atas meja dan mereka harus mengangkat makanan untuk dibawa ke mulut, bukan menggerakkan kepala merapati pinggan.

makan malam rasmi di institut le rosey pelajar menjadi pelayan secara bergilir

Pelajar tidak dibenarkan memiliki atau mengambil sebarang alkohol semasa berada di kampus atau ketika ekspedisi sekolah pada hujung minggu. Merokok juga dilarang keras dan larangan ini termasuklah semasa di luar kampus.

Waktu selepas makan dihabiskan dengan bilik belajar dan kerja rumah namun mereka juga mempunyai aktiviti kebudayan, makan malam sosial, kuliah, debat dan pelbagai pertandingan. Malah, Phil Collins juga pernah datang untuk membuat persembahan di sini tahun lalu.

dewan konsert institut le rosey

Waktu untuk tidur adalah antara jam 9:00 hingga 11:30 malam mengikut usia. Selepas waktu ini, pelajar tidak dibenarkan berada di mana-mana tingkat bersama seseorang yang berlawanan jantina atau menunjukkan kemesraan secara berlebihan kerana kedua-duanya merupakan kesalahan disiplin yang besar.

Tidak cukup dengan hari minggu, malah hujung minggu pelajar di Le Rosey juga diatur. Sekiranya mereka berada di kampus Rolle, mereka boleh menyertai aktiviti tengah hari seperti bermain boling, menaiki go-kart, menonton wayang atau membeli-belah di Geneva sambil ditemani guru-guru.

sekolah mempunyai dua buah kolam renang indoor dan outdoor

Menurut Laurent, walaupun pelajar-pelajar ini datang daripada latar belakang keluarga berada dan majoritinya berprofil tinggi, namun mereka masih hidup 'normal' seperti kanak-kanak dan remaja lain sebaya mereka. 

Ramai yang mungkin menyangka anak-anak ini sudah biasa dimanjakan dan sentiasa berbicara tentang kereta mewah, rumah agam atau jet peribadi yang dimiliki keluarga. Namun, sangkaan itu sebenarnya meleset.

Mereka sentiasa diajar untuk bersyukur yang mereka dilahirkan dalam sebuah keluarga dengan penuh keistimewaan dan kelebihan. Keistimewaan ini juga bermakna mereka perlu menggalas satu tanggungjawab yang berat iaitu sentiasa membantu orang lain yang lebih memerlukan.

pelajar le rosey hidup normal seperti pelajar lain

Pada tahun lalu misalnya, dua orang pelajar perempuan telah membuat lawatan ke Ghana bersama guru bahasa Inggeris mereka dan berkunjung ke sebuah hospital. Di situ, mereka telah berpeluang bertemu dengan ramai gadis remaja yang menderita fistula obstetrik akibat kelahiran pramatang atau komplikasi berpanjangan semasa kelahiran.

pelajar le rosey berenang sepanjang english channel untuk mengutip dana

Setelah pulang ke Switzerland, mereka membuat keputusan untuk mengumpulkan rakan-rakan dan berenang sepanjang Terusan Inggeris untuk meningkatkan kesedaran tentang fistula obstetrik kepada orang awam. Akhirnya mereka berjaya mengumpulkan dana melebihi CHF100,000 (RM430,000) untuk disumbangkan kepada pihak hospital agar remaja-remaja tersebut boleh menjalani pembedahan yang diperlukan.

pelajar institut le rosey berenang di sepanjang terusan inggeris untuk mengutip derma

Pelajar-pelajar Le Rosey diiktiraf serta dikenali kerana diri mereka sendiri dan bukanlah disebabkan siapa ahli keluarga mereka.

Apa yang penting, sekolah ini berjaya melahirkan pemimpin dalam pelbagai bidang. Generasi pemimpin yang dilahirkan adalah pelapis yang bukan sekadar bercakap kosong malah mampu menjadikan sebuah idea bertukar menjadi kenyataan.

Sehingga kini Le Rosey mempunyai sekitar 5,000 alumni yang bergerak aktif di seluruh dunia.

Rujukan:

1. Institut Le Rosey

2. The International Baccalaureate

3. Town and Country Magazine

4. Telegraph UK




Hakcipta iluminasi.com (2017)