Jerung putih atau lebih dikenali dengan panggilan the great white shark (Carcharodon carcharias) diketahui tidak mempunyai pemangsa semula jadi. Jerung putih boleh dikatakan sebagai ikan makropredatori yang paling terkenal di dunia dan merupakan salah satu pemangsa utama mamalia laut.

Namun, tahukah anda bahawa jerung putih sebenarnya amat takut kepada sejenis lagi hidupan laut ini? Menurut kajian terbaru, ikan paus pembunuh atau orca (orcinus orca) adalah amat ditakuti oleh pemangsa terhebat lautan ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak sekadar sejenis haiwan yang bijak, ikan paus pembunuh yang tergolong dalam keluarga ikan lumba-lumba ini telah berjaya mengenepikan jerung putih sebagai raja pemangsa daripada takhtanya. Satu pasukan saintis laut telah mendapati bahawa jerung putih akan bertempiaran lari apabila mereka menyedari kehadiran orca.

dr salvador jorgensen

Dr. Salvador Jorgensen. Credit : montereybayaquarium

Menurut seorang ahli ekologi marin dari Monterey Bay Aquarium, Salvador Jorgensen, jerung putih akan segera mengosongkan kawasan pemburuan pilihan mereka dan tidak akan kembali sekiranya bertemu dengan orca. Adakalanya sehingga setahun lamanya, walaupun ikan paus pembunuh hanya melintasi kawasan itu sahaja.

Pasukan itu telah mengumpulkan data daripada dua sumber. Sumber pertama ialah 165 ekor jerung putih yang dipasangkan peranti GPS antara tahun 2006 hingga 2013. Manakala sumber kedua pula ialah data 27 tahun populasi orca, jerung dan anjing laut yang dikumpulkan oleh Sains Pemuliharaan Point Blue di Pulau Farallon Tenggara di luar pantai San Francisco.

orca menyerang jerung putih

Paus pembunuh menyerang jerung putih. Credit : inverse

Pasukan itu juga mendokumentasikan empat pertemuan antara jerung putih dan orca di Pusat Perlindungan Marin Negara Farallones. Mereka kemudian menggunakan data ini untuk menganalisis dengan data-data yang diperolehi sebelum ini. 

Analisis yang dilakukan mendedahkan bahawa setiap kali paus pembunuh muncul di rantau ini, pasti jerung putih akan keluar jauh dan meninggalkan kawasan sehinggalah pada musim seterusnya. Jerung putih akan menghilangkan diri dalam hanya beberapa minit sahaja walaupun paus pembunuh hanya berenang di kawasan itu tidak sampai tempoh sejam.

Apa yang mengejutkan ialah perkara itu memberi kelebihan kepada gajah laut (Mirounga angustirostrous) yang mendiami kawasan itu. Ini kerana gajah laut merupakan antara mangsa utama kepada jerung putih.

jerung putih 2

Secara puratanya sekitar 40 kejadian serangan jerung putih terhadap gajah laut di tenggara Pulau Farallon dalam setiap musim. Namun, tiada seekor jerung putih pun yang kelihatan selepas kemunculan paus pembunuh. Ini menjadikan serangan terhadap gajah laut oleh jerung putih menurun sehingga kosong.

Paus pembunuh juga dikenali kerana memakan gajah laut tetapi kumpulan ikan paus pembunuh ini jarang-jarang sekali muncul. Manakala paus pembunuh yang mendiami kawasan itu biasanya menjadikan ikan sebagai makanan.

gajah laut

Jerung putih biasanya tidak melarikan diri terlalu jauh. Kadang-kadang mereka hanya berpindah pada jarak yang selamat di sepanjang pesisir pantai sahaja, di mana mereka tidak begitu jauh dengan koloni gajah laut.

Ada kalanya, jerung putih akan menuju ke tengah-tengah Lautan Pasifik di wilayah yang diberi julukan sebagai "The White Shark Cafe". Jerung putih yang dimaksudkan ini bukanlah bersiaz kecil, sesetengahnya berukuran sehingga 5.5 meter panjang. Dengan saiz itu tidak hairanlah sekiranya jerung putih bebas melakukan apa sahaja.

Namun, saiz itu masih kecil jika dibandingkan dengan paus pembunuh. Di samping itu juga, paus pembunuh telah diperhatikan sering menyerang jerung putih di seluruh dunia termasuklah di Pulau Farallon. Walaupun tidak dapat dipastikan mengapa ia berlaku, ia mungkin disebabkan hati jerung yang lazat serta kaya dengan vitamin dan minyak.

orca

Sama ada jerung putih mempunyai naluri untuk menghindari pemangsa yang lebih hebat atau mungkin mempunyai pengalaman diserang paus pembunuh, motifnya masih lagi tidak begitu jelas.

Interaksi yang berlaku antara pemangsa terhebat di darat sememangnya sering dikaji dan dikenalpasti, tetapi adalah jauh lebih sukar untuk mengkaji perkara yang sama di lautan. Oleh kerana ia tidak berlaku dengan begitu kerap, pengkaji mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk memahami keadaan ini.

Rujukan :

1. Smithsonian Magazine

2. Business Insider

3. The Atlantic




Hakcipta iluminasi.com (2017)