Miriam Rodriguez gementar, tangannya menyembunyikan pistol yang terletak dalam tas tangannya.

Dia memeriksa kembali gambar lelaki didepannya. Dia telah cuba menjejaki lelaki itu selama setahun dalam internet, berusaha mendapatkan lokasi di mana lelaki itu tinggal. Petunjuk tiba selepas ada wanita memberitahu lelaki itu menjual bunga berdekatan sempadan Mexico-Texas.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak tahun 2014, Miriam berusaha menjejaki kesemua individu yang terlibat dalam kes penculikan dan pembunuhan anak perempuannya, Karen Rodriguez yang hilang pada usia 20 tahun.

Majoriti antara suspek lapan orang kesemuanya sudah berjaya diberkas, hasil siasatan yang dijalankan Miriam sendiri.

Demi mendapatkan sebarang bentuk maklumat, Miriam telah banyak kali menyamar menjadi petugas pilihanraya, pegawai kesihatan serta bermacam lagi taktik penyamaran lain. Semua informasi yang diterima direkodkan dalam sebuah buku catatan yang disimpan rapi.

Berdasarkan maklumat Miriam tahu lelaki penjual bunga itu memang terlibat dalam aktiviti kartel digelarkan Kartel Zeta, terlibat menculik anaknya lalu membunuhnya selepas tebusan dibayar, sebelum kembali menjalankan perniagaan bunga bagi mencari sumber pendapatan.

Hadir berdekatan sempadan Texas/Mexico di atas sebuah jambatan, Miriam cuba mengenalpasti lokasi gerai lelaki tersebut. Malangnya lelaki itu berjaya mengenalpasti Miriam - yang pada ketika itu sudah mula dikenali kerana kegigihannya memburu mereka.

Dia cuba melarikan diri.

Miriam yang berusia 56 tahun mula mengejar dibantu beberapa orang ahli keluarga yang turut sama hadir. Lelaki itu berjaya ditangkap, dihenyakkan ke lantai dan Miriam sendiri mengacukan pistol ke kepalanya.

"Bergerak dan aku akan tembak kau!" ugut wanita itu. Hampir sejam selepas itu, polis hadir melakukan tangkapan.

Wira keadilan yang bergerak sendiri

miriam rodriguez buru pembunuh anak

Dalam tempoh lebih 2 tahun, Miriam telah berjaya menangkap hampir kesemua suspek yang menculik anaknya untuk dijadikan tebusan.

Kesemua yang terlibat dalam kes tersebut semasa ditangkap didapati sedang cuba memulakan hidup baru; sama ada sebagai seorang pemandu teksi, penjual kereta, pengasuh - ada juga yang mendekati agama.

Miriam bertanggungjawab memberkas 9 orang ahli kartel kesemuanya, membuka dirinya kepada bahaya kerana berani mencabar pengaruh gerakan kartel apatah lagi menjadi watak penting yang menjurus kepada penangkapan ahli gerakan tersebut.

Apatah lagi Miriam mula menghulurkan bantuan kepada pasangan-pasangan lain yang senasib dengannnya.

Tinggal di mukim San Fernando yang terletak di Tamaulipas, salah satu daerah paling berisiko tinggi di Mexico berlakunya penculikan, kawasan tersebut mencatatkan angka kes culik tertinggi dalam negara itu.

Bagaimanapun kebanyakan keluarga mangsa enggan melaporkan kejadian berikutan rasa gusar akan terus diganggu anggota kartel yang berpengaruh.

Sehinggalah mereka menculik anak Miriam.

Karen Rodriguez hilang pada tahun 2012, sebelum Miriam mula menjalankan operasi siasatan peribadi yang membawanya kepada penemuan tubuh anaknya dalam sebuah kubur tidak bertanda pada tahun 2014.

Siasatan demi siasatan yang dijalankan berjaya mengesan kesemua yang terlibat dalam pembunuhan tersebut sebelum laporan polis dibuat.

Bagaimanapun harga yang perlu dibayar Miriam agak tinggi.

Penculikan Karen atas faktor wang ringgit

san fernando risiko penculikan

Miriam menerima panggilan telefon pada satu hari, memberitahu tentang penculikan anaknya dan hanya bayaran tebusan mampu menyelamatkan nyawa anaknya itu.

Jadi Miriam melakukan apa yang perlu dia lakukan sebagai seorang ibu.

Selepas berbincang dengan bekas suaminya, dia ke bank, melakukan pinjaman peribadi dan menuruti arahan kumpulan penculik. Selepas wang ditinggalkan di lokasi yang ditetapkan oleh bekas suaminya, kelibat Karen masih belum dipulangkan.

Miriam dan bekas suaminya cuba berhubung, memberanikan diri meminta wakil kartel bertemu dengan mereka untuk berbincang.

Mengejutkan - mereka bersetuju.

Seorang lelaki muda bertubuh kurus bertemu mereka di sebuah restoran. Pemuda itu berdolak dalih mengatakan bahawa kartel tidak menculik anaknya, sebaliknya dia menawarkan diri untuk membantu mereka menjejaki Karen dengan bayaran $2,000 (RM8,050).

Sepanjang pertemuan itu, radio yang dipegang pemuda itu berbunyi, berkomunikasi dengan pemuda tersebut memberikan arahan tentang tindakan selanjutnya. Miriam dan suaminya hanya mendengar, akur bersetuju.

Wang bertukar tangan dan janji agar Karen akan dibantu, diberikan pemuda itu. Seminggu kemudian pemuda mula mengelakkan panggilan, tanpa ada khabar berita.

Namun panggilan-panggilan lain mula hadir di rumah Miriam, mendakwa merekalah pihak menculik Karen meminta agar tebusan dibayar. Sama seperti sebelumnya, wang dituntut bagi memastikan Karen selamat.

Tidak banyak yang boleh dilakukan Miriam dan bekas suaminya ketika itu, selain daripada terus membayar dengan harapan Karen selamat. Malang bagi mereka situasi sama berulang, tidak ada sebarang petunjuk anggota kartel mahu memberikan kerjasama.

Sifat Miriam mula berubah selepas banyak kali dikecewakan.

Dia berikrar akan memberanikan diri, mula menjejaki satu per satu mereka yang terlibat walau apa pun yang terjadi.

Miriam merancang strateginya sendiri. Langkah pertama adalah dengan menjejaki sendiri lelaki yang berani menemui mereka di restoran sebelum itu, yang hanya dikenali dengan nama Sama, diketahui hasil perbualan mereka melalui radio walkie-talkie.

Pemecah kebuntuan kes

ahli kartel penculikan karen rodriguez sama

Semasa Karen diculik, seorang mekanik juga turut sama menjadi mangsa penculikan hanya kerana secara kebetulan dia hadir ke lokasi di mana Karen dibawa.

Miriam berjaya mengenalpasti mekanik tersebut yang terselamat dibebaskan, mengesahkan penglibatan pemuda bernama Sama itu semasa penculikan berlaku, berbeza dengan dakwaan pemuda itu sebelum ini.

Miriam mula menelaah Facebook menggunakan akaun milik Karen, cuba mendapatkan sebarang petunjuk yang boleh membantu. Dia mencari semua akaun yang berkemungkinan berkait dengan pemuda bernama Sama.

Sehinggalah pada satu hari muncul gambar pemuda tersebut dalam skrinnya; berdiri di sebelah seorang wanita yang bekerja di sebuah kedai ais krim, terletak 2 jam perjalanan dari lokasi rumahnya.

Miriam berusaha menjejaki wanita tersebut selama lebih seminggu. Selepas 7 hari, barulah Sama (gambar di atas) muncul kali pertama untuk menjemput wanita tersebut untuk pulang.

Dengan berhati-hati Miriam mengekori mereka berdua, merekodkan alamat tempat tinggal pasangan itu.

Tahu alamat saja tidak mencukupi untuk melakukan dakwaan, Miriam mula memberanikan diri menyamar sebagai pegawai kesihatan, memakai semula uniform khas dengan kad pengenalan diri lamanya yang sudah lama tidak dipakai selepas tamat perkhidmatan.

Miriam mengetuk pintu rumah ke rumah berhampiran kediaman Sama, cuba mendapatkan apa saja maklumat yang ada bagi membolehkan dia mempunyai bukti kes untuk dibentangkan kepada polis.

Hasil siasatannya yang dijalankan selama beberapa minggu berjaya menghubungkan Sama dengan beberapa orang lagi anggota kartel.

Namun selepas waran dikeluarkan, pemuda bernama Sama itu sempat melarikan diri seolah tahu dia diburu.

Petunjuk yang membawa kepada penemuan kubur tak bertanda

2020 11 20 db tamaulipas 00235 videosixteenbynine480

Takdir akhirnya membantu keluarga Miriam.

Selepas gagal menjejaki satu-satunya individu yang mampu membuka peluang mereka untuk menyelamatkan Karen, Sama secara tiba-tiba muncul di kedai milik anak Miriam mahu membeli barangan.

Luis, anak Miriam yang menguruskan kedai tersebut mengenalpasti Sama hasil siasatan ibunya sendiri, bertindak menghubungi ibunya dan pihak polis, lalu mengekori Sama ke sebuah plaza yang dikerumuni orang ramai.

Polis berjaya memberkas Sama dibantu Luis malam itu.

Sama yang tidak tahan disoal siasat mula membuka mulut memberikan nama-nama mereka yang terlibat dalam kes penculikan tersebut. Salah seorang yang terlibat adalah seorang remaja bawah umur bernama Cristian Gonzalez, yang kelihatan cukup gementar semasa ditahan dan disoalsiasat.

Dia masih terlalu muda untuk menjadi seorang anggota kumpulan kartel jenayah tetapi maklumat yang dia berikan amat membantu Miriam dan pihak polis.

Dibawa ke pusara anak kandung yang tak bertanda

karen kubur tak bertanda

Cristian yang masih mentah, membuka mulut selepas berjaya dipujuk berjanji untuk membawa mereka ke kawasan di mana semua mangsa penculikan mereka dibawa untuk diuruskan; sebuah pondok kecil yang terletak disebuah kawasan terpencil.

Miriam ketika itu mula menerima hakikat anaknya telah tiada.

Ditemani pasukan keselamatan, Miriam dan Luis hadir ke pondok tersebut, menemui selendang yang dipakai Karen serta kusyen trak yang dipandu semasa dia diculik. Hasil kajian yang dijalankan ke atas kawasan tersebut membawa kepada penemuan banyak tulang-tulang dan rangka manusia mangsa penculikan yang mati dibunuh.

Salah satu tulang yang ditemui, milik anaknya Karen.

Dalam penggalian-penggalian seterusnya, dianggarkan sudah lebih 72 orang mangsa penculikan ditemui ditanam di kawasan tersebut - menampakkan aktiviti tersebut sebenarnya sudah berlaku bertahun-tahun lamanya tanpa diketahui pihak berkuasa Mexico.

Pengaruh kartel membelenggu masyarakat Mexico

kediaman miriam rodriguez kini

Pada bulan Mac 2017, lebih 20 orang tahanan penjara berjaya meloloskan diri daripada tahanan.

Apa yang membimbangkan, beberapa orang di antaranya adalah individu yang berjaya diberkas Miriam semasa penyiasatannya. Berpunca daripada masalah itu, Miriam memohon bantuan perlindungan polis takut-takut ada yang cuba membalas dendam.

Walaupun begitu, Miriam masih tidak berhenti menyiasat, tangkapan terakhirnya berlaku sebulan sebelum itu - seorang wanita muda yang bekerja sebagai pengasuh yang turut sama terlibat dalam sindiket penculikan.

Kehilangan Karen membuatkan Miriam dan suaminya kembali hidup bersama.

Tanggal 10 haribulan Mac 2017, sebuah van putih berjenama Nissan menunggu di sebuah persimpangan, menantikan Miriam keluar daripada kereta, selepas keluar membeli barangan.

Kereta miliknya diparkir di bahagian bahu jalan, lalu Miriam berjalan terhencot-hencot keluar akibat kecederaan pada bahagian buku lali dalam serbuan kali terbarunya. Van putih itu segera bergerak berhenti di hadapan rumah Miriam yang baru saja masuk ke rumah.

Beberapa orang yang ada dalam van tersebut bergegas keluar melepaskan tembakan rambang 13 kali ke arah Miriam. 12 peluru menembusi tubuh Miriam disaksikan suaminya yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Beliau meninggal dunia semasa cuba dikejarkan ke hospital, ditemani suaminya.

Dua bulan selepas insiden tersebut, pihak polis Mexico berjaya menahan dua suspek tembakan tersebut serta menembak mati seorang lagi yang menyerang balas semasa tangkapan cuba dilakukan.

kisah ibu yang membalas dendam anaknya mexico

Hasil rekod siasatan yang dijalankan Miriam, berjaya membantu pihak polis menjejaki suspek terakhir kes penculikan Karen - seorang lagi wanita yang cuba memulakan hidup baru sebagai seorang pemandu teksi yang dikenalpasti terlibat menyeksa Karen semasa penculikan.

Wanita tersebut diberkas pada bulan Jun tahun yang sama, beberapa bulan selepas Miriam ditembak mati. Dia diberkas bersama-sama anaknya yang masih kecil dan masih memerlukan jagaan penjaga.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel She Stalked Her Daughter’s Killers Across Mexico, One by One terbitan New York Times pada 13 Disember 2020.




Hakcipta iluminasi.com (2017)