jerung putih great white shark tidak boleh dibela akuarium

Ikan jerung adalah pemangsa paling dahsyat di lautan dan menjadi mimpi ngeri bagi haiwan laut lain.

Dan sudah pastinya ramai di antara kita pernah melihat pelbagai jenis spesis ikan jerung yang diletakkan dalam akuarium.

Akan tetapi, hampir semua daripada kita tidak pernah dan tidak akan berpeluang melihat jerung putih di akuarium pameran.

Untuk berdekad-dekad, pihak pengendali akuarium cuba untuk “membela” spesis ikan pemangsa terbesar di dunia.

Institusi-institusi akuarium seperti Marineland, SeaWorld dan Steinhart Aquarium berulang kali membawa masuk jerung putih sekitar tahun 1970-an, 80-an dan 90-an.

Salah satu sebabnya kerana pameran jerung ini menarik ramai pengunjung.

Namun, mereka berhadapan dengan masalah yang sama iaitu jerung ini tidak dapat bertahan lama.

mengapa jerung putih tak boleh hidup dalam akuarium

Sesetengah jerung putih memerlukan bantuan untuk berenang dan semuanya tidak mahu makan.

Tempoh paling lama jerung putih bertahan dalam akuarium hanyalah 16 hari.

Satu laporan bada tahun 1984 oleh Steinhart Aquarium menulis:

“Dalam kebanyakan kes, boleh dikatakan bahawa kesemua jerung yang ditangkap ini hanya akan berhadapan dengan kematian, dengan sesetengah daripadanya bertahan lebih lama dari yang lain,”.

Pihak berkenaan membina tangki pengangkutan yang rumit dengan bendalir IV, tetapi masih tidak dapat mengelakkan jerung ini daripada mati. 

Sehinggalah pada tahun 2004, apabila Monterey Bay Aquarium membuktikan bahawa mereka mampu mengelakkan jerung putih daripada mati dalam akuarium sekurang-kurangnya 6 bulan.

Usaha ini bukanlah sesuatu yang mudah dan tiada siapa yang berjaya melakukannnya sejak itu.

monterey bay aquarium tangkap jerung putih

Menurut Jon Hoech, Pengarah Operasi Penternakan Monterey Bay Aquarium, pendekatan yang digunakan adalah sejenis urutan sistemik dan logik yang membawa kepada kejayaan mereka.

Ini bermula dengan perancangan tanki yang sangat rapi.

Monterey Bay Aquarium memiliki tangki berbentuk telur dengan kapasiti berjuta-juta gelen dengan kedalaman 10.66 meter yang direka bentuk untuk haiwan lautan terbuka seperti tuna dan jerung.

Mereka bukan sahaja memerlukan tangki besar, tetapi juga memerlukan jerung yang bersaiz kecil untuk tujuan demikian.

Jerung putih dewasa mampu mencapai panjang purata sekitar 4.57 meter dan jerung yang ditangkap oleh Monterey Bay Aquarium pada tahun 2004 hanyalah berukuran 1.32 meter berusia kurang dari setahun.

Ini membuatkan ia lebih mudah dipindahkan dan dijaga. 

“Ketika jerung ini masih kecil, ia makan ikan-ikan lain. Dan semakin ia membesar, jerung ini akan berubah kepada memakan mamalia. Jadi kami mensasarkan kepada golongan usia yang mana kami tahu kami dapat memberikan makanan semula jadi kepada haiwan ini,” kata Jon Hoech.

ikan jerung putih dipindahkan dari lautan ke akuarium

(Bayi jerung putih dalam tangki pengangkutan dalam perjalanan ke Monterey Bay Aquarium)

Sebaik sahaja jerung ini ditangkap, ia tidak dibawa terus ke akuarium.

Sebaliknya, pasukan Monterey Bay Aquarium menghasilkan kawasan sangkar dengan isipadu air 15 juta liter di lautan.

Dengan cara ini mereka dapat memantau ikan jerung putih ini dan melihat sama ada mereka perlu memberi makan sebelum memindahkannya ke dalam tangki pengangkutan untuk dihantar dari California Selatan ke akuarium.

Seperti ikan-ikan lain, jerung memerlukan air melalui insang secara terus-menerus untuk mendapatkan oksigen. 

Kebanyakan spesis boleh membuka dan menutup mulut untuk mengepam air masuk ke dalam.

Namun bagi jerung putih dan beberapa lagi spesis lain, ia tidak melakukan sedemikian.

Untuk bernafas, spesis ini perlu bergerak ke hadapan melalui air dengan mulut terbuka dan ini menjelaskan mengapa jerung putih menjadi lemah sebaik sahaja ia tersangkut di jaring atau jala.

jerung putih tersangkut pada jala

Inilah juga sebab mengapa jerung putih memerlukan tangki pengangkutan yang dibina khas dengan sokongan hayat mudah alih.

Ketika jerung putih ini dipamerkan, kehadiran pengunjung di akuariaum tersebut melonjak 30%.

Dan selepas hampir 7 bulan, pihak akuarium memutuskan untuk jerung ini kerana ia telah membunuh 2 lagi jerung lain.

Untuk tempoh 6 tahun kemudian, Monterey Bay Aquarium mempamerkan 5 lagi bayi jerung putih yang diperolehi daripada nelayan yang diupah dan yang lainnya hasil tangkapan sendiri.

Tempoh jerung putih tersebut tinggal di akuarium adalah di antara 11 hari dan 5 bulan.

Ini merupakan satu kejayaan besar oleh Monterey Bay Aquarium kerana melakukan sesuatu yang tidak mampu dilakukan orang lain.

luka pada muncung jerung

Namun, ia memberikan kesan negatif kepada jerung putih terbabit di mana terdapat luka pada ikan tersebut disebabkan terlanggar bahagian sisi akuarium.

Biasanya, institusi akuarium menangkap jerung putih yang tinggal berhampiran dengan terumbu karang atau dasar laut.

Ini kerana adalah lebih mudah untuk menghasilkan semula habitat sedemikian di dalam akuarium. 

Namun dalam beberapa dekad terakhir, institusi akuarium mahu membawa masuk ikan jerung pelagik yang lebih besar iaitu spesis yang hidup lama mengembara di lautan terbuka.

Malah, mereka boleh mempamerkan jerung terbesar di dunia iaitu jerung paus jika mempunyai tangki yang cukup besar.

Akan tetapi, jerung pelagik sudah biasa berenang pada jarak yang jauh tanpa sebarang halangan dan mengubah arah sesuka hati.

Jadi, spesis jerung yang berenang laju termasuklah jerung putih, jerung mako dan jerung biru mempunya masalah besar jika dimasukkan ke dalam akuarium.

pihak monterey bay aquarium melepaskan jerung putih

Dan inilah yang terjadi terhadap jerung putih keenam di Monterey Bay Aquarium pada tahun 2011, membuatkan mereka memutuskan untuk melepaskan jerung tersebut selepas 55 hari dalam akuarium.

Apa yang menyedihkan adalah tag pengesanan yang dipasang pada jerung tersebut menunjukkan bahawa ia mati tidak lama selepas dilepaskan.

Lebih buruk, sebab mengapa ini terjadi tidak masih tidak diketahui.

Sejak itu, Monterey Bay Aquarium tidak lagi menangkap jerung putih untuk diletakkan di dalam akuarium.

Pada awal tahun 2016, jerung putih dengan ukuran 3.5 meter dibawa masuk ke dalam akuarium di Okinawa, Jepun untuk dipamerkan.

Dan dalam hanya 3 hari, ikan malang tersebut didapati mati.

Sememangnya manusia tidak dapat mampu untuk menjaga dan memberikan kehidupan sebenar kepada haiwan unik ini.

Rujukan:

1. Science Alert

2. Xov

3. Reader's Digest



Hakcipta iluminasi.com (2017)