Ikan empurau merupakan ikan air tawar boleh dimakan yang paling mahal di Malaysia. Ikan asli dari negeri Sarawak ini, yang juga dikenali sebagai ikan kelah, mempunyai reputasi tinggi dari segi rasa dan teksturnya sehingga dikenali di seluruh dunia.

Kesukaran ditemui dan kadar pertumbuhan yang perlahan juga membuatkan ikan ini menjadi buruan. Faktor-faktor istimewa inilah yang menyumbang kepada harga tinggi yang mencecah ribuan ringgit. Walaupun dunia Barat tidak menganggap ikan dari keluarga kap ini sebagai satu hidangan istimewa, namun seekor ikan empurau yang besar sangat tinggi nilainya kerana isinya yang kaya, halus dan bertekstur kenyal.

ikan empurau

Isi ikan empurau mempunyai rasa yang unik hasil diet buah-buah tempatan yang jatuh ke dalam sungai. Ia sering digambarkan sebagai berlemak, savuri, sedikit manis dan mempunyai sedikit rasa buah liar.

Dahulu, nelayan Dayak sering menangkap ikan empurau untuk dijadikan hidangan sekeluarga. Hari ini, ikan ini seringkali ditangkap untuk mengaut keuntungan. Nelayan tempatan jarang sekali memasaknya untuk diri sendiri kerana bakal kerugian punca pendapatan untuk berbulan lamanya!

Ikan empurau dan juga ikan asli negeri Sarawak yang lain diancam oleh industri perikanan yang tidak terkawal. Ini disebabkan penangkapan seekor ikan empurau dewasa seberat 5kg bererti si penangkap seolah-olah memenangi loteri. Jika dimasak di restoran, ikan ini boleh menelan belanja antara USD300 - USD500 (RM1,182 - RM1,970) seekor.

Mengenai ikan empurau

Ikan empurau atau nama saintifiknya tor tambroides yang juga dikenali sebagai ikan kelah atau belian boleh dijumpai di Asia Tenggara. Selain Malaysia, spesies ini juga boleh ditemui di Sungai Chao Phraya di Thailand dan juga di Sungai Mekong yang merentasi beberapa buah negara.

Walau bagaimanapun, ikan empurau di Borneo dikatakan paling istimewa dan lebih bernilai kerana diet serta pemakanannya.

ikan empurau ikan kelah raja sungai wan bu liao

Ikan air tawar ini sering mencari makanan di dasar sungai. Sifat omnivornya bermakna ia akan memakan apa sahaja yang boleh dijumpai. Ikan empurau di Sarawak dilaporkan bertahan dengan diet buah-buahan liar yang gugur dari pokok di sepanjang sungai di sana. Hasilnya, isi ikan ini lebih unik, manis dan lemak.

Ikan ini dianggap sangat jarang ditemui dan sangat enak sehingga ia mendapat jolokan "Wang Bu Liao" dalam bahasa Cina yang membawa makna 'sukar dilupakan.' Selain itu, ia juga sering digelar "Raja Sungai."

Walaupun begitu, ikan empurau ini tidak selalu dimakan. Spesies ikan tor tambroides ini mempunyai rupa paras yang menarik dan berkilau serta dikenali sebagai pejuang yang bengis. Ia sering diburu di seluruh Asia untuk dijadikan ikan hiasan sebagai simbol kekayaan dan nasib baik. Maka, tidak hairanlah harganya mampu melambung tinggi.

Berapakah harga seekor empurau?

Seekor ikan empurau seberat 1kg yang dihidangkan di restoran boleh mencecah USD300 - 500. Harganya berubah-ubah mengikut usia dan berat ikan tersebut. Apabila ada ahli perniagaan kaya yang terbang dari China atau Singapura, kos ini tidak menjadi halangan apabila mereka ingin mengambil hati mana-mana pihak. Adakalanya harga ikan ini melangkaui USD500 setiap kilogram.

ikan empurau ikan termahal dalam malaysia

Ikan empurau putih yang sedikit pendek kebiasaannya bernilai lebih tinggi daripada ikan empurau merah. Ikan dengan berat melebihi 3kg dikatakan lebih diminati kerana isinya yang padat dan kenyal. Selain itu, ikan yang ditangkap di sekitar Kapit juga sering mencecah harga yang paling tinggi.

Pada bulan Mac 2016, Borneo Post pernah melaporkan seekor ikan empurau gergasi seberat 7.9kg telah berjaya dijual pada harga RM7,900. Tahun sebelumnya, seekor empurau dengan berat 27kg telah dijual pada harga RM15,000.

Kenapa ikan ini begitu mahal?

Antara sebab utamanya adalah kesukaran dijumpai. Ikan empurau liar berasal dari Sarawak dan hanya boleh ditemui di dalam sungai-sungai di negeri ini. Namun, hanya beberapa kawasan sepanjang tebing sungai di sana sahaja mempunyai pokok buah-buahan yang betul sebagai makanan ruji ikan empurau.

harga ikan empurau paling mahal dalam malaysia

Selain itu, empurau juga membiak dan membesar secara perlahan. Secara umumnya, ia perlu hidup bebas sekurang-kurangnya selama tiga tahun sebelum boleh mula dipasarkan dengan harga yang tinggi.

Sejak ikan ini mula diternak secara komersial, harganya telah mula jatuh. Namun demikian, ikan empurau liar masih menjadi pilihan dan mempunyai harga yang tidak mampu dimiliki semua orang.

Adakah ikan empurau merupakan spesies terancam?

Kesatuan Pemuliharaan Alam Antarabangsa tidak mempunyai data yang banyak berkenaan kedapatan dan kesihatan ikan ini. Namun, jika diperhatikan daripada reputasi dan harga semasanya, ikan yang lambat membiak ini pada amnya boleh dianggap agak terancam.

Seperti kebanyakan spesies lain di Borneo, ikan empurau menghadapi masalah kehilangan habitat yang semakin kronik. Pembalakan berterusan untuk memberi laluan kepada ladang kelapa sawit merupakan masalah yang meluas di kawasan itu.

ikan empurau ikan kelah najib razak ikan raja sungai termahal dalam malaysia

Tetapi wujud juga beberapa berita baik di sebalik kerisauan ini. Dengan penambahbaikan teknik penternakan ikan empurau, hidangan lazat ini dijadikan alternatif kepada produk sirip ikan yu yang sering dijamu pada majlis perkahwinan dan banquet. Mungkin suatu hari nanti ikan air tawar ini mampu melegakan tekanan ke atas populasi ikan yu yang semakin berkurangan.

Selain itu, hanya empurau dewasa sahaja yang mempunyai nilai kerana ikan yang kecil mengandungi kandungan lemak tinggi yang membuatkan isinya menjadi terlalu lembut. Ini memberikan kelebihan kepada anak-anak ikan empurau untuk hidup bebas dan menjadi matang.

Bolehkah ikan empurau diternak?

Banyak percubaan menternak dan membela ikan empurau secara tiruan dijalankan namun banyak menemui kegagalan pada peringkat awal. Satu usaha sama akuakultur antara Deakin University, Australia dan kerajaan Sarawak telah menunjukkan tanda-tanda kejayaan bagi spesies ini.

Kumpulan The Royal Empurau telah ditubuhkan pada tahun 2016 dengan misi untuk penternakan empurau secara berterusan bagi memenuhi perintaan yang semakin tinggi.

ikan empurau ikan paling mahal dalam malaysia

Empurau separa liar yang diternak di dalam kolam juga adalah sedikit murah di restoran jika dibandingkan dengan ikan yang ditangkap secara liar. Kerajaan Sarawak berharap suatu hari nanti ikan ini boleh menjadi hasil eksport yang mampu menjana dan meningkatkan pendapatan negeri ini.

Jika anda berkunjung ke Sarawak, bolehlah mencuba sendiri ikan yang mahal dan 'tidak dapat dilupakan' ini. Masak apa yang sedap ya?

Sumber:

1. Borneo Post (12)

2. NST

3. Royal Empurau


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)