Oleh pada 16 Sep 2021 kategori

Paus sperma atau nama saintifiknya physeter macrocephalus adalah haiwan gergasi yang sangat unik dan mudah dikenal pasti melalui kepala yang besar serta dahi bulat yang menonjol.

Haiwan ini mampu membesar dengan panjang sekitar 14.9 meter hingga 17.9 meter, dengan berat sekitar 35 hingga 45 tan.

Sebagai perbandingan, saiz paus sperma adalah hampir sama dengan saiz sebuah bas.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ketika ini, paus sperma dikategorikan sebagai terancam dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).

iluminasi.com kongsikan 6 fakta tentang paus sperma yang ramai tidak tahu.

1. Paus sperma dewasa memiliki otak paling besar di dunia 

otak paus sperma paling besar di dunia

Selain merupakan haiwan dengan kepala paling besar di dunia, otak yang dimiliki ikan gergasi ini mampu mencecah berat 7.71 kilogram, iaitu otak yang paling besar di dunia.

Sebagai perbandingan, otak yang dimiliki manusia hanya sekitar 1.36 kilogram, bermakna berat otak paus sperma hampir 6 kali ganda otak manusia.

Walaupun begitu, manusia mempunyai kelebihan dari segi perkadaran berat badan dengan berat otak, di mana berat otak manusia hanya merangkumi 2% dari berat badan, berbanding hanya 0.2% daripada berat badan paus sperma.

2. Asal-usul nama paus sperma 

paus sperma

Ikan paus sperma mendapat namanya melalui bahan putih melekit separa cair yang dihasilkan oleh organ seperti tong di dalam kepala ikan paus ini, yang pada mulanya dipercayai sebagai sperma.

Ketika pemburu ikan paus suatu masa dahulu menemui bahan ini, mereka menganggap bahan ini mempunyai fungsi pembiakan dan digelar sebagai "spermaceti" yang membawa maksud "benih ikan paus".

Ini sekaligus memberikan nama ikan ini "paus sperma".

Namun untuk berabad lamanya, pakar-pakar masih mencari apa fungsi biologi sebenar bahan ini.

Sesetengah saintis mengatakan bahawa spermaceti membantu mengatur daya apung sementara manakala yang lain menganggapnya bertindak sebagai penyerap hentakan untuk melindungi otak paus jantan ketika musim mengawan.

Pendapat lain adalah "sperma" ini dapat membantu ikan ini menghasilkan bunyi jarak jauh untuk mencari mangsa di kedalaman lautan yang gelap.

3. Gemar makan sotong

Tiada makhluk di dunia ini yang lebih gemar memakan sotong seperti mana paus sperma.

Secara purata, paus sperma betina memakan 700 hingga 800 ekor sotong setiap hari termasuk sotong gergasi, manakala paus sperma jantan memakan antara 300 dan 400 ekor sehari.

Kandungan dalam perut ikan ini mendedahkan bahawa sotong gergasi adalah antara beberapa spesies yang menjadi makanan utama paus sperma.

Malah, haiwan ini makan dengan begitu kerap dan boleh memakan sehingga 3% berat badan, kadang-kala boleh mencecah 2 tan setiap hari.

4. Pemangsa bergigi terbesar di dunia

gigi paus sperma

Selain daripada memiliki otak terbesar di dunia, makhluk gergasi ini yang merupakan paus karnivor juga memegang gelaran sebagai pemangsa bergigi terbesar di dunia.

Walaupun begitu, paus sperma tidak menggunakan giginya untuk tujuan berburu tetapi lebih suka menelan mangsanya secara terus tanpa perlu menggigitnya terlebih dahulu.

5. Penyelam yang sangat handal

paus sperma penyelam handal

Seperti yang dinyatakan di atas, antara menu utama paus sperma adalah sotong raksasa.

Untuk mencari sotong-sotong gergasi ini, paus sperma perlu menyelam ke laut dalam.

Paus sperma mampu menyelam sehingga ke kedalaman 1 kilometer dengan tempoh sehingga 90 minit hanya dengan satu tarikan nafas.

Kebolehan ini menjadikan mamalia ini sebagai penyelam yang tersangat hebat walaupun ia bersaiz gergasi.

6. Kumpulan paus diketuai paus betina

kumpulan paus sperma

Sebagai spesis martriarki iaitu yang diketuai oleh spesis betina, paus sperma lebih cenderung untuk membentuk kumpulan paus betina dewasa dan paus yang lebih muda supaya yang lebih muda dapat belajar dari paus betina dewasa untuk menjadi dewasa yang "lebih berjaya".

Kumpulan ini biasanya terdiri daripada 15 hingga 20 ekor paus sperma.

Paus sperma jantan lebih gemar berenang secara bebas atau menukar kumpulan secara berkala. 

Rujukan:

1. National Wildlife Federation

2. National Geographic

3. Mental Floss




Hakcipta iluminasi.com (2017)