Oleh pada 20 Oct 2022 kategori

Bagi seorang pengguna, satu tarikan utama dalam membeli atau mencuba sesuatu produk adalah jaminan waranti yang ditawarkan pengeluarnya. Majoriti pengeluar menawarkan tempoh jaminan 1 atau 2 tahun kebiasaannya bagi produk mereka.

Kadangkala seperti kebetulan yang dirancang, habis saja tempoh waranti mulalah produk yang kita beli menampakkan tanda-tanda mula bermasalah dan berpenyakit.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tidak bagi 10 jenama di bawah. Kesemua jenama yang kami senaraikan terlebih percaya dengan kualiti produk yang mereka tawarkan, sehingga berani menawarkan skim jaminan sepanjang hayat.

Adakah anda salah seorang pemilik jenama-jenama ini?

1. Dr. Martens

dr martens jaminan sepanjang hayat

Kasut kulit yang pernah menjadi trend popular anak muda kita satu masa dulu, masih menjadi rebutan. Khususnya siri kasut 'Guaranteed For Life' yang tertera di bahagian tapaknya.

Bagaimanapun bermula bulan Mac tahun 2018, Dr. Martens telah memberhentikan pemberian jaminan sepanjang hayat kepada produk baru mereka.

Walaupun demikian janji tetap janji. Mereka tetap menghormati janji sepanjang hayat model kasut yang telah terjual. Siapa yang ada kasut ni, memang bertuahlah. Dah jadi barang rare.

2. JanSport

jansport jaminan sepanjang hayat

Siapa sini pernah memiliki beg jenama JanSport yang asli?

Dulu semasa dekad 90-an, ramai anak muda kita mengendong beg ini ke sana ke mari. Pada masa itu, banyak produk ciplak jenama ini dijual secara terbuka.

JanSport (yang asli) menawarkan program jaminan sepanjang hayat kepada semua pembeli produk beg mereka, asalkan anda membeli produk jenama ini daripada ejen jualan yang sah di Malaysia.

Harga produk JanSport jika kita tengok, setara saja dengan jenama lain tetapi ini kelebihan mereka.

3. Victorinox

swiss army knives victorinox

Syarikat Victorinox adalah pengeluar peralatan pisau 'Swiss Army Knives', memang itulah nama rasmi produknya.

Semua produk 'Swiss Army Knives' diberikan jaminan sepanjang hayat bagi melindungi keyakinan pembeli, kerana kita semua tahu pisau sebegini biasanya digunakan dalam aktiviti lasak dan sukar.

4. Kingston

kingston ram memori jaminan

Bagi peminat barangan PC, Kingston merupakan antara nama yang dipercayai kerana mereka berani memberikan jaminan seumur hidup, untuk produk komputer keluaran mereka.

Bagaimanapun, bukan semua produk mereka duduk dalam kategori ini. Jaminan ini hanya meliputi modul memori komputer atau RAM dan juga kad memori pelbagai varian seperti Micro SD dan CF.

Pemacu USB (thumbdrive) di bawah jenama Kingston hanya diberikan jaminan 5 tahun sahaja. Alaa...

5. Zippo

zippo jaminan lifetime

Untuk orang yang suka menyalakan api, pemetik api Zippo adalah idaman mereka.

Kemampuan api yang terhasil tidak mudah padam walaupun berdepan angin kencang memang mengagumkan. Selain itu ramai juga individu kerap berlatih menyalakan Zippo dengan pelbagai gaya.

Mana-mana pemetik api Zippo yang telah anda beli, dijamin kelengkapannya sepanjang hayat kecuali bahagian yang perlu ditukar ganti seperti sumbu.

Anda tak perlu risau gerakan silap mata anda yang telah dilatih sekian lama, terkubur sebegitu saja hanya kerana pemetik api anda rosak.

6. Targus

beg targus waranti seumur hidup

Bagi mereka yang kerap membawa peranti elektronik ke mana saja, jenama beg Targus merupakan antara produk yang dipercayai kualitinya.

Sebuah syarikat dari London yang mempunyai sejarah panjang dalam penghasilan produk mobiliti untuk komputer, kesemua produk Targus dalam kategori beg, beg sandang dan bekas simpanan mempunyai jaminan sepanjang hayat.

Asalkan barangan itu tidak berpindah milik atau dijual kepada orang lain.

7. Tupperware

tupperware jaminan seumur hidup

Jenama yang diyakini para ibu, Tupperware terkenal sebagai syarikat yang benar-benar menghormati jaminan sepanjang hayat ke atas semua produk mereka.

Jaminan yang ditawarkan juga unik kerana turut melindungi banyak kategori kerosakan yang boleh berlaku secara semulajadi. Sekiranya anda tertoreh bekas Tupperware anda dengan pisau, maaf. Kerosakan seperti itu tak dilindungi.

Sekiranya suami anda menghilangkan bekas Tupperware kesayangan anda, harap maaf juga - anda kena beli baru.

8. The North Face

the north face backpack

Jenama The North Face terkenal sebagai pengeluar baju sejuk dan jaket berkualiti dan cawangan jualan rasminya di negara kita juga boleh dikatakan banyak.

Kesemua produk mereka dilindungi dengan jaminan sepanjang hayat termasuklah beg sandang dan alatan perkhemahan, kecuali kasut.

Produk kasut jenama ini hanya dilindungi jaminan 1 tahun sahaja.

9. Volvo

alat ganti volvo malaysia

Secara asasnya, jenama kereta Volvo di Malaysia menawarkan 5 tahun jaminan tanpa had perjalanan ke atas kesemua model kereta mereka yang dijual di sini.

Bagaimanapun bagi menambah keyakinan pembeli setia, Volvo menawarkan program jaminan yang unik. Mana-mana alat ganti model kenderaan jenama ini yang dipasang semasa proses pembaikian di pusat servis bertauliah Volvo selepas 1 Oktober 2021, dilindungi dengan jaminan sepanjang hayat.

Ini bermakna sekiranya berlaku semula sebarang kerosakan ke atas alat ganti yang ditukar, pihak Volvo Malaysia tidak mengenakan sebarang kos dan caj ke atas proses membaikinya semula; selagi mana pelanggan menggunakan servis pusat servis bertauliah, bukan bengkel tepi jalan.

10. Basikal Decathlon

basikal btwin decathlon

Basikal jenama BTWIN keluaran syarikat gergasi alat sukan Decathlon, mempunyai reputasi yang baik dalam aspek kualiti dan kelengkapan.

Populariti jenama ini juga dibantu harga yang agak munasabah serta tidak mengosongkan poket pengguna, berbanding jenama lain dengan spesifikasi sama.

Kesemua model basikal BTWIN, baik dalam kategori jalan raya, basikal lasak atau basikal kanak-kanak, dilindungi keseluruhan bahagian rangkanya sepanjang hayat melalui program jaminan Decathlon - asalkan pembeli masih mempunyai resit atau bukti pembelian.




Hakcipta iluminasi.com (2017)