Dalam sejarah dunia perubatan, vaksin telah memainkan peranan penting bagi mengekang penyebaran wabak penyakit berbahaya. Apa itu vaksin? Vaksin adalah penyediaan biologi yang bertujuan untuk meningkatkan imuniti kepada penyakit tertentu.

Vaksin biasanya mengandungi agen yang menyerupai mikroorganisma penyebab penyakit, dan sering diperbuat daripada mikrob yang sudah dilemahkan atau dibunuh, bahan toksinnya atau salah satu daripada kandungan protein mikrob tersebut.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sebelum ini, pihak Iluminasi telah menulis artikel tentang 2 penyakit berbahaya yang telah berjaya dihapuskan seratus peratus di peringkat global. Menariknya, kedua-dua penyakit tersebut berjaya dihapuskan dan dihalang daripada merebak melalui program imunisasi dengan suntikan vaksin.

Kali ini, kami ingin berkongsi pula 5 penyakit berbahaya yang sedang cuba dihapuskan sama sekali daripada dunia melalui program imunisasi suntikan vaksin. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) telah merangka pelbagai program bagi memastikan penyakit-penyakitin dapat dihapuskan secara total diperingkat global dan beberapa tahun akan datang.

1. Polio

polio

Polio adalah antara penyakit utama yang menyerang kanak-kanak. Dalam kes yang teruk, polio boleh menyebabkan kelumpuhan kekal kepada pesakit dan kebiasaannya 5 hingga 10 orang daripada setiap 100 pesakit akan mati apabila virus ini sampai ke sistem pernafasan dan paru-paru .

Secara statistik, kini kira-kira 80% kanak-kanak seluruh dunia sudah mempunyai imunisasi terhadap penyakit ini. Penyakit ini berjaya dikurangkan daripada 350,000 kes pada tahun 1988 kepada hanya 37 kes sahaja pada tahun 2016. Pengurangan sebanyak 99% ini dapat dilakukan dengan pengenalan program imunisasi terhadap penyakit ini diseluruh dunia.

2. Measles

measles 106

Measles merupakan penyakit berbahaya yang sangat mudah berjangkit. Sebelum wujudnya program imunisasi melalui suntikan vaksin, penyakit ini dikatakan akan menjangkit 90% kanak-kanak sebelum mereka mencecah usia 15 tahun. Pada tahun 2015 sahaja, terdapat kes 367 rekod kematian dalam sehari akibat daripada penyakit berjangkit ini.

Mengikut rekod, kes penyakit measles menunjukkan penurunan sebanyak 75% sejak tahun 2000 dan banyak negara sudah mengisytiharkan bebas daripada penyakit ini. Pihak WHO juga telah mengumumkan The Global Vaccine Action Plan, iaitu rancangan untuk menghapuskan penyakit measles di sekurang-kurangnya 5 benua menjelang 2020.

Pada tahun 2004, Malaysia juga sudah melancarkan Measles Elimination Programme (MEP) dengan sasaran untuk menghapuskan penyakit ini 100% menjelang 2010. Malangnya, sasaran ini tidak tercapai dan menjadi sukar akibat peningkatan golongan anti-vaksin di Malaysia.

3. Yaws

yaws

Yaws merupakan satu lagi penyakit berjangkit yang hampir dipupuskan diperingkat global. Penyakit ini disebabkan oleh bakteria Treponema pallidum pertenue. Walaupun kadar kematian adalah rendah, penyakit ini sangat mudah tersebar. Sebuah program dikenali sebagai TCP pernah dilancarkan di peringkat global untuk mengekang penyebaran penyaakit ini dan ianya menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

Melalui program TCP ini, kes penyakit yaws berjaya dikurangkan daripada 50 juta pada tahun 1952 kepada 2.5 juta pada tahun 1964. Walaupun program tersebut dihentikan, kes penyakit ini kekal di tahap yang rendah di seluruh dunia. Pihak WHO menjangkakan sekiranya program-program imunisasi dijalankan, penyakit ini mungkin dapat dihapuskan di seluruh dunia menjelang tahun 2020.

4. Mumps

mumps

Sebelum tahun 1960 iaitu ketika vaksin untuk penyakit mumps belum digunakan secara meluas, penyakit ini direkodkan bagi 100 hingga 1000 kes bagi setiap 100,000 orang. Penyakit ini disebabkan oleh jangkitan virus mumps yang menyebabkan bengkak pada satu atau kedua-dua kelenjar air liur parotid .

Kebiasaannya, vaksin untuk penyakit mumps akan digabungkan sekali dengan vaksin untuk penyakit measles dan rubella. Vaksin ini dikenali sebagai MMR, iaitu measles-mumps-rubella. Pada masa kini, penyakit ini bukanlah keutamaan pihak WHO untuk dihapuskan dan pihak WHO lebih memfokuskan kepada penyakit measles dan rubella.

5. Rubella

rubella

Rubella merupakan sebuah penyakit yang disebabkan oleh jangkita virus Rubella. Jangkitan ini akan menyebabkan kegatalan pada seluruh anggota badan, demam, sakit tekak dan kelesuan. Jangkitan virus ini juga akan menyebabkan pelbagai komplikasi seperti radang, bengkak pada bahagian testis dan pendarahan.

Wanita yang dijangkiti penyakit ini ketika tempoh awal kehamilan mempunyai risiko keguguran atau melahirkan bayi yang mempunyai congenital rubella syndrome (CRS). Bayi yang mempunyai CRS biasanya mempunyai kecacatan pada anggota badan seperti pekak, mempunyai penyakit hati dan lain-lain.

Pada Februari 2014, Rubella disahkan telah pupus daripada negara-negara benua Amerika antaranya Kanada, Cuba, Amerika Syarikat, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Secara statistik, terdapat kira-kira 120,000 kanak-kanak yang dilahirkan dengan CRS. Penyakit ini berada dalam sasaran utama WHO untuk dihapuskan di peringkat global terutamanya melalui program imunisasi suntikan vaksin MMR.

Kredit: 

  1. World Health Organization
  2. Omics Online
  3. Center for Disease Control and Prevention
  4. WikiPedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)