gerakan anti vaksin amerika syarikat 460

Gerakan anti-vaksin di Amerika Syarikat telah wujud sejak 1800-an lagi. Sekiranya berminat, boleh baca artikel Sejarah Kemunculan Gerakan Anti-Vaksi di Amerika Syarikat yang pernah kami tulis satu ketika dahulu.

Saat ini, gerakan anti-vaksin masih wujud dan lantang memperjuangkan perjuangan mereka. Maka, tidak hairanlah di sesetengah tempat beberapa penyakit yang pernah disahkan telah di eradikasi satu ketika dahulu muncul kembali. Semuanya berpunca daripada pertambahan manusia yang tidak mengambil vaksin yang seterusnya melemahkan usaha "herd immunity" dalam kalangan masyarakat.

Di Amerika Syarikat, kumpulan-kumpula gerakan anti-vaksin ini seringkali mencanangkan bahawa gerakan mereka dibiayai oleh sumbangan-sumbangan ahli-ahlinya yang mempercayai apa yang diperjuangkan. Malah, pengasas kumpulan-kumpulan ini seringkali mendakwa gerakan mereka bersifat nasional dan digerakkan oleh ahli peringkat akar umbi.

Adakah dakwaan ini benar?

Sumbangan besar oleh penjual suplimen

gerakan antivaksin

Nombor tidak boleh menipu. Daripada rekod cukai yang ditemui, sejak sedekad yang lalu, terdapat seorang individu yang telah memberi sumbangan besar kepada kepada National Vaccine Information Center. Jangan tertipu, walapun nama organisasi ini seakan-akan milik kerajaan, ianya adalah sebuah organisasi anti-vaksin di Amerika Syarikat.

Individu yang dimaksudkan ini adalah Joseph Mercola. Joseph Mercola dikatakan telah menyumbang sebanyak $2.9 juta kepada organisasi ini dan jumlah ini menyamai kira-kira 40% sumbangan  yang diterima oleh organisasi ini. Siapakah individu ini? Mengapakah Joseph Mercola sanggup "menyumbang" wang yang begitu banyak?

Macam ada sesuatu yang "fishy" bukan?

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, organisasi ini berada di barisan hadapan gerakan yang mendorong beberapa ibu bapa mengelakkan atau menunda pengambilan vaksin imunisasi anak-anak mereka terhadap penyakit yang dapat dicegah oleh vaksin seperti demam campak.

Pegawai kesihatan kerajaan mengatakan penurunan kadar vaksinasi menyumbang kepada jangkitan virus yang telah menular kepada lebih daripada 1.200 orang di Amerika Syarikat tahun 2019, jumlah terbesar dalam lebih dari 25 tahun.

Wabak campak telah menyaksikan peningkatan di seluruh dunia, termasuk di Samoa - di mana hampir 80 orang telah meninggal sejak pertengahan Oktober, yang mana kebanyakan mereka adalah kanak-kanak dan bayi . Pertambahan kes ini selari ini pertambahan gerakan golongan kumpulan anti-vaksin.

Siapakah Joseph Mercola?

joseph mercola

Joseph Mercola dahulunya merupakan seorang doktor di Schaumburg, Illinois dan mempunyai sebuah klinik bernama Optimal Wellness Center. Sejak 2012, Joseph Mercola telah menubuhkan sebuah laman sesawang yang kini dipercayai antara paling popular dalam bidang maklumat kesihatan .

Joseph Mercola mendakwa jutaan manusia melayari laman sesawangnya setiap hari dan menyatakan lebih sejuta individu telah melanggan buletin elektroniknya melalui emel. Melalui lamannya inilah dia turut mempromosi dan menjual pelbagai supplimen tambahan yang kebanyakannya merupakan  jenama dan keluaran syarikatnya sendiri.

Laman sesawanganya juga menjadi medium menyebarkan secara halus propagandanya supaya orang ramai tidak mempercayai maklumat-maklumat kesihatan di arus media perdana. Pada tahun 2012, terdapat sebuah artikel yang diterbitkan oleh Chicago Magazine yang menyatakan bahawa Joseph Mercola sudah tidak lagi mempraktikkan lesen perubatan yang dimilikinya untuk memberi tumpuan kepada laman sesawangnya.

Sebilangan besar artikel yang dimuatkan oleh Mercola membuat tuntutan yang tidak berasas dan bertentangan dengan pandangan majoriti organisasi kesihatan dan kesihatan awam terkemuka. Salah satunya adalah menentang pengambilan vaksin.

Amaran daripada FDA

u s food and drug administration

Di Amerika Syarikat, FDA (U.S. Food and Drug Administration) merupakan agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk melindungi dan mempromosikan kesihatan awam melalui kawalan dan pengawasan keselamatan makanan, produk tembakau, makanan tambahan, ubat-ubatan, vaksin, biofarmaseutikal, pemindahan darah dan banyak lagi.

Sejak 2005 lagi, Joseph Mercola dan pusat kesihatannya sudah menerima banyak surat dan amaran kerana membuat banyak pengakuan melampau terhadap ubat-ubatan dan suplimen yang dijualnya.

Kebanyakan produk ini membuat "overclaim" mampu merawat kanser, penyakit Alzheimer’s, diabetes dan banyak lagi.

Surat-surat amaran yang diterimanya menjelaskan bahawa penggunaan tuntutan-tuntutan melampau yang dibuatnya dalam pemasaran produk ini melanggar Undang-undang Makanan dan Kosmetik Makanan Persekutuan yang melarang tuntutan melampau untuk produk yang bertujuan untuk menyembuhkan, mengurangkan, merawat, atau mencegah penyakit.

Mengambil kesempatan ketika pandemik COVID-19

dakwaan karut covid 19

Dakwaan-dakwaan mengarut yang dibuat oleh Joseph Mercola dalam mengekang COVID-19

Joseph Mercola juga tidak terkecuali daripada membuat tuntutan-tuntutan palsu semasa zaman pandemik COVID-19 kini - kesemuanya untuk kepentingan dirinya sendiri. Dengan beraninya, Joseph Mercola mendakwa bahawa produk-produk keluarannya mampu meningkatkan imuniti tubuh badan sehingga mampu mengelakkan pengguna dijangkiti COVID-19.

Selain itu, Joseph Mercola banyak menyangkal nasihat-nasihat berubatan yang dikeluarkan oleh agensi-agensi kesihatan awam seluruh dunia. Sebagai contoh, Joseph Mercola mendakwa pemakaian pelitup muka boleh menyebabkan kesukaran bernafas dan cadangan memakai pelitup muka menurutnya tidak mampu mengekang penularan virus COVID-19 sebaliknya menyebarkan dakwaan bahawa ia hanya bertujuan mendoktrin orang ramai untuk tunduk kepada arahan kerajaan secara membuta-tuli.

Selain itu, Joseph Mercola secara terbuka juga menggalakkan orang orang ramai menentang dan tidak mengendahkan kewajipan memakai pelitup muka di premis-premis dan kawasan awam.

Pada bulan Ogos 2020, pihak Center for Science in the Public Interest dan beberapa kumpulan undang-undang bukan kerajaan lain mendesak FDA dan FTC untuk mengeluarkan arahan melarang Joseph Mercola memasarkan sekurang-kurangnya 23 produk dengan tuntutan palsu bahawa mereka dapat mencegah atau merawat penyakit ini. 

Kredit:

  1. Washington Post
  2. Chicago Magazine
  3. Wikipedia
  4. Quack Watch


Hakcipta iluminasi.com (2017)