Oleh pada 15 Feb 2024 kategori

Dalam salah satu artikel kami berkenaan penggunaan simbol K bagi mewakili nilai 1000, ada beberapa orang pembaca bertanyakan kepada kami soalan sama.

"Kenapa Amerika Syarikat atau USA suka menama atau melabelkan kiraan dan juga matawang mereka dalam kaedah unik yang tidak diamal di negara lain, seperti bucks, grand dan sebagainya?"

Oleh kerana ramai yang bertanya, hari ini kami cuba jawabkan persoalan anda itu dalam bentuk artikel agar kita lebih memahami sebabnya. Kenapa ya?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa $1,000 digelarkan Satu Grand?

why us call their money grand and bucks

Untuk kita benar-benar menjawab soalan pertama ini, agak sukar kerana tidak ada bukti atau dokumentasi yang kukuh yang mampu dijadikan hujah dan alasannya.

Ini kerana majoriti pengkaji bahasa Inggeris percaya penggunaan istilah 'grand' bagi mewakili nilai 1,000 dollar ini hanyalah sesuatu yang berlaku akibat penggunaan istilah tersebut sebagai slanga masyarakat.

'Grand' sejak awalnya menggambarkan sesuatu yang mewah, besar dan perdana, jadi apabila seseorang itu mempunyai satu amaun tunai yang besar, mereka akan menyifatkannya satu jumlah yang 'grand' habislah.

Mungkin pada ketika itu jumlah $1,000 sudah dianggap kaya-raya dan hartawan, melayakkan seseorang yang mempunyai amaun wang sebanyak itu dianggap sudah 'grand' habislah. Kami ingatkan, ini semua hanyalah andaian sahaja.

Dari segi bahasanya, grand adalah istilah Inggeris yang berasal daripada grandis dalam bahasa Latin, yang membawa makna 'besar.' Penggunaannya mula popular pertengahan dekad 1910-an, di mana orang ramai mula mengamalkannya selepas istilah itu dicetak dalam penerbitan rasmi.

Kenapa wang Dollar juga digelarkan 'bucks'?

bucks nama matawang amerika usa

Jika grand mewakili nilai, bucks pula merujuk kepada matawang Amerika Syarikat iaitu matawang Dollar secara am. Jika ada $100, akan disebut 'one hundred bucks.' Jika ada $550, akan disebutkan sebagai 'five hundred fifty bucks.'

Bagaimana istilah ini boleh wujud agak unik kisahnya. Satu ketika dulu sebelum adanya sistem matawang, hubungan perdagangan di antara masyarakat pribumi benua Amerika Syarikat iaitu orang-orang asal dengan kumpulan pendatang dari Eropah berlaku secara pertukaran barter.

Salah satu bahan yang sering dijadikan tukaran, adalah kulit rusa yang digelarkan 'bucks' oleh kumpulan pendatang. Bagi menjalankan transaksi, pendatang Eropah akan menukarkan barangan milik mereka dengan kulit rusa milik orang asal pada kadar tertentu yang dipersetujui.

Sebagai contoh untuk setiap karton minuman keras perlu ditukarkan dengan 5 lembaran kulit rusa atau '5 bucks.' Dari situlah penggunaannya mula dibiasakan, yang akhirnya kekal sehingga ke hari ini dalam bentuk tidak rasmi.

Betulkah mereka juga memanggil matawang mereka Benjamins?

kenapa amerika panggil duit grand and bucks

Di kalangan masyarakat Amerika Syarikat, mereka juga mempunyai satu slanga eksklusif yang mungkin kurang popular pada kita tetapi sebenarnya kerap digunakan iaitu 'Benjamins.'

'Benjamins' khusus merujuk kepada matawang kertas $100, disebabkan hanya pada matawang dengan nominasi itulah potret seorang tokoh Amerika Syarikat bernama Benjamin Franklin dipaparkan - dan beliau bukanlah seorang bekas Presiden negara itu.

Sebaliknya, Franklin adalah antara tulang belakang paling berpengaruh dalam pembentukan negara mereka; memainkan peranan besar membentuk sistem ekonomi, perdagangan dan juga hubungan dengan negara-negara Eropah lain, selain menjadi individu yang menjayakan banyak piagam asas masyarakat mereka.

Atas sumbangannya yang sangat besar, wajah Benjamin Franklin diabadikan dalam setiap helaian matawang $100 Amerika Syarikat, nilai matawang terbesar yang mereka keluarkan dan aktif digunakan sehingga namanya diguna untuk merujuk wang tersebut.

Dalam media popular, slanga ini telah beberapa kali diamalkan dalam penerbitan popular khususnya dalam media terbitan komuniti kulit hitam di sana.

Ada lagu berjudul 'It's All About the Benjamins' yang dinyanyikan Puff Daddy terbitan tahun 1997 dan sebuah filem komedi berjudul 'All About the Benjamins' yang diterbitkan dalam tahun 2002.




Hakcipta iluminasi.com (2017)